Halaman

Sunday, January 5, 2014

Melayu yang beruntung.

Apa salah dan sukarnya jika subjek bahasa Mandarin dan Tamil diajarkan kepada murid peringkat rendah sama seperti subjek pelajaran yang lain tanpa mengira bangsa?
Sama seperti dalam sistem pendidikan kini yang mengajar pelbagai bangsa murid rendah dalam bahasa Melayu.

Sekolah vernakular ini sebenarnya memisahkan kita dari kecil. Kemudian diwujudkan kelas peralihan ketika memasuki tingkat menengah. Mereka ini akan tetap dalam kepompong bahasa ibunda mereka kerana malu untuk bercampur dengan pelajar Melayu sebab dari awal telah dipisahkan.

Kalau orang Melayu benar mahu memartabatkan bahasa ibunda, bahasa Melayu mesti sentiasa meniti di hujung lidah pertuturan kita dan memberikan contoh yang baik apabila berbicara mahupun bertinta.

Kerajaan malahan agensi yang berkaitan sentiasa berusaha untuk ke arah itu dan orang Melayu mestilah sentiasa bersatu untuk menyokong ke arah itu juga kerana inilah sahaja milik orang Melayu yang tidak boleh digadai.



Bahasa adalah medium untuk kita manusia berkomunikasi. Mengapa perlu disukarkan?

Dalam mengapai ilmu dan pengetahuan, malahan dalam gambaran yang besar, iaitu perpaduan dan keharmonian antara kaum yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, seharusnya kita orang Melayu mempelajari bahasa ketiga, seperti Mandarin dan Tamil selain bahasa Inggeris.

Memadailah kita menguasai untuk berbicara dan bertinta. Bukan untuk menjadi sasterawan bahasa. Biar mereka yang segelintir yang mempunyai minat dan bakat yang besar itu menjadi ahli sastera. Kita yang lain menjadi penutur untuk keharmonian dan perpaduan.

 Orang bukan Melayu jarang sekali untuk membeli dan membaca akhbar berbahasa Melayu. Apatah lagi kita orang Melayu yang langsung tidak mengerti bahasa Mandarin dan Tamil. Sedangkan kita yang fasih berbahasa Melayu pun acapkali tidak mengerti apa yang dihidangkan dalam akhbar berbahasa Melayu.

Bahasa menunjukkan bangsa.

Tidak seperti jika orang Melayu yang bertutur bahasa Mandarin akan menjadikan orang Melayu itu berbangsa Cina atau jika berbahasa Tamil menjadikan dia sebagai orang India atau sebaliknya. Ianya lebih kepada sifat penutur itu yang menutur dan memahami resam bahasa lain dengan baik dan sopan. Tidak berguna juga jika hanya mempelajari perkataan kesat dalam bahasa yang kedua mahupun yang ketiga. Sebab kita sedang menuju kepada satu bangsa, bangsa Malaysia yang unik serta kaya dengan pelbagai bahasa, budaya dan tidak semestinya kita meminggirkan atau melupuskan jati diri bangsa seseorang itu.

Jika mahu menjadi orang Melayu yang beruntung, pelajarilah bahasa Mandarin dan Tamil sebaik mungkin selain dapat berbahasa Inggeris dengan baik.

Tamadun dunia membuktikan apabila rakyat dipisahkan sejak dari kecil, akan mengundang bahaya kelak. Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jadikan bahasa dalam sistem pendidikan sebagai tunggak kepada pembangunan negara.

 photo TheEvil.png