Biasa kita mendengar ungkapan begini. Mana-mana tafsiran
mengenai idah pasti akan merujuk pada isteri atau wanita. Pendek kata hanya
wanita yang terikat dengan idah.
Idah, istilah dalam bahasa Arab bererti menghitung hari
dalam konteks perceraian. Yakni, waktu menghitung atau waktu menunggu oleh bekas isteri yang telah diceraikan atau
suami yang telah meninggal dunia. Dalam waktu idah ini, wanita itu tidak boleh
berkahwin lain. Kebiasaannya tempoh idah adalah selama 3 bulan atau bergantung
pada keadaan isteri untuk menentukan bahawa wanita itu hamil atau tidak dan
dengan ini dapat diketahui siapa bapa kepada anak di dalam kandungan wanita
itu. Namun idah tidak tertakluk untuk wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi
oleh suami.
Ternyata sangkaan idah hanya eksklusif dan sinonim untuk
wanita. Apa pun perbincangan mengenai
idah jarang sekali mengaitkan jantina lawan bagi isteri, suami. Mengetahui
bahawa lelaki tidak boleh hamil dan mempunyai rahim, idah bertujuan untuk memastikan
rahim wanita yang telah diceraikan suci daripada sebarang janin bagi
menggelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan
lelaki lain berlaku.
Pada asasnya, tiada idah bagi lelaki. Lelaki boleh berkahwin
dengan mana-mana perempuan sebaik sahaja dia bercerai dengan isterinya selagi
mana tidak mendapat halangan syarak. Jika ada, maka lelaki tersebut mestilah
menunggu sehingga hilangnya halangan tersebut. Terdapat tiga keadaan yang
menyebabkan seorang lelaki itu melalui tempoh menunggu atau pun idah.
Pertama, apabila seorang lelaki yang berpoligami telah
menceraikan salah seorang isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan bakal
isteri yang kelima. Lelaki itu mesti menunggu tamatnya idah isterinya yang
telah diceraikan.
Kedua, seorang lelaki yang telah menceraikan isterinya
dengan talak tiga. Sekiranya, lelaki tadi ingin merujuk atau berkahwin semula
dengan bekas isterinya, maka lelaki itu hendaklah menunggu sehingga bekas
isterinya berkahwin dengan lelaki lain,
melakukan persetubuhan, bercerai dan tamatnya idah dengan suami yang baru
dikahwininya.
Ketiga, apabila seorang lelaki yang telah pun bercerai
dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas
isterinya seperti, adik atau kakak bekas isteri mahu pun ibu saudara atau anak
saudara bekas isterinya. Situasi ini memerlukan lelaki tadi menunggu tempoh
idah isterinya yang diceraikan.
Pernikahan tidak boleh berlaku dalam waktu idah. Perkahwinan
itu juga tidak sah dan haram hukumnya. Apabila dalam tempoh idah, wanita yang
diceraikan masih lagi dianggap sebagai isteri dan suami wajib member nafkah
idah.
Lelaki mesti melalui tempoh idah seperti sebab pertama di
atas, kerana dikhuatiri suami tiba-tiba ingin merujuk kembali kepada isteri
yang telah diceraikan. Ini kerana Islam hanya membenarkan seorang lelaki
mengahwini empat orang perempuan dalam satu masa.
Begitu juga seperti sebab ketiga kerana berlaku pertembungan
konflik emosi. Di mana sebelah pihak (yang diceraikan/kematian) mengalami
kemurungan dan sebelah pihak lagi (yang hendak dinikahi) meraikan kegembiraan.
Walhal mereka dari ikatan keluarga yang sama. Jadi perlulah lelaki menunggu
tempoh idah.
Lawat kami!