Halaman

Friday, July 11, 2014

Duit bukan boleh dibawa mati.



Dua.

“Allahu Akhbar!” Abah menghempaskan dirinya di atas sofa kemudian meletakkan songkoknya di atas meja kecil di sebelah sofa. Abah menarik nafas panjang melepaskan lelah berjalan kaki pulang dari masjid setelah menunaikan solat tarawih. “Abah, apa beza kedekut dengan bakhil,” aku bertanya sebaik sahaja abah melabuhkan punggungnya di atas sofa. Abah tergelak kecil sambil berkata, “Alid tengok tak cerita P.Ramlee, Labu Labi? Kan ada Haji Bakhil bin Lebai Kedekut.” Aku tertawa kecil bila mengenangkan watak Haji Bakhil itu.

“Apa kena-mengena pulak bah?” Aku terus bertanya. “Kedekut ni, orang yang hanya pandai membelanjakan duit untuk dirinya. Tetapi tidak suka membelanjakan duitnya pada orang lain. Jika orang lain nak minta pinjam duit dengan orang macam ni, jangan haraplah dapat. Atau jangan haraplah dia nak belanja orang lain makan ke, minum. Kalau untuk dirinya, baju semua mahal-mahal. Bergaya.  Pakai kereta pun yang cangih-canggih. Tapi kalau nak minta tolong duit dengan orang macam ni, jangan haraplah. Boleh kiamat tau kalau orang macam ni bagi duitnya pada orang lain.”

“ Bakhil pula, orang yang tak pandai menikmati hidupnya. Duitnya satu sen pun tidak akan dibelanjakan untuk dirinya atau untuk orang lain. Dia simpan sahaja duitnya itu. Orang yang macam ni, tak pandai nak bergaya atau nak bermewah-mewah. Walau dia ada duit banyak dalam bank, apa yang ada itulah yang dia gunakan. Kadang baju tiga tahun pun tak berganti. Sanggup naik motor cabuk atau LRT kalau nak ke mana-mana. Haram kalau dia nak beli motor atau kereta yang cantik-cantik. Kalau boleh jalan kaki, dia lagi sanggup jalan kaki dari naik bas atau teksi. Tengok macam Haji Bakhil dalam cerita Labu-Labi tu. Duitnya banyak tapi pakai kereta buruk je,” abah pula bercerita.

“Ooohh! Macam tu ke?” Aku menyahut. “Ada ke orang yang macam tu bah?” aku bertanya lagi. “Mestilah ada, itu sebab P. Ramlee buat cerita macam Labu-Labi tu. Kisah masyarakat. Jadi Alid jangan jadi macam antara dua tu. Berjimat-cermat tu boleh. Digalakkan! Kita mesti menabung untuk masa depan atau untuk kita gunakan duit tabungan tu untuk masalah kecemasan. Tapi bila ada orang lain atau kawan Alid yang ditimpa kesusahan, Alid bolehlah bantu mereka dengan wang tabungan Alid tu,” ayah memberikan nasihatnya. “Habis kalau duit dalam tabung pun ada sepuluh ringgit, macam mana nak tolong orang,” aku meminta kepastian abah.

“Tu sebab kita mesti terus dan kekalkan sifat menabung, jangan terlalu membazir pada benda-benda yang tak perlu. Macam Alid minta abah suruh belikan bunga api, kan tak elok tu! Bukan abah tak nak beli. Selain membazir, kan bahaya! Alid tak tengok berita ada budak hilang jari dalam berita tu? Bila kita nak membantu orang lain, kita mestilah kukuh dalam kewangan ni. Mesti ada banyak duit. Baru kita boleh tolong diri kita dan orang lain yang memerlukan. Lagipun duit bukan boleh dibawa mati. Bukan boleh bawa masuk kubur! Kain kapan pun berapa ringgit je. Kita banyak duit pun, makan sepinggan jugak,” panjang lebar abah berceramah.

“Hei! Abahnya. Jangan pandai nak bercakap je. Ni dah sebelas Ramadhan, dah bayar ke fitrah budak-budak ni,” tiba-tiba sahaja ibu mencelah sambil menghampiri kami di ruang tamu. “Ish awak ni, tengok oranglah. Empat Ramadhan lagi saya dah bayar tauuu! Apa guna ada iPad kalau tak reti nak guna reminder!” Abah menjawab dengan nada bangga diri. Poyo! Seperti budak-budak sekarang kata. “Kau tengoklah abah kau tu, bongkak! Eloklah tu. Dah Alid, pergi masuk tidur. Nanti nak mengejutkan sahur bukannya senang. Terkebil-kebil je biji mata tu bila disuruh bangun,” giliran ibu pula membebel pada aku.

seterusnya..>

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment