Jumaat kelmarin.
Pasang beberapa papan tanda di bahagian pengeluaran kilang Johnson & Johnson.
Cik Jacey menyelia kerja-kerja pemasangan.
Cuma di bilik pengeringan terasa hangat, berpeluh.
Berbeza dengan bilik basuh, hawanya dingin, selesa.
90 minit kemudian semua kerja pemasangan selesai.
Segera menuju ke Jalan Dungun, Bukit Damansara.
Melalui daerah Bangsar yang lama tidak dijenguk.
Kelihatan seperti dulu secara luarannya.
Sibuk dengan manusia yang punyai urusan dunia.
Tiba di Wisma Perintis, Encik Puspha didahulukan.
Serahkan sebutharga dan lakaran untuk cetakan aras direktori.
Hanya sebentar perbincangan dan semakan.
Segera pula menemui Encik William di TheyLeBread.
Terletak di aras bawah Wisma Perintis di hujung lobi lif ke menara.
Sapanya ramah sambil menghulurkan jabat salam.
Kebetulan pula ada seorang wanita yang berdiri berhampiran premis niaganya.
Tidak pasti pula bangsanya tapi riasnya orang barat.
Lalu dia berkata. "Maksiat!"
Terpinga sebentar.
"Lihat tatu di bahagian belakang badannya," dia berkata lagi.
Aku hanya mengandaikan wanita itu menghargai seni tatu.
Dia mengaitkan Shark, watak dalam filem KL Gangster pula.
Dikomennya tatu di bahagian leher Shark terlalu gelap.
Nyata seperti baru dilukis.
Dia ketawa...
Hampir 20 minit dia mengisikan ruang dengan bercerita tentang sebuah filem.
Filem yang dibintangi oleh Simon Yap, Sammo Hung dan Danny Chin.
Berkisar tentang dunia gangster dan polis korup.
Dikisahkannya aksi dari mula hingga tamat.
Disarannya aku untuk menonton dengan membeli VCD haram di pasar malam.
Katanya filem ini tidak ditayangkan di panggung dalam Malaysia.
Ganas sangat barangkali...
Malah disebutkan tajuknya dalam Kantonis.
Tidak dapat aku pastikan dengan betul.
Shao Pao Lo, begitulah lebih kurang bunyi sebutannya.
Selepas mukadimah yang panjang.
Barulah hadir pengisiannya.
Dia berminat untuk mencetak stiker dan sepanduk.
Mempromosikan perniagaan rotinya.
Walau adakala terganggu dengan kehadiran pelangganya.
Jika dikira betulnya, hanya 10 minit selesai perbincangan.
Diakhiri dengan pembelian setin Coke.
Inilah yang dikatakan, masa untuk burung pula mematuk.
Belum lagi urusniaga dijalankan.
Sebaliknya, aku pula menjadi pelanggan.
Memang dari kepetahannya berbicara.
Tamil, Inggeris, Kantonis malah berbahasa Melayu.
Dari sinar matanya juga, aku merasakan..
Encik William ini seorang yang licik berniaga.
No comments:
Post a Comment