Sabtu, 2 Nov 2013 merupakan hari perayaan Deepavali. Aku bertemu sahabat-sahabat SSI Akrab di La Mina Cafe, Johor Bahru. Melepak sembang sambil menikmati mi rebus Johor. Pemiliknya merupakan pelajar junior aku di Sekolah Sultan Ismail, Johor Bahru. Muda setahun. leka berborak, masa mencemburui kami. Premis mesti ditutup. Kami berpindah lokasi, ke restoran mamak berdekatan. Hampir jam 3:00 pagi baru kami bersurai.
Ahad, 3 Nov 2013 - Perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Pahang. Aku bersama Mohd Noor dan Badrulhisham menonton perlawanan siaran lansung melalui kaca television di sebuah restoran di Majidee Park bersama kawan-kawan sepermainan yang lain.
Perlawanan yang dimenangi pasukan Pahang dengan jaringan satu gol tanpa balas diulas oleh kami secara seloroh. Menimbulkan suasana yang menyeronokkan. Mohd Noor menerima panggilan telefon daripada Nazrin menyatakan bahawa seorang kawan sekolah kami, Jais baru tiba dan menginap di Hotel Selesa, Johor Bahru.
Kami bertiga menjemput Jais di perkarangan hotel dan ke Samlivate Cafe, Johor Bahru. Rancak berbual sehingga haus tekak amat terasa, perut kosong berbunyi berlagu. Kami berpindah ke gerai makanan bersebelahan. Memesan minuman dan makanan mengalas perut pada jam 2:00 pagi.
Isnin, 4 Nov 2013 aku bersama keluarga mertua, ipar biras, isteri dan anak-anak ke Desaru. Melalui lebuhraya Senai - Desaru hanya mengambil masa kira-kira satu jam. Bayaran tol sebanyak RM11.20 di plaza tol Penawar. Terdapat satu jambatan dengan tiang menara ala-ala jambatan Pulau Pinang. Hebat! Kami singgah di sebuah restoran berhampiran Stesen Pengangkutan Bandar Penawar untuk santapan tengahari.
Selepas itu kami menuju ke Lotus Desaru Beach Resort yang terletak kira-kira 9 kilometer dari Bandar Penawar.
Selepas berehat sebentar di dalam bilik. Kami ke pantai. Aku dan isteri serta adik ipar dan biras menaiki 'Famili Doughnut' yang ditarik oleh sebuah bot laju. Lebih kurang seperti 'Banana Boat'.
Selasa, 1 Muharram 1435 - Selepas bersarapan, kami ke taman tema air yang berskala kecil yang dimiliki oleh pengurusan resort. Sekadar menceriakan anak-anak buah. Aku, isteri bersama Syami dan Sarah ke pantai untuk mandi laut.
Selepas daftar keluar, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, kami singgah sebentar di Batu Layar. Sekadar menghirup angin pantai dan menikmati pemandangan.