“Tengok! Bila dibeli, bayang pun tak ada. Bila tak dibeli..
tegak-tegak keluar nombornya! Aduhh..,” gerutu Wak Kasmin sambil
mengeleng-gelengkan kepalanya seraya menghembus asap rokok, mengeluh. “Ini
kalau dicampakkan lima ringgit, ada juga sembilan ratus ni,” sambungnya lagi
kecewa dan matanya masih lagi tertekap di atas sekeping kertas putih yang mengandungi
keputusan nombor ekor petang tadi. Disedutnya keras rokok kretek, dihembus
dengan nafas kecewa, berkepul pekat asap putih kuning menerobos udara malam.
“Ngapa Wak, ini malam bulan cantik bersinar. Kenapa tak
dibeli nombor tu?” Kamil cuba menenangkan
pusaran kecewa Wak yang jelas nyata hampanya.
“Bukan tak mau dibeli. Tidak nyempat saya tadi petang. Masih
lagi siapin kerja di rumah orang. Lagi-lagi semalam. Belinya 2222, keluarnya
3222. Second prize nombor tu keluar. Lagi beli dengan jackpotnya.
“Second prize? Kena, masyuk la Wak. 6 bulanlah Wak tak amik
kerja. Balik kampung terus. Beli tanah, kerjakan ladanglah Wak,” Kamil cuba berseloroh, melenyapkan
perasaan dukacita Wak yang masih lara. Ada sengih di riak wajah Wak.
Dilipat-lipatnya kertas tadi lalu dibiarkan di atas meja. Wak menghirup teh tarik
lalu menyalakan lagi sebatang rokok kretek. Dihembus perlahan asap dari
mulutnya.
“Biasalah Wak, time beli, bayang pun tak ada. Time tak beli,
time tulah naiknya.”
“Sebenarnya, saya dalam 6 bulan ni, udah kurang membeli.
Kalau beli pun, satu pintu je. Ngak lagi tiga-tiga pintu. Itu pun, beli… kalau ada nombor yang bagus. Kalau gerak
hati mahu beli, beli. Ngak.. Saya duduk
diam-diam aja. Udah 2 tahun aku tak kena nombor. Kalau ada pun, yang iboxnya
aja.”
“Aish.. kenapa lak Wak?”
“Iyalah.. Bila udah tidak kena-kena. Terfikir jugak aku. Mungkin
Tuhan ngak mahu kasi aku rezeki dengan nombor lagi. Dia suruhh aku kerja. Awal
bulan lepas, belinya 2785. Kuarnya 1785, starter. Hari Sabtu lepasnya tu, aku
beli 6287. Keluar first prize, 6187,” Wak menegaskan suaranya memastikan cerita
sambil menekan-nekan jari telunjuknya di atas meja. Kamil mendengar tekun.
Orang masih lagi ramai lalu-lalang di kaki lima tempat
warung mamak terletak. Kelihatan juga di meja sana, tiga orang remaja yang
masih lagi meriah dengan derai ketawa bercerita. Pelayan ke hulu ke hilir
mengambil dan menghantar pesanan pelanggan sambil berteriak memanjangkan
pesanan kepada pembuat air atau penebar roti canai.
“Lepas kita raya itu hari, saya banyak dapat kerja. Pasang
tile, siling pejabat di Puchong. Kemudian
ada satu taukeh panggil saya buat dapur tuk rumah anaknya di Connaught. Lagi
Jerry minta bantu dia kerja ngecat rumah di Pandan Indah. Ada sahaja kerjanya
tidak berhenti. Lagi kerja sikit-sikit bikin wiring. Ngak sempat ni nak minum
kat sini. Terus aja balik rumah, keletihan. Tidur terus.”
“Bulan lepas sahaja, semua kerja ini sahaja, saya udah bisa
dapat gaji, empat ribu lebih. Beruntung lebih dari mengharap duit nombor.”
“Celaka punya nombor! Buat habis duit saja,” Wak merengus.
“Tu pasallah Wak tak beli nombor tadi?” tanya Kamil.
“Tadi tengahari aku ikutnya Jerry. Bikin cat kat rumah orang
di Cheras. Udahnya sudah selesai, mahu aja pulang, Yap ngajak makan dulu.
Kemudian terus dihantarnya aku balik ke rumah. Lepas mandi semua, ingat-ingat
mahu keluarlah ke mari. Sudah sampai sini, semuanya ada. Dia orang semua ada. Sedang
nulis nombor. Aku lihatkan aja. Ngak terfikir pun aku mahu membeli. Ditanya
jugak dia orang, mahu kirim ngak? Aku diam aja.”
“Sayanglah Wak, kalau kirim tadi..,” Kamil pula seolah menyesal.
“Bukan…,” Wak jawab perlahan.
“Hari Khamis malam, saya mimpi... Kena nombor,” Wak tertawa
kecil. “Dalam mimpi tu, nombornya naik. Kena besar! Tapi saya ingat-ingat, ada
banyak nombor dua. Tapi nombornya panjang. Sepertinya lapan angka. Rasanya tu,
perasaan tu macam ngak sabar nak ambil wangnya. Mimpinya seperti betul, seperti
udah kena...! Bila sudah sedar tu, fikir-fikir juga nombor itu. Ingat-ingat di
hati tu kan seperti mahu membeli 2222, 3222, 2255, 2225.”
“Wak ada tulis tak?” Kamil bertanya.
“Ngak, cuma fikir-fikir dalam hati gitulah, masa bangkit
tidur tu,” jawab Wak perlahan.
“Jadi semalam, saya awal-awal lagi di sini, minum. Sementara menantinya Jerry sampai jam
sebelas. Mahu bikin kerja di Cheras sanalah. Saya belilah, 2222 di Toto. Beli
sekali ngan jackpotnya, 6952 dengan 7927, enam ringgit. Dibeli sahaja 2785,
lima ringgit,” Wak bersungguh bercerita.
“Balik saja dari kerja sana, semuanya singgah ke sini. Bila sudah pukul tujuh setengah tu,
tengok result, udahnya, keluar 3222 second prize. Masa tu, dalam hati saya… Aduh!
Udah tak tahu mahu cakap apa. Diam saja saya… Iya, saya diam saja. Memikirkan. Dia
orang cakap-cakap sama saya pun saya, saya diam saja.”
“Ini hari keluar 2785, tapi ngak beli…”
“Huish… sayanglah Wak. Kalau tak…”
“Iyalah… itulah…! Saya fikir, Tuhan tak mahu bagi saya
rezeki dengan nombor lagi. Dia suruh saya kerja.”