Halaman

Wednesday, March 28, 2012

Buragas Broga.


Sekelumit pun tiada di hati minat untuk aktiviti pendakian Begitu juga dengan memancing. Berfantasi dengan keseronokkan yang bakal ditempuhi, aku gagahi juga bersedia untuk ke Bukit Broga yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari pekan Semenyih dan bersempadan dengan Negeri Sembilan walaupun mata ini tidak lelap semalaman.

Dari MRR2, menyusuri Jalan Cheras menuju ke Lebuhraya LEKAS. Di susur keluar ke Rinching – Semenyih menjadi panduan. Seterus melewati pekan Semenyih yang masih lagi nyaman di awal pagi Ahad. Kereta yang dipandu membelok ke kiri selepas melewati sebuah masjid dan stesen pam petrol Petronas di bahagian kanan menjadi rujukan. Jalanraya tiga lorong berubah menjadi dua lorong dan seterusnya selorong dua hala.

Tempat letak kereta di dalam ladang kelapa sawit.

Kaget juga bila melihat deretan kereta yang diletakkan di bahu jalan. Kereta dipandu perlahan berhati-hati kerana menyangka sanak-saudara pulang ke kampung halaman menyambut mempelai. Sangkaan jauh meleset. Destinasi yang dituju sudah tiba. Terlihat laluan masuk ke kawasan tempat letak kereta. Setelah membayar dua ringgit sebagai bayaran letak kereta, jenuh juga berpusing di dalam ladang kelapa sawit yang penuh dengan pelbagai model kenderaan.  Seolah mencari ruang letak kereta di dalam bangunan pasaraya besar yang meriah jualan murahnya!

Nyaman dan sejuk suasana persekitaran. Beberapa kumpulan pemuda lengkap berpakaian suai untuk pendakian kelihatan menuju ke satu arah yang sama. Kami bergerak mengekori beberapa kumpulan di hadapan sambil seorang teman berkongsi pengalaman untuk pendakian ini. Cahaya jingga di ufuk timur perlahan mencerahkan tanah.

Mengah semput tercunggap-cunggap aku menyedut udara. Kelihatan dakiannya landai tetapi betis dan paha tidak mampu membawa beban badan. Beberapa kali aku berhenti ambil kesempatan melepaskan lenguh kaki tika memberi laluan para pendaki yang ada bergerak turun kerana telah mendaki dari jam 5 pagi. Terdengar juga rungutan dengan nafas yang semput  para pendaki lain yang baru pertama kali mengalaminya seperti aku.

“Ini baru satu perlima dari perjalanan naik,” kedengaran suara yang memberitahu.

Teman-teman yang lain sudah pantas mendaki ke atas namun sempat berpesan agar mengambil masa. Jangan terburu-buru. Tidak lari gunung dikejar.

Huushh...Ini baru bukit!

Aku merehatkan diri sebentar, melabuhkan pinggul di atas batu yang terbonjol keluar dari muka bumi Allah ini. Sebatang rokok dicucuh buat teman melepas lelah. Menyesal pula meninggalkan air mineral di dalam kereta. Sangkaan jauh meleset. Peluh cepat benar mencurah keluar. Tekak terasa perit kekeringan.

Digagahi juga mendaki, perlahan-lahan. Namun tidak jauh langkahnya, betis menjerit untuk direhatkan. Hanya sepelaung lagi untuk tiba di puncak yang pertama. Aku memaksa langkah! Di puncak pertama kelihatan berbalam-balam pekan Semenyih. Tidak dapat aku nikmati pemandangannya dengan selesa. Dada berombak berlumba-lumba mencari nafas yang baru.


Pandangan puncak kedua dari puncak pertama.

Hampir lima belas minit aku terkandas di puncak pertama. Kelihatan ramai pasangan muda-mudi yang berpimpin tangan mendaki beriringan, baik yang mendaki mahupun yang menuruni jejak. Saling awas-mengawasi atur langkah pasangan agar tidak tergelincir. Pelbagai nasihat ditutur agar tersayang tidak mendapat malang. Para belia pula berlari-lari cergas sambil bercumbu antara satu sama lain. Dalam mengah, pecah juga derai ketawa mereka.

Kering peluh di badan, aku menghadap laluan ke puncak kedua. Nekad dibulatkan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.  Alang-alang sudah berjejak, biarlah tinggal tapak pengalaman.  Bila lagi aku boleh sampai di sini lagi?

Puncak kedua.

Perlahan sahaja aku melangkah mendaki. Gusar juga jika mana yang sedang turun jatuh terbabas laju ke bawah. Hahaha..! Berhati-hati cuma alasan sedangkan paru-paru berhempas-pulas bekerja mengepam udara keluar masuk. Mencuri nafas sambil mengatur langkah. Betis dan paha sudah terasa sengalnya. Tekak kering kalah seperti orang yang sedang berpuasa. Udara dihirup melalui hidung. Melepaskan lelah melalui mulut. Walau dikawal pernafasan, dada mengah berombak juga.



Mengeluh panjang bukan tanda penyesalan tapi melepaskan segala mengah setelah tiba di puncak kedua. Matahari sudah menyinar teriknya. Aku mencuri bayang di balik batu yang besar. Tercungap-cungap mencari nafas. Pemandangan yang cantik tidak dihirau. Biarlah semput ini reda, barulah aku menikmatinya. Leka pula melihat semut-semut yang merayap di antara butir-butir pasir. Beratur tersusun barisan para pekerjanya. Semut  yang dimetaforakan sebagai hidupan yang tidak mengenal erti penat tapi ada kesatuannya. Tidak perlu berpersatuan untuk bekerjasama atau untuk memperjuangkan bangsa yang merah atau yang hitam, yang kecil atau yang besar.


Keringat sudah kering disapa angin tapi peluh mengalir turun kerana bahang matahari yang menyinari bumi. Bangunku lesu. Terasa menarik urat-urat betis dan paha. Sengal lenguh semuanya cukup rasa. Langkah diatur perlahan. Mengeliat-ngeliat badan mengarahkan otot-otot agar bersedia. Dalam terik matahari aku mula mendaki perlahan ke puncak ketiga.

Pemandangan puncak kedua dari puncak ketiga.

Setapak demi setapak aku gagahkan. Namun laluan ini tidak sesukar mendaki puncak kedua. Tersergam tegak di hadapan puncak yang keempat. Nyata dakiannya mencabar ego manusia. Puncak ketiga belum jejak, puncak keempat sudah mengoda ego. Kelihatan sepertinya dia tersenyum sinis melihat manusia. Pada manusia yang ingin menambahkan aras kesombongan yang kononnya manusia bisa menakluki bukit dan gunung. Menjelajah tujuh lautan dan benua. Sedangkan manusia tidak pernah mahu menunduk pada kekuatan gunung itu sendiri yang menjadi pasak muka bumi ciptaanNya.



Senafas demi senafas. Langkah demi langkah yang mengigilkan kepala lutut orang kata. Mengah dan lelah menjadi halangan. Badan bermandikan peluh. Terasa peluh meluncur laju di setiap anggota badan namun angin berpuput menghulur simpati, menghembuskan semangat. Panjang helaan nafas berlawan-lawan dengan mengah di dada tika aku tiba di puncak ketiga. Mujur ada seorang teman berteleku di balik batu gadang, berlindung dari terik matahari di situ. Ditawarkan sebotol air mineral yang terasa dinginnya bila disambut dalam genggamanku. Perlahan kuteguk namun tiada henti laluannya terus ke kerongkong. Separuh air di dalam botol kugogok. Kalah musafir yang di padang pasir. Terlintas pula babak filem Lord of The Rings ketika Frodo kehabisan air minuman lalu Sam menawarkan air kepunyaannya.

Pemandangan puncak keempat dari puncak ketiga.


Tiga puluh minit aku beristirehat melepaskan lelah. Membina kekuatan untuk ke puncak terakhir. Aku pandang sayup puncaknya. Mataku meratah laluan pendakiannya. Kelihatan beberapa susuk manusia seolah sedang bergayut mencari tempat gayutan. Mencabar diri, mencari batas upaya tenaga empat kerat. Atau ingin membuktikan pada dunia bahawa aku sudah menawan puncak Bukit Broga! Aku menunduk lesu melepaskan sisa-sisa nafas lelah setelah diamankan dengan gogokan sebotol air sejuk. Sengal di betis dan paha memberi amaran. Diriku sudah goyah, terasa gigilan badan dalam bahang matahari. Tidur yang tidak cukup, perut yang kosong tanpa sarapan juga menberi ingatan. Aku mengalah bukan untuk pertandingan kalah dan menang. Tiada sebab untuk aku membuktikan apa-apa pada diri. Kerana diri sudah maklum keupayaannya. Kata sahabatku yang akrab, “Orang yang hebat tidak akan mempamerkan kehebatannya di hadapan orang lain.” Aku ingin jadi begitu. Ciss... Alasan...! Hahaha... diriku mentertawakan sikapku.

Begitupun, setelah berada di atas sini, terasa malas pula untuk menuruni langkah dakian. Sepertinya tidak puas kehadiran diri di daerah yang belum pernah dilalui. Bila lelah itu lenyap di bawa waktu, sudah berkira pula ingin berkunjung semula. Sayang untuk meninggalkan pemandangan dari atas sini. Leka melihat bunga-bunga lalang meliuk-liuk dipuput bayu.

Walau menuruni lebih mudah dari mendaki, keselamatan perlu juga. Larian atau lompatan yang lalai bisa menjahanamkan hidup. Tidak disedari, tersinggung juga buka lali dengan alas yang dipakai menyebabkan luka kecil. Darah merah dibiar tidak berseka. 

Penawar segala jerih.

 Yang paling nikmatnya... sedikit habuan untuk diri agar tidak jeran dengan halangan yang mendatang.


InTheShadow

1 comment:

  1. Seronoknya ke Broga. Teringin nak pergi tapi tak terpergi lagi. Huhu.

    ReplyDelete