Lebih kurang jam 1500, aku dan
Jimmy tiba di majlis perkahwinan Azwan dan Norsyarmeme. Kelihatan dari jauh di
bawah khemah, pengantin lelaki lengkap berbusana Melayu songket berwarna krim
lembut melayani tetamu yang hadir. Kami bersalaman dan berpelukan setelah
seabad lebih tidak bersua.
Aku menyertai Fudin serta isteri
dan abangnya Jiman sekeluarga duduk bersembang bersama kawan-kawan sekampung. Kami
bersalaman dan bertanyakan khabar masing-masing.
Ketika menikmati rendang daging,
kurma kambing, ayam goreng berempah serta lauk-pauk yang lain. Faizul bersama
isterinya Sheila dan dua orang anaknya tiba lalu menyertai kami di meja makan. Lee
Bonyot yang telah pulang dari kenduri tiba untuk kali kedua duduk bersama
dengan isterinya.
Hanya menantikan ketibaan Boy dan
Amat. Sementara itu kami ke Lembah berdekatan Sg. Kangsar untuk menikmati Laksa
Buyong dan cendol. Jimmy yang pulang awal tadi menghantar isterinya berehat di
rumah, tiba ketika kami mencari ruang letak kereta. Sebaik berada dalam medan selera,
pasangan pengantin yang dirai tiba.
Sambil menikmati juadah, kami
bercumbu dengan cerita-cerita lama yang sekian lama terlipat dalam kenangan.
Selesai di situ aku dan Faizul ke Padang Rengas sebentar. Dalam perjalanan
pulang dari Padang Rengas, aku dan Faizul menunggu ketibaan Boy dan Amat di
sebuah stesen petrol di Kuala Kangsar 2.
Amat bertolak dari Johor Bahru seawal
pagi untuk ke Kuala Kangsar dan akan singgah untuk mengambil Boy di Selayang.
Oleh kerana hujan yang amat lebat, perjalanan mereka menjadi lewat lebih-lebih
lagi Boy terlepas susur keluar ke Kuala Kangsar dan terpaksa memasuki melalui
susur keluar Changkat Jering dan melalui Taiping untuk ke Kuala Kangsar.
No comments:
Post a Comment