Halaman

Saturday, August 18, 2012

Leraikan hak.


Dendam  benci disimpan jangan
Leraikanlah hak dunia akhirat
Bermaafan darjatnya takwa
Bukan kerana Syawal berkunjung.

Ramadan hadir berlalu pergi
Berjihad kita menentang nafsu
Hanya tinggal segumpal daging
Menjadi kerajaan diri.

Syawal menjengah dirai bersama
Semoga amalan kita diterima
Taqabbalullah minna waminka
Rasulullah kita bersapa mesra.

Dalam merai kemenangan
Nafsu yang ditentang
Perlu sentiasa ditakluki
Pagari iman jangan ditembusi.

Selamat meraikan Aidil Fitri
Ampun kupohon dari kalian
Keluarga sahabat rakan taulan
Atas segala salah dan silap.


InTheShadow

Thursday, August 2, 2012

Ulam raja merajai.



Bulan yang lebih baik dari seribu bulan!

Secara zahirnya, ya, aku berpuasa, menahan diri dari lapar dan dahaga. Itu aku tahu. Kekoknya aku apabila menahan diri daripada ketahigan candu. Janggal rasanya membaca akhbar tanpa merokok. Tidak lengkap pula bila duduk melepas lelah tanpa menyepit sebatang rokok di antara jari telunjuk dan jari hantu.

Yang lainnya tidaklah aku layak untuk mengajar kalian untuk menjalani ibadah puasa ini. Bagaimana untuk merebut kebaikan-kebaikan yang dikurniakanNya pada bulan di mana Al-Quran diturunkan pada junjungan nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Syaitan yang sentiasa sahaja mengajak manusia mengingkari perintahNya dan membukakan pengetahuan serta kebijaksanaan kita dalam melakukan apa yang dilarang olehNya telah pun dirantai.

Syaitan dirantai!? Aku majal tentang apa yang tersirat dalam kalimah ini. Syaitan bongkak pada Adam tewas pada Ramadan! Apatah lagi kita manusia yang sombong ini, masih tidak sedar kuasa Allah yang menjadikan semesta alam dan segala isinya. Pemilik Arasy yang Agung!

Aku tidaklah ghairah untuk mengunjungi bazar Ramadhan yang sememangnya pelbagai juadah dijual untuk menjamu selera  ketika kita berbuka. Sebabnya, banyak juadah yang ‘indah khabar dari rupa’. Daripada aku menyumpah atau menyesal dan membazir, lebih selesa aku berbuka dengan apa yang ada di rumah.Berbuka itu seperti meraikan satu kejayaan kecil kerana kita telah menjalani rintangan berpuasa yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Tapi disebabkan syaitan dan godaannya tiada, apa yang perlu dirintangkan?

Tadi aku berbuka di rumah dengan nasi berlaukkan asam pedas ikan tenggiri batang, cencaluk dengan hirisan bawang kecil dan cili padi, ikan masin tenggiri yang telah dijeruk, digoreng dan ditaburkan juga dengan hirisan bawang dan cili padi, diperah pula asam limau ke atasnya. Ditemani pula dengan ulam raja. Selera makan membawa aku menambah nasi sepinggan lagi.

Dalam meraikan kejayaan, akhirnya aku berahi dengan selera makan gara-gara keenakan ulam raja! Raja segala ulam ini melenyapkan ingatan nabi agar berhenti sebelum kenyang. Syaitan tiada untuk memujuk, syaitan tiada di sisi untuk melalaikan ingatanku. Aku pasti ianya datang dari dalam diri aku sendiri. Manusia seperti aku ini, syaitan tidak perlu mengerah sepenuh masanya walau dia punya waktu hingga kiamat. Cukup untuk dia menoda dan mendidik nafsu dalam diriku kemudian dia pergi. Kini aku ada secubit pengertian, aku mesti meneguhkan pagar di hati agar tidak ditembusi dengan kelalaian nafsuku sendiri.

Aku tewas dengan nafsu hanya dengan beberapa pucuk dedaunan ciptaanNya!


InTheShadow

Thursday, July 5, 2012

Sejuk jari telunjuk.


Awal Mansor bangun hari ini. Mendahului subuh. Mansor melekakan waktu dengan bersiap dan menanti masuknya waktu. Dalam dirinya dia sudah berkira-kira agar urusannya menjadi mudah hari ini. Dia mesti berusaha dan bertawakal. Tiadalah daya baginya sesungguhnya segala daya itu hanyalah milikNya. Namun hatinya amat teruja. Amat!

Dengan berkemeja biru muda berlengan panjang yang telah digosok semalam lagi. Sepadan pula dengan tali leher biru muda bercorak geometri biru gelap. Sengaja tali leher itu dibelinya untuk hari ini dan inilah hari dia mengenakan tali leher semenjak tamat zaman pembelajaran, tujuh tahun dahulu.  Mansor menyesuaikan kemeja birunya dengan berseluar hitam berjalur kelabu halus. Satu-satunya sepatu kulit yang dimilikinya telah siap digilap kelmarin walau tidak bersinar kilat namun kelihatan hitam menawan. Mansor bersedia.

“Selamat pagi,” Mansor menyapa lembut pada penyambut tetamu, seorang gadis Tionghua di ruang legar pejabat yang besar lagi dingin. “Saya datang untuk menghadiri temuduga,” sambung Mansor setelah salam selamat paginya dibalas dengan fasih. Gadis itu menyerahkan sekeping borang dan mintanya diisi dan Mansor diarah ke ruang menulis. Mansor memerhatikan sekeliling. Susun atur dan hiasan dalaman pejabat itu amat menarik dan selesa. “Alangkah bagus jika aku diterima bekerja di sini,” desis hati Mansor berharapan.

Selesai mengisi borang permohonan,  Mansor meneliti dan menyemak semula butir-butir yang telah diisinya. Gusar, gemuruh di hatinya akan menerbitkan kesalahan dalam mengisi butiran yang perlu diketahui oleh bakal majikannya. Mansor bangun dengan tertib seraya dia mendapatkan gadis Tionghua itu semula dan menyerahkan borang permohonannya dengan senyuman. Senyuman Mansor berbalas. “Encik Mansor boleh menunggu di sana,” gadis Tionghua itu bersuara sambil menunjukkan arahnya dengan sopan.

Debar di hati Mansor belum lagi redanya. Bertambah debarnya apabila melihat calon-calon lain bertrampilan hebat melangkah masuk dan melakukan perkara yang sama seperti yang dia lakukan sebentar tadi. Namun Mansor mendamaikan hatinya bahawa mereka itu tidak berebut jawatan yang sama kerana pastinya mereka yang hebat-hebat ini berkelulusan ijazah dan ingin mengapai cita yang lebih tinggi. Mansor hanya cuba berusaha untuk menjadi seorang lelaki yang memiliki pekerjaan buat masa ini. Diploma yang dimilikinya tidak menjanjikan apa-apa hanya sebagai bukti dia telah menerima sekelumit ilmu dalam bidang pengurusan.

Mansor akui, pengetahuan yang dimilikinya ibarat sebutir buih di padang pasir. Mansor tidak pernah menghadapi dunia sebenar. Selama ini dia hanya dalam dunianya sendiri dan dia berasa selamat begitu. Usahanya untuk menginjak ke dunia sebenar telah ditolak mentah-mentah. “Mungkin aku terlalu membuka diri semasa sesi perkenalan. Tidak sepatutnya aku lajak ke misi dan visi diriku terburu-buru tanpa dipinta,” Mansor menganalisa tingkah lakunya sebentar tadi.


Hati Mansor amat hampa. Amat! Tidak mampu dia melayani hatinya yang lara. Pelbagai lintasan di hatinya menimbulkan keraguan. Keyakinannya telah dicabar. Akalnya pula berjuang, berperang dengan hatinya. Mansor mohon perlindungan kepadaNya dari segala keraguan di hatinya. Dia mengikut kata akal. Rezeki itu di tanganNya bukan pada keputusan manusia yang sememangnya tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki. “Aku sendiri tidak mampu memuaskan kemahuan manusia lain namun biarlah aku berpuas hati dengan apa yang aku terima dan apa yang aku miliki,” akal Mansor memutuskan.

Terasa sejuk di hujung jari telunjuk Mansor ketika menekan butang lif di aras lapan Bangunan Wawasan itu.


InTheShadow

Wednesday, June 13, 2012

Hinaan ayah ke hujung nyawa



Kau ghaib entah ke mana
Aku melilau darat ke baruh
Calar-balar betis aku
disanggah renek berduri
Meranduk paya paras pinggang
Kau memang menyusahkan!

Apa yang buat kau menyentap
Tidak sakitkah hidung kau
Menyentap tali berpilin tiga
Berserat  Abaca Sumatera
Sebesar kelingking aku
Kau memang bodoh!

Selama kau menghilang
Hari sekolahku terabai
Kerja rumah belum ditanda
Ruang hadir dicoret kosong
Kau sungguh kejam!

Lebih pedih lagi
Bukan kau yang mengadap
Hayunan tempeleng ayah
Sepak terajangnya menyinggah
Di badan kerdil ini
Kau memang tidak berhati perut!

Sumpah seranahnya lali di telinga
“Anak haram”
“Tak boleh diharap”
“Biarlah mampus!”
“Hidup pun tak berguna”

Ampun maaf aku lenyap sahaja
Ayah bagai kerasukan Daasim
Bengisnya mengalahkan
Ibu singa kehilangan anak!
Kau memang celaka!

Mengapa kau tergamak
Mencalarkan kasih sayang
Aku dengan ayah
Sudahlah ibu berpisah jauh
Kau memang tiada perasaan!

Bendang perlu dibajak
Ayah mencuka pulang menoreh
Aku tidak diberi muka
Jangan terlihat kelibat aku
Di hujung matanya
Kau memang tidak bertanggungjawab!

Aku bertempik di batas bendang
Bertingkah azan Asar dari surau
Aku benci kau!
Kubang kau akan aku kambus!

Penglihatan aku kelam
Aku rebah
Hanya sempat menyambar
Silauan terik mentari petang.


InTheShadow

Saturday, June 9, 2012

Dagangan sakti.



Suraya: Hei Lia! Cincin emas baru nampak, cantiknya!
Alia: Ala.. beli yang murah je. Itu pun aku tukar dengan cincin emas lama aku.
Suraya: Murah? Kau jual kat aku la. 50 ringgit?
Alia: Eerk..! Hehehe..

Begitulah usikan dua orang yang bersahabat. Alia cuba merendahkan diri dengan harga cincin emas yang baru dibelinya. Suraya pula cuba mengusik menduga kejujuran sahabatnya itu. Adakah Alia sanggup menerima tawaran belian daripada Suraya?



Lazimnya, kebanyakkan kita tidak akan membuat jual beli begitu walau dengan ahli keluarga sendiri. Sebabnya sudah tentu barangan itu sesuatu yang bernilai dan berharga pada kita.

Sebaliknya, ada segelintir manusia yang menawarkan sesuatu barangan yang mana hakikatnya ianya tidak bernilai seperti logam emas. Logikkah jika sebutir batu yang bukan dalam kategori permata boleh dijual dengan ribuan ringgit hanya kerana ianya mempunyai hikmat atau sakti yang tersendiri?

Tangkal atau azimat tertentu jatuh dalam kategori ini. Umum kita mengetahui bahawa tiada yang berkuasa selain Allah s.w.t. Mengapa ada manusia hilang pertimbangan bila mendengar kesaktian yang boleh dilakukan oleh sebutir batu atau sepotong kayu? Tamak atau ingin memiliki kehebatan yang tiada pada orang lain?

Adakah mereka lebih mempercayai kata-kata manusia lain yang menghamburkan kebaikan tangkal seperti itu sedangkan kita dan segala yang ada di alam kita ini dicipta oleh Allah s.w.t. tanpa mempunyai kesaktian atau kuasa yang melindungi atau kuasa menyembuh kecuali beberapa khasiat yang memberikan kebaikan dengan amalan penggunaan yang betul yang Allah anugerahkan untuk kebaikan manusia dan penawar penyakit dengan izinNya dan kita bertawakal padaNya.

Bagaimana pula sebutir batu boleh mempunyai kesaktian? Andai benarlah ada kesaktiannya! Mengapa pula pemiliknya beria-ia menawarkan kepada orang lain dengan segala kesaktian yang dimiliki oleh batu itu dengan satu nilai harga? Adalah lebih baik digunakan untuk kebaikan sendiri. Manusia tidak akan berkongsi sesuatu yang bernilai buat dirinya dengan orang lain. Sewenang-wenangkah seorang isteri mahu berkongsi suami? Lapangkah hati kita meminjamkan kenderaan kita pada seorang sahabat? Sudikah kita memberi pakaian berjenama yang baru dibeli kepada orang lain?

Kerugian nyata sebaik sahaja wang ringgit bertukar tangan. Beruntung si tukang mengikat batu untuk dijadikan cincin atau loket. Untung pada kita? Allah yang Maha Pelindung, melindungi kita dari musibah atau kesusahan tetapi diyakini pula kita bahawa batu sakti itulah yang melindungi. Allah yang memberi kita pelbagai rezeki dari arah yang tidak kita ketahui namun pelaris juga yang mendapat nama. Beruntungkah kita?


Ironinya, mereka akan beralas, hanya mengagumi keindahan dan keunikkan struktur batu tersebut yang dicipta Allah s.w.t. dan bangga dengan nilai beliannya.

InTheShadow

Monday, April 30, 2012

Wajah manusia.

Sudah diberi tapak niaga! Tahu, memang berbayar. Ciput saja berbanding labanya..
tapi, hubaya jugalah dengan kebersihan.

Bertaburan bag plastik berlonggok-longgok.... Mana lagi dengan kertas-kertas suratkhbar lama yang lencun,
kertas-kertas pelapik buah koyak sepah merata.

Bekas makanan atau minuman polestrin.. Katanya mengancam kesihatan manusia. Masih lagi berleluasa penggunaannya.

Itu belum lagi isi perut ikan atau lemak-lemak daging atau minyak masak yang berjejeran.

Sisa makanan yang bertaburan, mungkin antaranya itulah.. Berkatnya rezeki, tapi dipijak-pijak sahaja!!

Mentang-mentanglah 'duit sampah' juga dibayar. Semuanya ditinggalkan berselerakkan.
"Habis aku dah bayar, takkan dorang makan gaji buta?"

Berbakul-bakul juga agaknya si pengaut sampah menyumpah seranah. Bukan kerana mereka tidak ikhlas bekerja tapi bila mengenangkan mentaliti para peniaga pasar malam.

Ada juga para pengunjung yang bersikap lewa ramainya juga adalah kanak-kanak perlu juga dididik!


InTheShadow

Tuesday, April 10, 2012

Telah dicatatkan.
















Mereka kata,
rancang sebelum bekerja.

Kita pun tahu,
manusia hanya mampu merancang.

Namun petang semalam.
Telah terima perkhabaran.
Makcik saudara menyahut panggilan Ilahi.

Fardhu kifayah dituruti.
Segala yang harus,
Jalan kerja yang dicatat semalam?

Ahh..! Abaikan sahaja!

Esok cuti?
Alah.. Lusa pun masih bisa.
Andai nafasku tidak terhenti.

Maklumlah...
Kita hanya merancang.

InTheShadow

Monday, April 9, 2012

Mengiringi masa.





Langkah pertama ke Maluri.
Selesai urusan di Maluri.
Bergegas ke Bangsar.
Bangunan UOA bersebelahan  LRT Bangsar ditujui.
Pejabat di tingkat 33A terletak kemas.
Diserahkan contoh barang pada yang bertanggungjawab.
Diharapkan  kelak ada rezeki di situ.

Ke Wisma Perintis pula dihala selepas Bangsar.
Sebentar cuma, bayaran letak kereta pun tidak perlu.
Sekeping kertas yang punya harga diri disimpan cermat.

Berlegar di kepala merancang perjalanan kerja.
Steven, pemilik FirSafe dihubungi.
2 unit pemadam api perlu diambil.
Jalan Cheras diselusuri menuju ke Taynton View.

MPKj disusuli sebentar.
Sokongan Jabatan Bomba diperlukan.
Melengkapkan urusan permohonan, permudahkan kerja.
kerana..
Bangi Home Security ingin berpremis niaga.
Dataran C180 Cheras Selatan menjadi dahan.
Akar tunjang berumbi di Bangi.

Masih ada kesempatan waktu,
Alang-alang di kawasan berdekatan.
Jauhnya Putrajaya hanya setanak nasi.

Tidak perlu memecut laju.
Masa sentiasa bergerak, masa sentiasa ada.
Tapi ada yang kita miliki hanya sekali.
Jarang kita perolehi peluang kedua.
Sebentar sahaja melalui dari Tol Sg. Balak.
Menara Usahawan di Presint 2 telah kelihatan.

Diserahkan dokumen.
Diambil pula dokumen yang lain.
Tak perlu tergesa-gesa.
Walau mendung pekat menampakkan wajah.
Sudah ada rintik kasar menimpa bumi.
Biarlah, itu sudah rutinnya.

Namun masih ada bumi yang kering.
Hari ini telah dipermudahkan urusan.
Berusaha sudah, berdoa? tawakal?
Itu aku terlupalah pula.


InTheShadow

Tuesday, April 3, 2012

G6.


Lebih kurang jam 1500, aku dan Jimmy tiba di majlis perkahwinan Azwan dan Norsyarmeme. Kelihatan dari jauh di bawah khemah, pengantin lelaki lengkap berbusana Melayu songket berwarna krim lembut melayani tetamu yang hadir. Kami bersalaman dan berpelukan setelah seabad lebih tidak bersua.

Aku menyertai Fudin serta isteri dan abangnya Jiman sekeluarga duduk  bersembang bersama kawan-kawan sekampung. Kami bersalaman dan bertanyakan khabar masing-masing.

Ketika menikmati rendang daging, kurma kambing, ayam goreng berempah serta lauk-pauk yang lain. Faizul bersama isterinya Sheila dan dua orang anaknya tiba lalu menyertai kami di meja makan. Lee Bonyot yang telah pulang dari kenduri tiba untuk kali kedua duduk bersama dengan isterinya.


Hanya menantikan ketibaan Boy dan Amat. Sementara itu kami ke Lembah berdekatan Sg. Kangsar untuk menikmati Laksa Buyong dan cendol. Jimmy yang pulang awal tadi menghantar isterinya berehat di rumah, tiba ketika kami mencari ruang letak kereta. Sebaik berada dalam medan selera, pasangan pengantin yang dirai tiba.


Sambil menikmati juadah, kami bercumbu dengan cerita-cerita lama yang sekian lama terlipat dalam kenangan. Selesai di situ aku dan Faizul ke Padang Rengas sebentar. Dalam perjalanan pulang dari Padang Rengas, aku dan Faizul menunggu ketibaan Boy dan Amat di sebuah stesen petrol di Kuala Kangsar 2.

Amat bertolak dari Johor Bahru seawal pagi untuk ke Kuala Kangsar dan akan singgah untuk mengambil Boy di Selayang. Oleh kerana hujan yang amat lebat, perjalanan mereka menjadi lewat lebih-lebih lagi Boy terlepas susur keluar ke Kuala Kangsar dan terpaksa memasuki melalui susur keluar Changkat Jering dan melalui Taiping untuk ke Kuala Kangsar.

Jam lebih kurang 2000, kami mengunjungi rumah pengantin sekali lagi menemani Amat dan Boy.


InTheShadow

Sunday, April 1, 2012

Gerimis Mengundang.



Selesai sahaja nama pengarah diwartakan. Tepukan gemuruh mengisi ruang Panggung Sari. Reda sahaja tepukan, kami bingkas keluar dari panggung. Tidaklah pula aku menjangkakan teater bertemakan cinta ini ada lawaknya. Ini semua gara-gara peluang yang diberikan kepada kumpulan Zero, pemenang tempat kedua Raja Lawak Astro musim keenam diberi kepercayaan mengambil-alih keseluruhan satu babak.



Walau lawak Zero bagai diulang siar dari rancangan Raja Lawak yang disertai namun kebijaksaan pengarah menggarap lawak muzikal yang pernah mereka persembahkan dapat diadun dengan baik sekali dan membuat Panggung Sari gamat dengan gelak tawa penonton. Bagi aku, Ahmad Idham telah menyuntik satu tambah nilai yang amat baik!

Kunjungan ke Istana Budaya untuk menonton teater muzikal Gerimis Mengundang hanyalah menemani ibu yang meminati pelakon Indonesia, Mikha Tamboyang yang sedang galak melalui sinetronnya, Nada Cinta; membawa watak Chinta. Setelah tiba di lobi Istana Budaya, barulah aku amati poster promosi yang ditampal merata. Diketahuilah heronya adalah Kamal Adli yang membawa watak Zamani; mungkin mengambil sempena nama penyanyi yang mendendangkan lagu Gerimis Mengundang dari kumpulan Slam yang popular sekitar tahun 1997, seingat aku.

Selain itu juga, menampilkan Taiyuddin Bakar yang membawa watak sebagai Jering dan beliau juga adalah Penolong Pengarah 1 untuk teater muzikal ini; juga bergandingan dengan Kamal Adli dalam Apa Celop? Kiranya Apa Celop + Nada Cinta = Gerimis Mengundang! Ada juga para pelakon dari negara jiran terdekat kita dari Singapura turut bergandingan dalam teater ini. Suatu yang amat sihat untuk menaiktaraf karya seni atau  seni teater serumpun.

Menjadi kebiasaan dalam tema cinta halangan dan cemburu pasti hadir. Masakan tidak seperti di dalam lirik lagu Gerimis Mengundang itu sendiri.

“Kusangkakan panas berpanjangan
Rupanya gerimis, rupanya gerimis mengundang
Dalam tak sedar ku kebasahan..”


Layan lagu ni.. ley leleh air mata ni beb..

InTheShadow