Halaman

Saturday, August 29, 2009

Param.

Aku tak tahu siapa yang bertanggungjawab mewujudkan istilah ini, Param!


'blk dari param kul bape?'


Itulah sms yang aku dapat dari seorang kawan. Yang aku tak faham, perkataan 'param'. Jadi aku hanya membalas dengan tanda soal.


Terima sms darinya, 'blk dr pasar ramadhan kul bape?'


Ohh.. rupanya 'param' adalah singkatan pasar Ramadhan. Itulah gaya kalau manusia yang asyik tonton sinetron. Semua hendak dipendekkan. Yang sudah cukup pendek pun masih mampu dipendekkan.

Setelah sekian lama mengumpul gula dan berulang alik dari pelbagai pasaraya. Akhirnya terkumpul 50kg gula pasir. Buat permulaan, hari Rabu itu, 20kg gula dimasak untuk dijadikan air gula. Disebabkan beria-ria untuk memulakan penjualan air pada hari itu, cuaca yang mendung tidak dipedulikan. Mendung tidak bererti hujan! Atau kerana guruh di langit, air tempayan dibuang. Semua persiapan sudah dibuat, buah limau dan buah lemon telah dihiris. Pati air telah berbotol dibeli. Perkakas semua sudah dibasuh bersih. Maka hari ini, bermula aku menjual air walau hanya 2 jenis; lemon juice dan malibu orange. Insya-Allah, andai bekalan gula pulih sepenuhnya, jenis air yang lain akan turut serta.



Hidup ini memang sentiasa diduga. Walau kail sejengkal, laut dalam mesti perlu diduga. Baru kita tahu tahap di mana kita berdiri, bukan untuk melawan takdir tapi hanya usaha untuk mencuba. Titik hujan kasar mula membasahi kawasan Setiawangsa pada jam 1600. Memang berharap ianya hanya untuk seketika, tidak mengapa. Siapalah kita untuk menahan hujan. Aku memang tidak mengharapkan hujan jika boleh sepanjang Ramadhan ini. Tetapi bagaimana dengan perkara yang lain yang memerlukan hujan? Biarkan yang sudah tertulis menjadi takdir.

Hujan lebat mencurah sehingga waktu hampir berbuka puasa. Hampir semua gerai kuyup jualannya. Akhir cerita, perniagaan yang menggunakan wang ringgit bertukar menjadi sistem barter antara kami semua penjual. Air oren bertukar menjadi roti boom, menjadi kuih udang, menjadi tauhu sumbat. Air lemon bertukar menjadi laksa, menjadi kuih pelita, menjadi puding manis. Siapa kata duit berkuasa? Amalan bersedekah itu lagi berkuasa tanpa mengira rugi atau apa jua jaminan di dunia. Yang penting; silaturrahim terjalin, gurau senda penawar duka. Kami tetap bergembira dalam lencun berbuka puasa dengan rezekiNya.

Wednesday, August 26, 2009

Senangnya hati dia.

Brader : Bang.. nasi ayam satu.

Aku pun mengambil sebungkus nasi ayam untuk dimasukkan dalam plastik.

Brader: Rasa macam tak cukup satulah, tambah lagi satu....

Aku ambil lagi sebungkus nasi ayam lalu memasukkan dalam plastik.

Brader : Berapa?

Aku : 7 ringgit.

Brader menghulurkan not 10 ringgit kepada aku.

Aku pulangkan not seringgit berjumlah tiga ringgit.

Aku : Terima kasih bang...!

Brader : Ea... bagi sekeping dapat balik 3 keping....

Tuesday, August 25, 2009

Ada siapa nak sedekah lima sen?

Orang berbudi, kita merasa.


Bazar Ramadhan ni kalau diperhatikan macam laman facebook gak. Mana yang tak jumpa berbulan lamanya, kadang di sini boleh terserempak. Berbuallah macam-macam cerita kat tengah-tengah orang lalu lalang. Tak kiralah orang tua ke, muda remaja ke. Bila terserempak tu nampak keceriaannya. Mana yang jenis bergeng-geng tu lagi parah.. siap peluk laga pipi lagi yang perempuan. Kalau lelaki, suara pun mengalahkan budak-budak yang menjerit-jerit promo kuey teow goreng gulung. Siap dengan bertepuk tampar. Meriah!

Pusat fesyen pun ya juga. Macam-macam fesyen ada, macam-macam jenis. Yang okey tu okey la. Kadang ada gak yang tak boleh masuk tapi dah dorang punya gaya pemakaian, nak buat macam manakan? Tu belum masuk kategori face mask, macam-macam jenis face mask boleh jumpa. Lantaklah demo...

Pelbagai ragam jenis manusia boleh tengok di bazar Ramadhan ni. Kadang boleh buat aku leka memandang. Yang tua berjiwa muda, yang jenis sempoi, yang cerewet, yang jenis tak berkira, yang suka berborak sambil membeli, yang suka perhatikan saja juadah dijual, semua ada lah. Itu aku tak kisah, yang aku kisah, masa berlalu tanpa disedari. Alih-alih hari makin gelap dan azan berkumandang sayup di sebelah timur.


Bila sudah azan, menyegerakan buka. Kemudian antara penjual saling menghantar juadah yang tidak habis terjual. Air, kuih muih, nasi ayam, laksa, mee kari, mee rebus, kuey teow goreng, macam-macamlah. Mana jenis makanan yang tidak boleh disimpan lama, haruslah mereka bersedekah antara satu sama lain. Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Dah amalan orang berjiran. Boleh sendat juga perut kalau dilantak ikut rasa.




Kebiasaan aku tak larat nak makan bila berbuka. Bila sudah penat, selera makan aku hilang, nafsu kat air je dulu. Tapi air beli bungkus dari kedai mamak. Sebab air kat bazar Ramadhan, air gula dicatu. Tapi yang bersedekah air tu, aku sebatlah juga. Cuma menikmati kesejukkannyalah, berapa lama berendam dengan air batu. Rasa memang tawarlah. Nak minum air tebu pun hari-hari pun tak larat sebab sebelah gerai jual air tebu. Nak beli makanan pun kadang tak tau nak makan apa. Makan kuih je lah yang mampu alas perut.

Bila sudah siap mengemas, masalah trafik pula. Semua van kereta berdedai masuk punggah masuk barang-barang. Ada tu belum siap mengemas dah bawa masuk van. Jadi mana yang sudah siap punggah barang, kenalah tunggu mereka yang belum siap. Tak boleh nak jalan, kereta van kiri kanan. Kadang ada la yang pegawai trafik sukarela melicinkan perjalanan. Kadang ada gak peniaga yang tak sabar nak pulang. Mengasak-asak kereta menambahkan masalah. Sabar-sabarlah. Semua orang pun nak balik cepat buat terawih. Tak gitu tuan hamba?

Sunday, August 23, 2009

Tak jual air ke bang tahun ni?

"Ayah.. Man nak air tropicana!"

"Akak nak iced lemon tea ea, ayah!"

Agaknya begitulah permintaan adik-beradik ini semasa dalam perjalanan ke bazar Ramadhan seketika tadi. Aku kasihan melihat wajah mereka yang terperanjat kerana harapan mereka sebentar tadi musnah bila mendapat tahu jawapan sebenar. Namun wajah mereka memperlihatkan senyuman bila ayah menjelaskan dan memberi pilihan lain.

Bukan mereka adik-beradik sahaja, malahan hampir semua pelanggan biasa yang mendapatkan air minuman dari gerai abang aku (seperti tahun-tahun lepas) terpaksa menelan alasan yang sama. Mereka juga arif tentang alasan dan sebab musababnya, kekurangan stok gula. Sepatutnya kami juga mendapatkan bekalan gula dari pembekal lazim. Tahun ini kami akur dengan kekurangan gula di pasaran. Kami tidak boleh memaksa sesiapa. Untuk sebulan berjualan air di bazar Ramadhan ini, kami memerlukan sekurang-kurangnya lapan guni gula yang berharga hampir RM75.00 seguni. Ketiadaan gula juga memaksa kami menukar strategi perniagaan.

Tahun ini kami memperdagangkan nasi ayam dan sandwich. Buat permulaan ini, jualan kami laris dengan jualan hampir 100 bungkus nasi ayam sehingga jam 1830. Sandwich juga laris mengikut selera kesederhanaan manusia untuk berbuka puasa. Alhamdulillah, walau bukan ini yang kami rancangkan.

Melihat di bazar Ramadhan kawasan Setiawangsa, memang tidak ramai yang menjual air minuman. Aku nasihatkan, jika hendak membeli air, belilah air tebu. Ini kerana air tebu tidak memerlukan gula malah ianya sendiri semulajadi kaya dengan gula untuk menggembalikan tenaga. Mungkin cuaca yang panas menyebabkan kerongkong kita lebih berselera dengan air yang sejuk , air yang telah bercampur dengan air batu berketul-ketul seperti air soya, air cincau, air jagung, air barli atau apa sahaja air yang memerlukan bancuhan air gula. Tapi untuk mengelakkan umpat selepas berbuka, sebaiknya janganlah membeli air-air sebegini.

Pengantin perempuan sakit perut.

Saturday, August 22, 2009

Potong Saga.



A laugh-out-loud film about a Chinese boy’s misguided attempts at opening an Islamic bank account.

Principal Cast
Namewee
Supporting Cast
Teh Heong Khoe, Jimmy Lim, Chee Cheong Hoe, Sivaji Rajah, Radhii, Choo Poh Fong, Serena C, Atilia, Jay Menon, Diyana

Friday, August 21, 2009

Bertemu Ramadhan.

Jam 1530 aku menuju ke daerah Sri Gombak membelah lebuhraya DUKE. Trafik amat menyenangkan perjalanan untuk aku yang sememangnya memburu masa hari ini. Menyusur keluar melalui persimpangan Gombak, kelihatan deretan kereta di plaza tol. Sebelum ini aku tidak pernah beratur melebihi tiga kereta. Kali ini memang panjang, tidak terhitung pula.

Dari Sri Gombak, aku ke Taman Maluri pula. Sekali lagi perjalanan amat selesa melalui lebuhraya DUKE. Sebaik memasuki lebuhraya MRR2 dari susur keluar Ampang, deretan kereta tiga lorong memenuhi lebuhraya. Aku mengerling jam, jam 1700. Kesesakan lebuhraya bagai pagi hari manusia yang pergi bekerja. Walau hanya mengambil masa 20 minit mengharungi kesesakan untuk aku sampai susur keluar Taman Maluri berdekatan Pandan Jaya, tapi aku tidak tahu sepanjang mana lagi di hadapan.

Ramadhan disambut esok dan mereka juga pasti mengambil peluang untuk berpuasa di kampung halaman. Di tambah lagi suasana cuti persekolahan minggu ini pastinya amat menarik.
Berdedai kereta mengensot perlahan di jalanraya. Hujan rintik yang menimpa cermin depan kereta seolah satu keraian dengan bunyi rintikkannya. Berbahagialah mereka yang dapat berpuasa di kampung halaman, pastinya nostalgia lama menggamit dapat dilisankan pada anak-anak mereka.

Masihkah meriah lagi waktu berbuka di surau-surau atau masjid-masjid dengan hilai tawa kanak-kanak berlari keliling kampung. Kehadiran kanak-kanak yang sibuk membentang sejadah di saf-saf surau. Diherdik pak siak kerana membuat bising tika jemaah terawih. Sempat bermain baling selipar di hadapan surau, menunggu jamuan moreh disediakan.

Mungkin di masjid Kg. Baru, tiada lagi suasana sebegini. Ramai yang dulu anak-anak kini dewasa dan berhijrah keluar. Hanya legasi bubur lambuk masih kekal tradisi menarik segala rata umat dari segala pelusuk beratur sedari Asar. Kelibat pak guru, M. Rajoli yang sering berlegar di kawasan masjid, menakut-nakutkan kami dengan keranda kematian dan tempat mandian jenazah. Masih berbisa merah tapak tangan dilibas rotan pak guru.

Sudah lama aku tinggalkan jejak di sana. Setiap kali Ramadhan, keriuhan masjid Kg. Baru sentiasa terkenang.
"Selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan"

Anak ketam belajar berjalan
matanya tercabut digigit lipan
selamat datang bulan Ramadhan
selamat tinggal hantu dan syaitan


Aku mohon kemaafan dari semua kenalan, teman-teman, kawan-kawan dan sahabat handai yang datang menyinggah.
dari aku,
SilbiAdekTheAbigailNatas

Agak-agaklah....

Dia tak selalu keluar di televisyen, tapi ada juga keluar, kadang-kadang. Radio pun ada juga. Kalau dihitung-hitung, tidaklah sekerap penyanyi nombor satu negara. Tak glamor pun, publisiti memang tak ada langsunglah. Tapi kemunculannya memang dinanti ramai orang. Apa yang keluar dari mulutnya memang penentuan, tiada orang akan bantah. Malah orang merasa cuak perkara yang dia hendak perkatakan. Boleh kata tak senang duduk orang kalau belum mendengar suaranya.

Siapa tahu angkat tangan...!