Halaman

Sunday, November 20, 2011

Idah.. Lelaki?

“Idah, lelaki? Idah.. perempuanlah”.

Biasa kita mendengar ungkapan begini. Mana-mana tafsiran mengenai idah pasti akan merujuk pada isteri atau wanita. Pendek kata hanya wanita yang terikat dengan idah.

Idah, istilah dalam bahasa Arab bererti menghitung hari dalam konteks perceraian. Yakni, waktu menghitung atau waktu menunggu  oleh bekas isteri yang telah diceraikan atau suami yang telah meninggal dunia. Dalam waktu idah ini, wanita itu tidak boleh berkahwin lain. Kebiasaannya tempoh idah adalah selama 3 bulan atau bergantung pada keadaan isteri untuk menentukan bahawa wanita itu hamil atau tidak dan dengan ini dapat diketahui siapa bapa kepada anak di dalam kandungan wanita itu. Namun idah tidak tertakluk untuk wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi oleh suami.

Ternyata sangkaan idah hanya eksklusif dan sinonim untuk wanita.  Apa pun perbincangan mengenai idah jarang sekali mengaitkan jantina lawan bagi isteri, suami. Mengetahui bahawa lelaki tidak boleh hamil dan mempunyai rahim, idah bertujuan untuk memastikan rahim wanita yang telah diceraikan suci daripada sebarang janin bagi menggelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku.

Pada asasnya, tiada idah bagi lelaki. Lelaki boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan sebaik sahaja dia bercerai dengan isterinya selagi mana tidak mendapat halangan syarak. Jika ada, maka lelaki tersebut mestilah menunggu sehingga hilangnya halangan tersebut. Terdapat tiga keadaan yang menyebabkan seorang lelaki itu melalui tempoh menunggu atau pun idah.

Pertama, apabila seorang lelaki yang berpoligami telah menceraikan salah seorang isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan bakal isteri yang kelima. Lelaki itu mesti menunggu tamatnya idah isterinya yang telah diceraikan.

Kedua, seorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Sekiranya, lelaki tadi ingin merujuk atau berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka lelaki itu hendaklah menunggu sehingga bekas isterinya  berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan, bercerai dan tamatnya idah dengan suami yang baru dikahwininya.

Ketiga, apabila seorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti, adik atau kakak bekas isteri mahu pun ibu saudara atau anak saudara bekas isterinya. Situasi ini memerlukan lelaki tadi menunggu tempoh idah isterinya yang diceraikan.

Pernikahan tidak boleh berlaku dalam waktu idah. Perkahwinan itu juga tidak sah dan haram hukumnya. Apabila dalam tempoh idah, wanita yang diceraikan masih lagi dianggap sebagai isteri dan suami wajib member nafkah idah.

Lelaki mesti melalui tempoh idah seperti sebab pertama di atas, kerana dikhuatiri suami tiba-tiba ingin merujuk kembali kepada isteri yang telah diceraikan. Ini kerana Islam hanya membenarkan seorang lelaki mengahwini empat orang perempuan dalam satu masa.

Begitu juga seperti sebab ketiga kerana berlaku pertembungan konflik emosi. Di mana sebelah pihak (yang diceraikan/kematian) mengalami kemurungan dan sebelah pihak lagi (yang hendak dinikahi) meraikan kegembiraan. Walhal mereka dari ikatan keluarga yang sama. Jadi perlulah lelaki menunggu tempoh idah.

Lawat kami!
Photobucket
 blog

Monday, October 31, 2011

Whitesnake - ForeverMore World Tour 2011.



Dengan slogan, 

"Saya ingin menyaksikan David Coverdale's Whitesnake konsert kerana heavy metal keunggulan dalam kehidupan musikku yang nyata sentiasa inovasi membentuk metafora kreatif."


Aku berjaya memenangi sepasang tiket berharga RM158.00 setiap satu bagi menyaksikan Konsert Whitesnake FOREVERMORE anjuran JS Concert Production menerusi akhbar harian Kosmo di Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi (Okt 30, 2011) merupakan sebahagian konsert Whitesnake menjelajah dunia mempromosikan album terbarunya, FOREVERMORE!


Ini juga merupakan penyertaan dan peraduan tunggal yang aku sertai melalui akhbar sepanjang hidup aku.


"Alangkah bagus jika untuk konsert King Diamond!" Hua.. hua.. hua..!




Jam 2000 aku sudah memasuki stadium dan mengambil tempat duduk bertentangan dengan pentas. Kelihatan Joe Wings dan beberapa anggota kugiran lain yang mengiringi Ella, Ratu Rock Malaysia sedang beraksi seketika sebelum Ella membuat kemunculan dengan mendendangkan 4 buah lagu antaranya lagu Dua Insan Bercinta.


Mungkin kerana kawasan di hadapan pentas agak kurang penonton kecuali di bahagian paling hadapan pentas yang sememangnya diisi oleh peminat fanatik Whitesnake maka pihak penganjur membenarkan sebahagian penonton untuk turun ke bawah mengisi ruang kosong.


Walaupun pentas dan persembahan pentas agak ringkas, keseluruhannya, konsert ini amat bertenaga dengan vokal David Coverdale mendendangkan lagu-lagu ballad klasik seperti Here I Go Again, Is This Love dan beberapa buah lagu dari album ForeverMore. Ditambah lagi persembahan-persembahan solo dua gitarisnya yang memukau dan yang lebih mengujakan adalah persembahan drum solo. Pukulan padu dan padat dengan drumsticks, chopsticks malah menggunakan dua bilah pisau kemudian disusuli pukulan dengan hanya menggunakan tapak tangan!




Lebih kurang jam 2300 konsert berakhir dan sebelum itu, David Coverdale mengalunkan lagu Soldier of Fortune tanpa diiringi musik. Jelas di sini terlontar vokalnya yang hebat!


blog

Friday, October 28, 2011

Selepas kesulitan.

Sedang leka bersama rakan-rakan bermandi-manda di kolam renang, Yahya cuba melakukan aksi terjunan. Malang tidak berbau! Pinggul Yahya terhentak di bibir kolam. Kesakitan yang dialami tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Rakan-rakan yang lain tergumam seketika. Yahya mengalami kecederaan parah sehingga memaksa ayah tirinya mengejarkannya ke hospital.

Lima jam berada di dalam dewan bedah, Yahya  bertarung nyawa. Selepas tiga hari, barulah Yahya mampu tersenyum kerana diberi peluang melihat dunia. Amir yang menemaninya akhirnya bersuara, nadanya gembira sambil berkata, “ Yahya, hidup kau kini berada di tangan Allah. Bertahanlah, sabarlah. Allah s.w.t pasti menolong.” Yahya mengucapkan syukur pada Tuhan sekalipun dia tidak faham apa yang dimaksudkan.

Akibat dari kecederaan itu, pergerakkan Yahya amat terbatas. Apatah lagi dengan kecederaan di sendi pergelangan yang berisiko untuk dia mengalami kecacatan. Yahya kini berjuang untuk hidup. Hari terus berlalu, namun jauh di sudut hatinya telah sedar bahawa dia telah mensia-siakan nikmat kehidupan. Kemalangan itu benar-benar menuntut Yahya terus bersemangat untuk menguasai diri dari kesakitan yang dirasai.

Jika dulu, dunia hanya untuk keseronokkan tetapi kini dia lebih banyak merenung hikmah yang telah berlaku ke atas dirinya. Baginya, jika Allah s.w.t. hendak memberi hidayah padanya, maka tiada apa yang boleh menghalang.

Allah berfirman, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Ash-Syar-h 94:6)


Keinginan Yahya untuk memeluk Islam semakin menebal walau dia tahu dia terpaksa meninggalkan segala kemewahan. Yahya berpindah keluar dari rumah yang mewah dan keluarga tiri yang dicintainya menuju ke rumah ayah kandungnya walaupun rumah ayahnya lebih kecil dan menjadikan dapur sebagai bilik tidurnya. Semata-mata untuk memilih jalan yang benar dan mencari hidayah Allah s.w.t.

November 2006 merupakan titik perubahan dalam hidupnya setelah bergelar muslim ketika usianya menginjak 17 tahun. Keputusannya itu dianggap gila oleh rakan-rakan yang lain malah keluarga tirinya. Caci maki, sumpah seranah dan penghinaan berterusan dilemparkan kepadanya. Yahya tahu semuanya mesti dihadapinya sebaik sahaja dia memilih untuk memeluk Islam. Ternyata jiwa remaja Yahya Schroeder cukup tabah dan mengorbankan segala keindahan dunia. Berpesta dengan limpahan arak kini dilupakan. Dia nekad untuk tidak berpatah balik.

Sekalipun akur hidup dalam kemewahan amat mengujakan namun tatkala diri bersendirian, terasa kekosongannya. Dia sentiasa mencari untuk mengisi kekosongan itu. Ketenangan! Itulah yang dicarinya… Kini segala-galanya di hadapan mata. Masakan dia mahu meninggalkan apa yang dicari setelah memilikinya!

Yahya mengakui untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di daerah Hitler tidak semudah yang difikirkannya. Malah pemuda Muslim yang dilahirkan di negara ini lebih berbangga dengan title sebagai warga Jerman berbanding mengakui diri mereka Muslim. Tidak keterlaluan juga dikatakan ada yang sanggup mengadaikan keislaman mereka untuk mendapat taraf kewarganegaraan.

Yahya mulanya berjinak-jinak mengenali Islam setelah ayah kandungnya memeluk Islam pada tahun 2001. Dia mencari erti ketenangan dan ketuhanan, meneroka pelbagai perkara untuk mengenali cara kehidupan orang Islam di Jerman. Dari pencarian ini, bermulalah dia mengenali Amir, salah seorang dari komuniti Islam di bandarnya.

Kini, segalanya Yahya melalui kehidupannya dengan matang. Rakan-rakan yang dulu memaki, mencemuh dan mengejeknya mula bosan dengan perlakuan mereka masing-masing. Sebaliknya mereka mula mencari sebab mengapa Yahya masih bertahan sebagai seorang Muslim. Disitulah Yahya memulakan perjalanan dakwahnya. Yahya menerangkan Islam bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Barat. Bahkan Islam adalah penerang kehidupan bagi setiap insan. Kini rakan-rakannya mula memahami bahawa Islam adalah rahmat untuk seluruh manusia.

blog



Monday, October 10, 2011

Dia lagi sayang!


“Tengok! Bila dibeli, bayang pun tak ada. Bila tak dibeli.. tegak-tegak keluar nombornya! Aduhh..,” gerutu Wak Kasmin sambil mengeleng-gelengkan kepalanya seraya menghembus asap rokok, mengeluh. “Ini kalau dicampakkan lima ringgit, ada juga sembilan ratus ni,” sambungnya lagi kecewa dan matanya masih lagi tertekap di atas sekeping kertas putih yang mengandungi keputusan nombor ekor petang tadi. Disedutnya keras rokok kretek, dihembus dengan nafas kecewa, berkepul pekat asap putih kuning menerobos udara malam.

“Ngapa Wak, ini malam bulan cantik bersinar. Kenapa tak dibeli nombor tu?” Kamil  cuba menenangkan pusaran kecewa Wak yang jelas nyata hampanya.

“Bukan tak mau dibeli. Tidak nyempat saya tadi petang. Masih lagi siapin kerja di rumah orang. Lagi-lagi semalam. Belinya 2222, keluarnya 3222. Second prize nombor tu keluar. Lagi beli dengan jackpotnya.

“Second prize? Kena, masyuk la Wak. 6 bulanlah Wak tak amik kerja. Balik kampung terus. Beli tanah, kerjakan ladanglah  Wak,” Kamil cuba berseloroh, melenyapkan perasaan dukacita Wak yang masih lara. Ada sengih di riak wajah Wak. Dilipat-lipatnya kertas tadi lalu dibiarkan di atas meja. Wak menghirup teh tarik lalu menyalakan lagi sebatang rokok kretek. Dihembus perlahan asap dari mulutnya.

“Biasalah Wak, time beli, bayang pun tak ada. Time tak beli, time tulah naiknya.”

“Sebenarnya, saya dalam 6 bulan ni, udah kurang membeli. Kalau beli pun, satu pintu je. Ngak lagi tiga-tiga pintu. Itu pun,  beli… kalau ada nombor yang bagus. Kalau gerak hati mahu beli,  beli. Ngak.. Saya duduk diam-diam aja. Udah 2 tahun aku tak kena nombor. Kalau ada pun, yang iboxnya aja.”

“Aish.. kenapa lak Wak?”

“Iyalah.. Bila udah tidak kena-kena. Terfikir jugak aku. Mungkin Tuhan ngak mahu kasi aku rezeki dengan nombor lagi. Dia suruhh aku kerja. Awal bulan lepas, belinya 2785. Kuarnya 1785, starter. Hari Sabtu lepasnya tu, aku beli 6287. Keluar first prize, 6187,” Wak menegaskan suaranya memastikan cerita sambil menekan-nekan jari telunjuknya di atas meja. Kamil mendengar tekun.

Orang masih lagi ramai lalu-lalang di kaki lima tempat warung mamak terletak. Kelihatan juga di meja sana, tiga orang remaja yang masih lagi meriah dengan derai ketawa bercerita. Pelayan ke hulu ke hilir mengambil dan menghantar pesanan pelanggan sambil berteriak memanjangkan pesanan kepada pembuat air atau penebar roti canai.

“Lepas kita raya itu hari, saya banyak dapat kerja. Pasang tile, siling pejabat di Puchong.  Kemudian ada satu taukeh panggil saya buat dapur tuk rumah anaknya di Connaught. Lagi Jerry minta bantu dia kerja ngecat rumah di Pandan Indah. Ada sahaja kerjanya tidak berhenti. Lagi kerja sikit-sikit bikin wiring. Ngak sempat ni nak minum kat sini. Terus aja balik rumah, keletihan. Tidur terus.”

“Bulan lepas sahaja, semua kerja ini sahaja, saya udah bisa dapat gaji, empat ribu lebih. Beruntung lebih dari mengharap duit nombor.”

“Celaka punya nombor! Buat habis duit saja,” Wak merengus.

“Tu pasallah Wak tak beli nombor tadi?” tanya Kamil.

“Tadi tengahari aku ikutnya Jerry. Bikin cat kat rumah orang di Cheras. Udahnya sudah selesai, mahu aja pulang, Yap ngajak makan dulu. Kemudian terus dihantarnya aku balik ke rumah. Lepas mandi semua, ingat-ingat mahu keluarlah ke mari. Sudah sampai sini, semuanya ada. Dia orang semua ada. Sedang nulis nombor. Aku lihatkan aja. Ngak terfikir pun aku mahu membeli. Ditanya jugak dia orang, mahu kirim ngak? Aku diam aja.”

“Sayanglah Wak, kalau kirim tadi..,” Kamil pula seolah menyesal.

“Bukan…,” Wak jawab perlahan.


“Hari Khamis malam, saya mimpi... Kena nombor,” Wak tertawa kecil. “Dalam mimpi tu, nombornya naik. Kena besar! Tapi saya ingat-ingat, ada banyak nombor dua. Tapi nombornya panjang. Sepertinya lapan angka. Rasanya tu, perasaan tu macam ngak sabar nak ambil wangnya. Mimpinya seperti betul, seperti udah kena...! Bila sudah sedar tu, fikir-fikir juga nombor itu. Ingat-ingat di hati tu kan seperti mahu membeli 2222, 3222, 2255, 2225.”

“Wak ada tulis tak?” Kamil bertanya.

“Ngak, cuma fikir-fikir dalam hati gitulah, masa bangkit tidur tu,” jawab Wak perlahan.

“Jadi semalam, saya awal-awal lagi di sini, minum.  Sementara menantinya Jerry sampai jam sebelas. Mahu bikin kerja di Cheras sanalah. Saya belilah, 2222 di Toto. Beli sekali ngan jackpotnya, 6952 dengan 7927, enam ringgit. Dibeli sahaja 2785, lima ringgit,” Wak bersungguh bercerita.

“Balik saja dari kerja sana, semuanya singgah  ke sini. Bila sudah pukul tujuh setengah tu, tengok result, udahnya, keluar 3222 second prize. Masa tu, dalam hati saya… Aduh! Udah tak tahu mahu cakap apa. Diam saja saya… Iya, saya diam saja. Memikirkan. Dia orang cakap-cakap sama saya pun saya, saya diam saja.”


“Ini hari keluar 2785, tapi ngak beli…”


“Huish… sayanglah Wak. Kalau tak…”

“Iyalah… itulah…! Saya fikir, Tuhan tak mahu bagi saya rezeki dengan nombor lagi. Dia suruh saya kerja.”



blog

Wednesday, October 5, 2011

Belanjawan.


Kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Itulah cara ayam mencari makan. Apa yang dapat dikaisnya, habis semua dimakan. Tidak ada ingatan untuk disimpan. Mungkinkah ayam yang mengais jika terjumpa cacing yang sihat lalu disimpan atau diternak lalu dibiakkan menjadi bekalan makanannya? Malah kita yang membela ayam di belakang rumah, disiapkan rebannya, disediakan lampu agar ayam-ayam tidak kesejukkan di malam hari. Cukup waktu kita pula memanggilnya sambil menabur dedak atau sisa nasi semalam yang tidak habis menjadi rezeki kita. Sampaikan kita pula menjadi gusar bila berjauhan dari rumah mengingatkan ayam-ayam di reban tiada siapa yang hendak memberi makan.

Ada juga segelintir manusia yang hidupnya seperti perumpamaan ini. Mereka berusaha mencari rezeki di hamparan bumi ini. Mereka lakukan apa yang terdaya oleh mereka dan redha dengan rezeki yang diberikan oleh Tuhan. Syukur diucap, mengeluhnya tiada. Satu ringgit yang berada disaku amat payah dibelanjakan kerana sikap berhati-hati dalam berbelanja. Namun pada segelintir manusia, sepuluh ringgit yang ada disaku boleh menjadi kerisauan kerana tidak cukup untuk berbelanja. Apalagi dengan kehidupan di bandaraya yang segalanya menuntut wang walau dengan sayu mereka berkata, “Segalanya wang tetapi wang bukan segalanya”.

Bukit kalau ditarah hari-hari akan rata juga akhirnya. Ini perumpamaan membandingkan dengan manusia yang sering berbelanja boros walau miliki wang ringgit yang banyak. Lama-kelamaan akan habis juga wang ringgit itu dibelanjakan. Tetapi bagi sebelah yang lain, manusia yang positif akan menggambarkan perumpamaan ini sebagai satu usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh secara berterusan. Bukan mudah hendak meratakan bukit secara logiknya.

Adakala bila pendapatan kita ada sejumlah ini, kita masih mampu menjalankan kehidupan. Masih mampu menanggung tanggungan atau diri kita sendiri. Tetapi bila pendapatan kita sudah bertambah dan meningkat, mengapa masih kita merasai ianya tidak mencukupi. Bukankah sepatutnya mempunyai lebihan yang nyata? Tetapi manakah perginya wang ringgit itu disalurkan?

Kita mengatakan kita masih membuat simpanan malah kita tambah lagi nilai simpanan. Bila susut wang di poket, mampukah kita menahan diri agar tidak menghadap mesin wang ATM? Mungkin kita akan beralaskan, “Tak mengapa, sekali ini sahaja”. Bila ada waktunya memang kita memikirkan simpanan wang untuk kegunaan kecemasan yang boleh muncul tanpa diduga. Di sudut hati yang lain pula membisik, “Duit bukan boleh dibawa mati”. Yang mati kerana wang ramailah!

Pasti ada segelintir manusia yang memikirkan bahawa kita berhak berbelanja mengikut kemahuan hati untuk kepuasan diri setelah bertungkus-lumus bekerja mencari duit. Benar, tapi perlukan kita membeli sehelai baju kemeja berharga RM400.00 di butik yang berjenama? Mereka sahaja yang punya jawapannya. Itu tidak menjadi masalahnya tetapi yang sering menjadi masalah pada manusia begini apabila ada saudara-mara atau adik-beradik yang memerlukan pertolongan dari segi wang ringgit, manusia ini mampu dan berani untuk tidak menghulurkan bantuan dengan alasan tidak punya wang. Mereka ini gusar jika bantuan kewangan diberikan, ianya akan menjadi seperti perbuatan memberi kucing makan, yang datang menggesel kaki kita ketika makan sambil mengiau-ngiau meminta makanan. Bila sudah diberi, kucing itu akan kembali lagi meminta.

Resah wang hanya habis dihulur sebagai badan kebajikan sedangkan kepuasan hati meronta-ronta untuk memiliki seluar dungree lusuh buatan Perancis.

Semasa kita anak-anak, kita minta wang belanja sekolah dari ibu atau bapa. Apa sahaja perbelanjaan kita semasa menuntut di sekolah kita minta sahaja pada ayah tanpa memikirkan kesusahan ayah dan ibu. Ayah memujuk ibu mengatakan tidak mengapa kita berkorban untuk pembelajaran anak kita. Ayah akan membuat pilihan dan mengorbankan banyak perkara yang kita sebagai anak ketika itu tidak pernah memahaminya malah ibu sendiri tidak tahu bagaimana ayah berusaha, menyeka peluh di dahi mencari wang. Ayah pastinya akan bertanya pada kita, adakah duit belanja yang diberi kelmarin sudah habis dibelanjakan?

Andai jawapan masih berbaki. Ayah akan sarankan agar kita jimat berbelanja. Ingat keperluan masa depan. Itu didikan ayah! Wang sudah habis dibelanjakan untuk membeli barang keperluan sebagai jawapan balas pada pertanyaan ayah, pastinya ayah akan menyeluk sakunya mengeluarkan beberapa keping wang kertas dan menghulurkan kepada kita hanya untuk memastikan kita tidak keputusan duit berbelanja. Hulurannya pasti diiringi dengan nasihat agar kita belajar lebih tekun dan jangan boros berbelanja. Itu nasihat ayah!


Sememangnya manusia tidak pernah akan puas dengan apa yang dimilikinya. Tamak atau ingin berlebih daripada orang lain? Seharusnya kita mesti berbelanja dan melakukan pengurusan wang dengan betul dan berhemah. Sekiranya kita berdisiplin dalam pengurusan wang, pasti Allah akan sentiasa memberi rezeki yang kita tidak terduga kerana Dia tahu kita membelanjakan wang yang diberiNya pada jalan yang diredhaiNya. Jika kita sekadar menyimpan dan lalai pula pada cukup haulnya.. malah diberi lagi dengan melimpah-ruah dan kita alpa dengan nikmat syukur dan pada asnaf yang memerlukan, itulah ujian untuk kita.

blog

Friday, September 9, 2011

Terlelap.

Beberapa kali dia menekan-nekan butang lif pada dinding dengan ibu jarinya. Seolah-olah mengharapkan lif akan terus sahaja tiba lalu membuka pintu untuk diisi oleh penumpang sama ada untuk turun ke aras bawah atau membawa naik ke aras atas. Dia melihat jam di tangan. Lewat.

Lif berhenti di aras 5. Pintu terbuka. Dia meluru keluar menuju ke surau yang terletak di aras itu. Gara-gara pembentangan yang terlalu lama tadi, dia hampir terlepas waktu Asar. Azman menggerutu di dalam hatinya sendiri menyalahkan para perunding  yang leka dengan pembentangan cadangan untuk mendapatkan tender projek membina taman tema air yang terbesar di Kota Pelangi. Azman memang tidak gemar melengahkan waktu solatnya tetapi adakala situasi dan masa menjeratnya. Sememangnya dia sentiasa berusaha untuk mengimbangi kedua-keduanya, dunia dan akhirat.

Dahulu Azman hanya bekerja sebagai jurutera cabuk dalam satu syarikat swasta yang mengurus banyak projek-projek pembinaan mega walau di dalam negara sendiri. Apabila kegawatan ekonomi melanda, Azman diberhentikan oleh majikan kerana masalah pengurusan kewangan syarikat yang agak meruncing. Azman akur. Rezekinya sudah tiada di sini. Dia tidak pernah menyalahkan takdir namun dia sentiasa berharap takdir sentiasa menyebelahinya.

Akhirnya setelah 4 tahun dia menjinakkan dirinya sebagai usahawan dalam bidang pembinaan dengan  berbekalkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan sedikit modal hasil dari sikapnya yang berjimat-cermat semasa makan gaji dahulu. Terbukti benar pesan ibunya, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Dia kini selesa untuk menjalani kehidupan sebagai warga kota bandaraya dengan keluarga yang aman bahagia bersama seorang isteri dan seorang anak perempuannya yang baru menginjak usia 2 tahun bulan lepas.

Selesai mendirikan solat Asar walau hampir di hujung waktu, Azman kemudian menyandarkan dirinya pada dinding surau sambil membelek-belek halaman sebuah buku agama. Niatnya untuk berehat seketika melepaskan waktu sesak di jalan raya. Sebentar tadi dia sudah mengirimkan teks pesanan melalui telefon bimbitnya kepada isterinya memberitahu bahawa dia pulang sedikit lewat dari kebiasaannya dan menukarkan mod senyap telefon bimbitnya kepada mod biasa kerana tidak mahu terganggu pembentangannya tadi dengan panggilan masuk apatah lagi bila dia sedang mengadap Penciptanya.

Azman terdengar seseorang memberi salam kepadanya. Dia menoleh dan menjawab salam dalam suara yang teragak-agak. Dilihatnya seorang lelaki yang agak tua darinya, berseluar dungree biru lusuh dengan kemeja kelabu yang hampir juga hilang warnanya menghulurkan tangan untuk bersalaman lalu duduk bersila di sebelahnya tanpa disuruh. Azman menyambut salam yang dihulur. Kelihatan tenang air muka lelaki itu sambil senyuman yang tersimpul di bibirnya. Azman masih lagi berasa was-was tentang hajat lelaki tersebut.

Lelaki tersebut mengalihkan beg galasnya yang disandang tadi ke hadapan persilaannya. Lalu di tarik perlahan zip pada beg galas itu. Lalu ditunjukkan isi di dalam beg galas itu kepada Azman yang masih tertanya-tanya dengan maksud kehadiran lelaki tersebut. Terbeliak mata Azman melihat banyak wang kertas yang terikat rapi tetapi berterabur susunannya di dalam beg galas itu.

Lelaki itu pun bersuara lalu bertanya, “Mahukah saudara menerima wang ini?” Azman terpaku dengan soalan lelaki itu.

“Mengapa pula mahu wang itu diserahkan kepada saya,” akhirnya kotak suara Azman mengeluarkan getar walau masih lagi dalam kebimbangan. Bukannya dia tidak pernah melihat wang kertas sebanyak itu cuma seperti tidak kena pada tempatnya, di dalam surau bangunan yang menempatkan pejabatnya di aras 17. “Bukan hak saya, sebab itu saya mesti memberikan pada mereka yang berhak mengikut jalan yang diredhaiNya,” jawab lelaki itu sopan.

“Tetapi saya bukan seorang yatim atau asnaf bahkan saya bukan juga mualaf yang bermusafir,” Azman seperti menolak kerana hatinya ragu dengan tujuan dan maksud lelaki itu. Bimbang jika kejadian itu mengarah ke jalan jenayah.

“Walau wang di dalam beg ini jumlahnya besar tetapi jika di bandingkan dengan kekayaan yang saya miliki, jumlah wang ini masih lagi kecil. Apatah lagi dengan kekayaanNya. Sekiranya saudara tidak sudi menerima sedekah saya, tidak mengapa. Saya akan mencari orang lain yang berhak atas wang ini,” jelas lelaki  itu sambil menarik kembali zip menutup beg yang ternganga menampakkan sebahagian dalam isinya. Lantas lelaki itu berdiri dan berlalu pergi tanpa sepatah kata meninggalkan Azman yang masih lagi seperti tidak mengerti dengan apa yang berlaku. Dia ingin sahaja mahu memanggil kembali lelaki itu untuk menjawab persoalan dalam fikirannya tetapi lelaki itu telah hilang dari penglihatannya dan tiba-tiba deringan dari telefon bimbit Azman menghalangnya.

Azman terperanjat apabila dia menyedari bahawa deringan telefon bimbitnya mengejutkannya dari lena sebentar tadi. Berulang-ulang kali Azman beristighfar sambil memerhatikan sekeliling. Hanya dia berseorangan, kerdil mengisi ruang kosong di dalam surau. Azman membiarkan telefon bimbitnya berdering memecahkan keheningan di dalam surau. Azman memandang tepat ke arah kiblat di hadapannya dengan nafas yang masih lagi berombak di dadanya dan memikirkan bagaimana dia boleh terlelap. Telefon bimbit Azman kembali sepi. Azman mencapai telefon dan melihat panggilan yang tidak dijawab daripada isterinya. Kemudian dia menujah-nujah jari telunjuk pada skrin telefon bimbit lalu menyusun aksara-aksara yang membina perkataan pusat pungutan zakat.





blog

Tuesday, August 30, 2011

Salam Lebaran.


Biar renggang di fana dunia

biar hina di mata manusia

biar harta semakin tiada

biar jauh kedudukan kita

biar jurang pangkat kita

Jangan tergadai silaturrahim antara kita


Minal Aidil Wal Faizin

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin!



blog

Monday, August 29, 2011

Rindu ketikanya.

Susunan gerai di bazar Ramadhan pun sudah berjarak. Makcik yang jual nasi kerabu pun dari hari Sabtu kelmarin sudah tiada di tapak kebiasaanya. Abang yang jual Roti John pun tidak kelihatan hari ini. Anak dara yang menjual kuih tepung pelita, membantu ibu mencari rezeki juga sudah tiada untuk diusik lagi.

Ada yang tinggal pun beberapa gerai yang masih gigih berniaga. Suara pekikan memanggil pelanggan dan suara-suara yang bertingkah mempromosi barangan jualan juga sudah sepi. Beberapa minggu lalu, berjalan pun berlaga bahu, hari ini, lengang. Hilang sudah kemeriahan petang Ramadhan terakhir ini di bazar Ramadhan ini. Bertambah hening lagi suasana bila hujan yang tadi renyai mula menitik kasar.

Membeli pun seadanya sahaja. Berbuka pada hari terakhir Ramadhan. Terkenang pula keriuhan waktu sahur. Ibu di dapur sibuk memasak untuk hidangan sahur. Adik pula masih liat di katil, pisat-pisat membuka mata bila terdengar suara garau abah mengejutkan. Dari kaca televisyen suara alunan tasbih mengisi  keheningan di ruang makan. Pesan ibu agar tidak lupa membaca niat untuk berpuasa kedengaran setiap hari sambil menghidangkan lauk-pauk seadanya di atas meja makan. Selera pada dinihari sememangnya tidak sama dengan selera di senjakala.

Malam semalam pun di masjid, terawih juga tidak penuh safnya. Beza pada awal kedatangan Ramadhan. Kini tinggal hanya dua saf terhadapan itu pun kelihatan hanya para jemaah yang sudah berumur. Tiada lagi jeritan-jeritan kanak-kanak yang bermain berkejaran. Kadangkala disusuli dengan jerkahan Siak sengaja memarahi bermaksud untuk mengajar. Anak-anak muda yang selalu bersidai di beranda masjid sambil menghabiskan juadah berbuka  juga sudah tidak kelihatan.

Letupan mercun makin galak didengari. Para jemaah juga sesama sendiri bersalam memberi ucapan selamat hari raya dan saling memohon maaf.

Pulang dari masjid, kelihatan kepulan-kepulan asap mengapung ke udara. Gerai-gerai kanopi sudah mula muncul di bahu jalan menjual lemang, ketupat, rendang serta serunding. Kelihatan bersusun tinggi batang-batang buluh yang hendak digunakan membuat lemang. Beberapa anak remaja membantu melonggokkan kayu api agar rapi susunannya. Beberapa lelaki  mengesat peluh akibat bahang dari api yang membara untuk menyediakan para untuk membakar lemang.

Melangkah masuk ke halaman rumah, kedengaran dendangan lagu raya nyanyian Ahmad Jais dari radio yang terpasang. Busu pula sedang menyalakan pelita yang terpadam. Memeriksa mana pelita yang terlurut sumbu ke dalam pelita. Kelihatan Amir dan Zakuan melonjak-lonjak bermain bunga api yang mengepul-gepulkan asap tebal di udara malam yang berat tanpa mempedulikan kesejukkan malam setelah hujan lewat petang tadi.

Aroma kuih bangkit sagu mula tersentuh di deria bau. Kelihatan kakak Zizah, biras orang rumah, Siti dan Mariam, menantu mak paling bongsu sedang bertungkus-lumus di dapur menyiapkan pelbagai kuih tradisional dan moden untuk hidangan para tetamu dan saudara-mara yang datang bertamu di hari raya esok. Kelihatan rencah serai, bawang kecil, bunga lawang, cengkih, jintan manis dan segalanya. Potongan dadu daging lembu di dalam bekas bersebelahan sinki di dapur. Begitu juga bahagian-bahagian ayam terletak bersebelahan.

Melangkah masuk ke ruang tamu kelihatan ibu dan isteri pula sibuk mengemas. Menghamparkan ambal, memasang langsir dan menyusun atur kerusi sofa sambil mulut mereka membebel memarahi cucu-cucu yang leka menonton televisyen tidak mahu berganjak apabila disuruh.

Seketika kemudian, terdengar salam bergema dari luar. Kumpulan takbir dari rumah ke rumah sudah tiba. Bergegas keluar menyambut kedatangan sekumpulan lelaki mempelawa masuk ke rumah. Dalam mengalun takbir memuji kebesaranNya, rindu juga hati mengenang, adakah telah terisi Ramadhan kali ini?





blog

Main kejar-kejar.

Dalam menempuh kehidupan ini, matlamat hidup sering bertukar selari dengan kehidupan yang kita jalani. Sama ada dapat kita gapai atau sebaliknya, juga ada yang terbiar apabila ada matlamat yang lebih baik perlu kita susun atur untuk mencapainya. Matlamat hidup inilah yang mengatur segala pergerakkan dalam hidup kita supaya kita tidak lari dari landasannya. Di mana akhirnya kita sedar yang kita sedang menuju kematian.


Hidup aku dulu bahkan kini pun umpama bujur lalu melintang patah. Apa yang ada di hadapan mata, diredahkan sahaja.  Ada sengat, tak ada, duduk diam-diam! Bukan tidak mahu memikirkan masa hadapan sedangkan yang dalam perancangan pun masih kabur dan belum jelas hala tujunya. Nanti bila sudah lengkap armadanya, barulah menyerang. Cakap lebih pun buat apa. Ada ketika masanya, perkara-perkara sebegini kita tidak boleh keseorangan, kita perlu ada orang di sisi untuk menyokong atau membantu kita mencapai matlamat hidup.

Ketenangan hidup itu biarlah berpada. Kebahagiaan itu biarlah dikongsi bersama. Ada manusia di dalam hiruk-pikuk boleh mendapat ketenangan. Segelintir itu juga, dalam kedukaan dia peroleh kebahagiaan.  Jangan sesekali mencari kesempurnaan. Sebab kita selalu berkata, manusia itu tidak sempurna. Tidak selalu begitukan? Apa yang boleh kita lakukan sendirian dengan sempurna?

Manusia mencipta masa, kami menyempurnakan! Ini slogan dari sebuah syarikat pembuat jam. Adakah mereka menyempurnakan masa kalian? Ya, dengan terciptanya jam yang boleh diaplikasikan dalam hidup kita maka wajarlah manusia itu membahagikan masa untuk menguruskan kehidupan. Namun begitu, kita juga masih mengejar waktu. Sempurnakah perjalanan hidup kita? Terciptanya jam loceng, kita masih terlajak tidur. Benarkah kita patuh pada waktu yang menjadi nadi dalam perjalanan hidup kita yang mengarahkan kita untuk mengapai matlamat hidup kita?

Disiplin menuju matlamat adalah disiplin pada waktu. Matlamat bukan seperti kita menanak nasi pada era teknologi  kini. Hanya menekan suis untuk memasak dan apabila tanaknya nasi di dalam periuk maka suis akan terpadam secara sendiri. Bagaimanakah periuk nasi itu patuh pada kadar masa yang ditetapkan? Hebat bukan?

Manusia yang lebih hebat atau barangan mekanikal itu sendiri yang lebih hebat. Sedangkan manusia yang menciptakannya. Manusia sendiri sentiasa mengabaikan waktu yang ditetapkan padanya. Lihat bulan dan matahari, mereka tidak pernah saling kejar-mengejar untuk mendahului antara satu sama lain. Semuanya dalam perjalanan yang telah ditetapkan masanya. Tiba masanya, menyingsinglah fajar. Bangkitlah seisi alam meneruskan perjalanan hidup dalam menggapai matlamat. Tiba tikanya remanglah kaki langit dengan warna jingga yang akan menggelapkan sebahagian dunia. Masa untuk  pulang ke habitat masing-masing melepaskan lelah.


Matlamat adalah pencapaian jangka panjang untuk kehidupan. Untuk meraih kegemilangan dan kecemerlangan, kita sendiri yang menetapkan kayu ukur. Andai kita berpuas hati dengan apa yang kita gapai, berhentilah. Berilah peluang mereka yang lain untuk mengapai matlamat mereka pula. Memang kita mahu mengapai tangan hingga ke langit tetapi jika di awan sudah terasa sejuknya, jangan kita memaksa diri untuk terus berlari dalam kesejukkan. Tidak bagus untuk kesihatan!

Lihatlah pada jam di tangan atau di dinding, mahu pun di sudut bawah kanan skrin komputer. Adakah kita sudah terlanjur masa untuk berbuat sesuatu yang lebih penting asalnya. Atau adakah kita masih punya banyak luang waktu untuk ianya berlalu begitu sahaja? Atau sudah kita terlewat untuk menguruskan sesuatu. Fokus kita terhadap sesuatu perkara sering dicabar dengan peralihan perhatian yang amat remeh. Tersimpang sahaja ke arah lain adakala amat payah untuk kita berpatah balik dengan serta-merta. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang sudah lewat, tidak perlu buatlah.

Mudah sahajakan kita memujuk hati kita. Akhirnya, satu perkara menjadi tertangguh, kemudian berkait pula dengan pekerjaan yang lain. Bertangguh lagi. Akhirnya, matlamat itu berlalu sepi ditelan masa. Kemudian kita menyedari, dibataskan pada hari yang baru untuk memulakan semula matlamat yang terbiar, matlamat baru dibina. Yang buruk telah dijadikan sempadan. Tetapi orang lain sudah maju ke hadapan dengan matlamat yang tidak terpernah terfikir oleh kita. Kita tertanya-tanya, bagaimana mereka boleh melakukannya sedangkan masa yang kita rentangi adalah sama. 24 jam sehari, 8 jam dalam tiga bahagian, 60 minit dalam satu jam, 60 saat dalam 1 minit.


Oleh itu, berdisiplin dengan masa yang kita miliki. Pastinya matlamat akan kalian kecapi, malahan dengan kebijaksanaan mengatur dengan masa membolehkan kita mencapai dua matlamat dalam satu masa. Sedangkan solat dibolehkan qasar dan jama’. Bukankah begitu?



blog

Friday, August 19, 2011

Sori bro.. lupa la plak...!

Namanya bunga ini, Forget-Me-Not

Lupa boleh diertikan sebagai  tidak ingat. Bukan hilang akal! Payah nak cari kalau akal sudah hilang. Situasi paling buruk pun yang boleh berlaku ialah hilang ingatan. Hilang ingatan ini pun ada pelbagai kategori. Bagaimana ianya berlaku pada otak atau pada saraf-saraf otak itu, aku tak begitu pasti. Tanyalah pada budak-budak biologi. Aku kelas biologi kena halau dengan cikgu. Setahun aku tak masuk kelas biologi. Jadi kenalah kalian minum susu banyak-banyak di mana DHD-DHA akan menghubungkan sel-sel otak untuk menguatkan daya ingatan.

Alamak! Terlupalah pulak..!

Keluhan kecil seperti di atas di dalam hati kecil kita, lazim berlaku. Ada yang sampai menepuk dahi sendiri mengingatkan kealpaan diri sendiri. Apa yang membuatkan kita lupa?

Adakala kita terburu-buru mengejar masa untuk keluar dari rumah atau pejabat sehingga kita terlupa untuk membawa sesuatu yang kebiasaan kita usung ke hulu ke hilir setiap hari seperti telefon bimbit, komputer riba, beg duit, kacamata hitam, beg yang sandang, beg yang galas, beg yang kepit, kunci motor atau kereta mahupun kunci rumah malah ada yang terlupa lalu meninggalkan anak kecil di dalam kereta yang akhirnya mati kelemasan dan kepanasan! Sedangkan ibu atau bapa entah apa yang disibukkan hingga boleh lupa anak kecil di dalam kereta. Bukankah ini satu tragedi yang memilukan?

Sama ada kita memiliki sikap pelupa atau tidak tetapi semua manusia melalui waktu lupanya. Seketika hanya. Padahal kita ingat sebentar tadi, sekilas teralih fikiran, ada beberapa perkara jadi lupa. Lupa ini membawa lebih banyak tragedi atau lebih banyak masa yang membazir dari manfaat terhadap situasi itu. Kita adakalanya terpaksa berpatah balik dengan kos yang tinggi. Contohnya kita sudah menaiki teksi untuk menuju ke lapangan terbang, kemudian kita sedari bahawa kertas yang mengandungi maklumat penginapan atau maklumat daftar masuk penerbangan kita tertinggal di atas meja tulis. Lebih parah jika belum lagi dicetak! Tapi ada juga yang lupa untuk membawa paspot bila sudah teruja sangat hendak terbang ke Seoul.. kan? Hahaha.. Barulah kita mengagau mencari dari satu bilik ke satu bilik di manakah kita tertinggal dokumen perjalanan tersebut.

Kalau setakat baru hendak menutup pintu rumah kemudian kita menyedari ada barang yang terlupa hendak dibawa, tidak mengapalah juga. Itu pun pasangan atau kawan, adik, abang, kakak  pastinya membebel dengan sikap lupa kita. Biasanya ibu juga yang sinis menegur anak bujangnya, “Nasib baiklah benda tu melekat, kalau tak benda tu pun lupa tertinggal kat mana?”

Yang buruk itu dari kita sendiri dan segala yang  elok itu dariNya. Bersyukurlah apabila kita di dalam lupa, Allah menganugerahkan kita semula ingatan tentang perkara yang kita lupa. Baik terus dalam ingatan kita atau ada perkara-perkara yang berlaku di hadapan mata kita yang mencetuskan ingatan pada perkara-perkara yang telah kita lupa.


Sekarang pula bila timbul isu lupa, kita sendiri pula dengan sinis berkata, “Biasalah.. Melayu mudah lupa.” Benarkah orang Melayu ini mudah lupa? Semua manusia dari pelbagai bangsa, kaum atau suku pun pastinya ada yang pernah terlupa. Ianya adalah daripada tutur orang nombor satu pemimpin negara.  Maka itu, kiasannya juga pastinya unggul. Bukan calang-calang orang yang berkias sedemikian rupa. Mudah bahasanya, seperti kacang lupakan kulit.

Seorang manusia Melayu A ingin berniaga. Minta pertolongan dari manusia Melayu B. Segala payah susah pengorbanan manusia Melayu B lakukan demi membantu manusia Melayu A berjaya. Habis dicurah segala kuderat dan ilmu. Ada sepuluh ilmu perniagaan, sepuluh-sepuluh diserahkan. Ada tiga puluh, tiga puluh sekali dia hulurkan. Ikhlas, jangan kedekut ilmu. Tapi…

Bila manusia Melayu A sudah berjaya! Manusia Melayu B pelawa makan tengahari bersama pun kena buat temujanji. Tak mengapa manusia Melayu B berkata. Ini bagus! Disiplin. Aku juga yang mengajarnya. Menggunung bangga dalam perasaan manusia Melayu B, ajarannya diterima pakai dengan baik.  Bila tiba masa temujanji, manusia Melayu B diminta menunggu kerana manusia Melayu A ada perjuangan yang belum diselesaikan di kamar kerja. Duduklah sopan manusia Melayu B di kerusi empuk dengan hawa yang dingin tersalur keluar dari siling, duduk menanti manusia Melayu A keluar untuk bersantap bersama di lobi pejabat dengan memerhatikan kecanggihan keusahawanan sebagai simbol  kegigihan manusia Melayu A ini sudah mampu memiliki pejabat di aras 44.


Sebentar itu melintaslah seorang manusia bukan Melayu menuju ke kamar kerja manusia Melayu A tanpa menoleh pada manusia Melayu B yang mulanya ingin menegur  manusia bukan Melayu itu yang dikenalinya juga. Haram diketuknya pintu dahulu. Meluru masuk lagaknya memulas tombol warna keemasan seraya menolak daun pintu lalu meloloskan diri ke dalam kamar kerja manusia Melayu A. “Kurang ajar juga manusia ni,” desis Melayu B. Tak sempatlah manusia Melayu B hendak memanjangkan celanya. Terdengarlah dia derai ketawa manusia Melayu A mengiringi hormat manusia bukan Melayu tadi. Berdirilah manusia Melayu B menanti mengandaikan manusia Melayu A menyapa. Haram! Terus sahaja dua manusia itu berlalu seolah-olah manusia Melayu B bagai pokok bunga hiasan di sudut kegelapan. Runtuh jiwa manusia Melayu B apabila menyedari seorang perempuan Melayu di meja setiausaha juga turut terpinga meyaksikan senario demikian.

Lupa atau buat-buat lupa? Ini biasanya berlaku dalam hal-ehwal pinjam-meminjam. Tidak kiralah pinjam wang ataupun dari segi material. Kadang terdengar juga orang menegur, “Bang, boleh pinjam api sat!” Adakala terjadi juga pemberi pinjaman terlupa dengan peminjam. Alangkah baiknya bila peminjam pula yang mengingatkan pemberi pinjaman.  Aman dunia! Kebiasaannya perkara sebaliknya pula berlaku. Malah ditanya pula bila dia ada meminjam. “Seingat aku, tak pernah pula aku meminjam daripada kau.” Adegan yang biasa kita dengar. Halusnya dia bersandiwara untuk melupakan apa yang berlaku. Jerat tak pernah lupakan pelanduk.. Pelanduk sahaja yang buat-buat lupa ni.. Berusahalah pula pemberi pinjaman ini untuk mengingatkan apa yang berlaku 2 minggu yang lalu. Tidak baik begitukan kawan-kawan..!

Terlalu banyak senario lupa ini yang berlaku dalam hidup kita. Oleh itu sentiasalah kita beringat, jangan lupa! Bila kita diberi dua pilihan untuk membuat kejahatan. Maka janganlah sekali-kali kita memilih satu daripada kejahatan itu. Dengan lupa ini juga memperlihatkan kebesaran dan Maha MengetahuiNya. Apabila kita terlupa pada perintah dan ajarannya, tiada satu pun hukuman yang berat dikenakan pada kita. Sebaliknya ada cara dan perlakuan untuk kita menebus kealpaan. Terlupa hendak buat Asar, kita boleh qada’. Memanglah bila perut berkeroncong, dihidangkan pula makanan. Jangankan doa makan, lafaz Bismillah pun terlupa. Ada juga yang lupa terus tapi bila sudah sendawa lima enam kali berturut-turut ingat pula ucap Alhamdulillah. Bila sedap meyuap, mengunyah, meratah datanglah ingatan itu. Maka dipermudahkan kita dengan lafaz yang lain.

Tapi cubalah jawab, “Saya terlupalah cikgu nak siapkan kerja rumah. Semalam rumah saya banjir.” Agak-agaklah, apa jawapan yang cikgu akan berikan sambil dia melangkah menghampiri kita, menghayun-hayunkan pembaris kayu panjang dengan karakter wajah seperti ahli gusti di atas gelanggang yang tidak pernah puas hati dengan celoteh musuh di atas pentas nun jauh di sana beriringan dengan percikan bunga api. Sedangkan dalam waktu yang sama dia juga telah lupa pada tanggungjawabnya sebagai pendidik. Kalau dulu-dulu bolehlah tidak dipanjangkan ketengah. Sekarang.., ibu bapa semua handal dalam perundangan dan hak asasi manusia. Itupun adakalanya lupa hendak meminta maaf.  Para ibu bapa juga adakala gagal dalam mengingati diri agar bertenang dan bersabar. See you in court terus!

Ada juga manusia ini lupa temujanji dengan pasangan masing-masing. Janji jam 10:00 pagi di panggung wayang, beria-ia hendak menonton persembahan ‘matinee’. Sebelum itu, konon nak makan-makan, minum-minum dulu. Ronda taman bunga dulu sambil pimpin-pimpin tangan. Segmen luahan rasa pun ambil 30-60 minit. Tapi jam 12:00 tengahari bayang pun tak nampak. Kawan dok sedap mengulit lagi atas katil sebab semalam tidur lewat melayan Xbox dengan kawan serumah. Lupalah intan payung yang berdiri terconggok macam pengawal istana. Setia menanti. Sekali datang kutu rayau, cekup intan payung hang, baru hang tau! Alih-alih esok jadi tajuk berita suratkhabar esok hari. Rasa-rasa macam kenal pula bila melihat gambar kecil yang tersiar bersama laporan yang menyayat hati segelintir warga Malaysia yang perihatin. Menyesal..? Tak dapek nak tolonglah tu.. Merataplah, berguling-gulinglah kau kat tanah perkuburan tu. Takkan dia hidup balik dah. Silap-silap kau balik yang sasau mundar-mandir  depan panggung wayang tu.


Melampau tak kalau kata ada orang yang lupa hari pernikahan sendiri? Sampai stokin pun pinjam kawan hendak pergi nikah. Kelam-kabut bakal pengantin. Kawan-kawan pula yang lebih risaunya. Saudara-mara, mak bapak, jangan cakaplah aliran peluh mereka bila bakal biras sibuk bertanya itu ini. Sampai pertanyaan pun rasa macam menyindir sudah. Sampai ada kawanlah yang bersuara, “Kalau kau tak nak jadi pengantin, biarlah aku je yang ganti…” Tajam tak tajamlah bahasa. “Tumpulkan sikit!”

Begitulah antara kesan yang boleh terjadi akibat sikap lupa yang ada pada setiap manusia. Sedangkan yang menulis ni pun sebenarnya lupa juga tentang artikel yang perlu disiapkan. Mohon maaflah ea! Yela.. yela.. tunggu raya.. hahaha.. Tapi harapnya tiada apalah kemusnahan besar yang berlaku bila entri ini lupa hendak disiapkan. Biasalahkan, manusia ni, entah dengan apa yang disibukkan sangat. Orang yang kereta berlanggar sebelah laluan bertentangan sana, kita pula di sini sibuk hendak menjenguk, konon macam ada ahli keluargalah yang terlibat. Padahal kalau boleh jangan kita lupa doakan agar seluruh kaum keluarga, saudara-mara, sahabat handai, rakan-taulan sentiasa terpelihara daripada kejahatan syaitan, jin dan manusia dan sentiasa di bawah rahmat dan perlindungan Allah s.w.t.  Lupa la tuu….

Terima kasih jugalah pada kalian yang lenguh membaca artikel ini. Saya sudah mencuri banyak masa kalian menghadap depan skrin ni. Cuma hendak beritahu, sudah tukar duit baru ke untuk masukkan dalam sampul duit yang sibuk-sibuk minta dari kawan-kawan hari itu. Jangan lupa! Bagi yang ada lebih rezeki dariNya, ini peluang untuk kita bersedekah dan memberi pada yang hak. Bukan hendak menunjuk-nunjuk depan mertua atau sesiapa sahaja. Kalau sudah tiada rezeki, tidak mengapa. Jangan rasa diri kita kecil atau tidak berkemampuan. Belum izinNya. Kita berusaha lagi untuk bertebaran di mukabumi Allah ini mencari rezeki yang halal. Yang utama perlu diutamakan. Jangan lupa.


Erm… Satu lagi sebelum terlupa! Mana yang wajib kena bayar fitrah serta dengan tanggungan, segerakanlah. Di masjid boleh, surau boleh, lepas-lepas asar tu. Sila bersilalah menghadap amil. Atau sambil membeli-belah tu, kalau nampak ada amil di meja bayar fitrah tu, segera,segerakanlah. Takut terlupa nanti.  Jangan amalkan bertangguh hingga hendak solat hari raya nanti. Bagi belia remaja yang telah berkemampuan cari duit sendiri dengan bekerja atau peroleh hasil yang halal. Yang mana jual tudung, jual gelang, jual baju atau jual macam-macam di online. Eloklah bayar untuk diri sendiri. Tak salah bertindih dengan fitrah dari ayah kita. Tapi ingat, jangan lupa! Bayarlah di tempat kalian mencari rezeki dan kalau boleh, hendak bayar tu, berlebih-lebihlah sedikit.. Sedekah katanya.. Amiiinnn. Niat pun hendak betul juga, jangan lupa tu!





blog

Sunday, August 7, 2011

Sape Borneo


Sape' Borneo 01

This mp3 found @ weblagu.com






blog

Remaja mohon dibebaskan.

Memang pada awal permohonan untuk kita bebas akan kita sertai dengan syarat dan peraturan agar permohonan untuk kita menikmati  kebebasan itu diluluskan. Mengungkap sejarah bagaimana Tanah Melayu dahulunya memohon pada kerajaan British untuk Tanah Melayu sebagai negara yang merdeka dan berdaulat di bawah pemerintahan kerajaan  beraja disertai dengan pemerintahan demokrasi berparlimen. Amnya negara kita Malaysia banyak mengambil modul-modul perundangan dan bahasa dari kerajaan British untuk mentadbir dalam pengurusan negara. Ini skop yang besar.


Kita perkecilkan kepada skop yang lebih kecil. Mungkin apabila tiba masanya kita fikir kita mampu untuk berdikari, pasti kita akan mendapatkan kebenaran dari ayah dan ibu untuk kita keluar dari rumah yang membesarkan kita selama ini untuk kita menguruskan diri kita sendiri dengan cara kita sendiri. Alasannya mudah, mencari diri sendiri (Aku adalah aku, kononnya). Kebiasaan bagi ayah, tiada halangan bagi anak lelaki bujangnya untuk keluar merantau dan mencari diri kecuali pada anak gadis melainkan dalam urusan tuntutan agama dan pembelajaran.  Bagi ibu, sememangnya amat berat untuk melepaskan mereka keluar walau apa jua alasan!

Menikmati kebebasan seolah amat perlu dalam pemikiran seorang remaja yang menginjak dewasa. Mereka fikir mereka mampu melakukannya tanpa bantuan orang lain untuk menguruskan hala tuju kehidupan mereka. Itu yang mereka fikir. Berfikir dan menempuhnya alam kebebasan itu adalah dua perkara yang berlainan. Dalam fikiran ada perancangan yang telah diaturkan. Seboleh-bolehnya mereka akan menuruti dan melaksanakan apa yang sudah dirancang. Situasi kebebasan amat besar pengaruhnya dari situasi sekeliling.

Asuhan ayah dan ibu banyak membantu dalam mencari diri sendiri kerana kita sendiri akan mengaplikasikan tutur nasihat dan tunjuk ajar mereka untuk kita mengatasi segala rintangan walaupun kita sebolehnya mahu mengelak. Malah dalam tingkah laku kita semestinya tutur nasihat merekalah yang akan terkenang bila kita sepeti mahu melakukan perkara yang kurang elok. Ada segelintirnya lebih selesa berbicara permasalahan mereka di kalangan kawan-kawan kerana mereka seolah memahami situasi kita sedangkan mereka juga sedang merangkak mencari haluan.

Untuk mencari diri sendiri dengan beralaskan kebebasan sepatutnya direnungkan semula punca kebebasan itu sendiri. Mengapa kita perlu bebas, bebas yang tanpa sekatan? Adakah tinggal serumah dengan ibu bapa akan terhalangnya proses mencari diri kita sendiri. Kita boleh minta ruang untuk kita sendiri menguruskan keperluan yang kita fikir kita mampu lakukan dalam rumah ibu bapa kita. Pasti mereka lebih sukacitanya jika kita sendiri membasuh pakaian kita sendiri, menyidai seterusnya melipat dan menyusun atur sendiri dalam gobok pakaian kita dengan cara kita sendiri. Bukan setelah kering di jemuran, ibu yang mengutip pakaian di jemuran dan kita pula hanya melonggokkan  pakaian kita di sudut bilik. Itu tidak betul.

Kita juga boleh memasak apa jua masakan dengan acuan kita sendiri dan ini bukan untuk menafikan air tangan ibu tetapi kita juga boleh katakan kita mahu lakukan sendiri dari mula hingga akhir. Namun pastikan kita lakukan dengan cara yang betul walau masakan kita tidak betul di mata ibu. Jangan dibiarkan pula dapur berselerak dengan sisa-sisa rempah atau bahan yang kita gunakan. Basuh segala peralatan yang telah digunakan dan kemaslah dapur itu lebih hebat dari ibu kita bersihkan. Ini baru betul.

Kebiasaan yang menjadi sekatan adalah kebebasan untuk kita keluar bersama teman dan waktu untuk kita pulang ke habitat. Bak kata mereka, segalanya tiada orang hendak melarang. Makan pakai kita, dengan siapa kita berkawan. Benarkah? Adakah diri kita sendiri tidak pernah melarang? Mungkin pernah tetapi samada kita tidak sedari atau kita sendiri yang tidak mahu mengikut kata kita sendiri. Jadi manakah disiplin yang ada dalam diri kita untuk mencari kebebasan mengikut aliran kita sendiri. Jangan tepuk dada kita untuk menanya selera kita. Mana tahu selera kita buruk?

Toleh sebentar berapa ramai orang yang telah kita kenali dan kini mereka hanyut tanpa sangkut dalam kehidupan kita? Ada yang tidak dapat dihubungi tetapi masih ada beberapa perkara yang terkesan dalam hidup kita sama ada yang baik mahu pun yang buruk atau ada juga antara mereka itu yang telah merangsang atau melekakan kita. Apa yang telah dapat kita pelajari daripada kebebasan kita itu? Pada masa ini, mungkin masih meraba mencari jawapan itu. Tunggulah waktu kita digelar pakcik atau makcik. Bukan penyesalan tapi itulah pengajaran yang kita kutip atas nama kebebasan. Sesuatu yang amat berharga dan kita semahunya masih mahu hidup dengan pengalaman dan kenangan itu. Yang buruk pastinya akan tersemat di hati untuk kita buat sempadan.


Kita jarang akan mencari keburukkan kebebasan itu. Segalanya indah dan bagus dalam kebebasan. Sehingga berpujangga mahu bebas seperti burung, terbang meluncur bahagia di awan biru. Adakala burung akan patah juga sayapnya. Walau helang bersarang di puncak gunung, di dahan pokok juga dia bertenggek. Bagaimanapunlah kita bebas, pada agama juga kita mesti berpaut. Hilang tempat berpaut, mana lagi kita hendak bersangkut? Tika itu barulah mengalir airmata taubat. Kalau tertitis membasahi walau selembar bulu mata. Dialah sahaja saksi taubat kita!






Friday, July 29, 2011

Terimalah seadanya..

Apa yang boleh diluahkan lagi, hampa, bengang, kecewa dan marah? Bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia atau peminat bolasepak tempatan khasnya yang mengharapkan Harimau Malaya melakukan keajaiban malah keseluruhan pemain, jurulatih dan para pegawai pastinya merasakan yang sama.


Tidak boleh tidak, aku tak dapat megenepikan untuk membandingkan permainan bolasepak tempatan dengan aksi bolasepak sepak Eropah. Mereka juga manusia namun apa yang menjadikan jurang corak permainan bolasepak kita?

Dalam perlawanan timbal-balik antara Malaysia dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil yang baru berlangsung sebentar tadi  dengan keputusan seri 1-1 dan seterusnya melayakkan Singapura mara dengan agregat 6-4, ke peringkat kumpulan untuk saingan Piala Dunia 2014, sedikit sebanyak memberikan sedikit perbezaannya pada pandangan aku.

Strategi atau permainan taktikal adalah sesuatu yang dirancang di atas kertas yang mana kemungkinan ianya boleh berjaya jika pemain dapat mengaplikasikan pergerakkanya. Perancangan yang berjaya mestilah disusuli dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Apa yang menghalang adalah kemahiran penguasaan bola para pemain Harimau Malaya adalah amat teruk. Terlalu banyak hantaran tidak tepat yang dilakukan. Mungkin ada beberapa faktor yang meyebabkan penghantaran bola menjadi seperti terburu-buru untuk melaksanakan serangan taktikal.

Para pemain seolah takut untuk ‘memegang bola’  terlalu lama kerana kurang yakin dengan kebolehan yang ada dalam diri dalam mengawal dan melepasi pertahanan lawan. Sikap terburu-buru yang didesak dengan perasaan panik memyebabkan banyak bola tidak dapat dikawal dengan kemas. Skuad Harimau Malaya seolah tidak mahu bertenang sepertimana sifat memburu haiwan yang berbelang ini.

Ramai orang Melayu banyak berpendapat bahawa seekor harimau boleh menyembunyikan dirinya disebalik seurat lalang. Lihat sahaja pergerakan harimau dalam pemburuannya mencari mangsa. Tenang, sabar dan yakin bahawa setiap terkaman di tengkuk mangsa pasti membawa maut sekaligus menjadi habuan mudah. Tetapi tidak pada skuad harimau kita.

Berapa banyak yang boleh kita kira tendangan sudut dan tendangan percuma yang diambil oleh pemain kita dalam perlawanan sebentar tadi? Cubaan untuk menjaringkan gol adalah lebih besar dengan tendangan sudut atau tendangan percuma.  Kita boleh perhatikan bagaimana pemain Eropah menggunakan kelincahan kaki mengawal bola dan larian bolanya  tetapi pandai untuk memperdayakan pemain lawan untuk memperolehi  tendangan percuma dan lebih bertuah jika sepakan penalti diberikan pengadil.

Larian-larian dan menggelecek bola ke hujung kiri atau kanan padang atau membuat hantaran silang di hadapan gol pada rakan pasukan adakalanya adalah helah untuk memperolehi tendangan sudut. Peluangnya menciptanya adalah lima puluh – lima puluh. Seandainya jaringan tidak tercipta maka tendangan sudut atau kesalahan yang boleh membawa pada sepakan percuma atau penalti boleh terhasil.

Adakah skuad Harimau Malaya terlalu jujur atau lurus bendul di dalam permainan bolasepak? Bermain mengikut buku. Dari tendangan penjaga gol kepada bahagian tengah, merancang menyerang dari kiri, kanan atau tengah dan semestinya disudahi oleh penyerang untuk menghasilkan jaringan gol. Tidakkah pemain perlu menjadi kreatif atau kreatif itu pada para pemain bolasepak kita hanya di khaskan dalam dunia seni atau hanya untuk para pereka senilukis  atau grafik semata?

Apapun ini adalah rentetan perlawanan yang entah kali ke berapa untuk kita menyedari bahawa walaupun kita pernah menjadi gergasi dalam dunia bolasepak Asia Tenggara khasnya pada era tahun 70an dan 80an, tidak bolehkah kita meminta untuk belajar atau menimba ilmu dari pengurusan  bolasepak Korea Selatan atau Jepun dalam membangunkan kualiti pemain dan teknologi permainan walaupun dahulunya pasukan-pasukan ini adalah antara pasukan belasahan. Tak hilang bisa ular kalau menyusur akar.


Sebenarnya tidak akan habis kalau berbicara mengenai mutu permainan dan cara untuk membaiki taraf pemain tempatan di kalangan kita lebih-lebih lagi di kalangan penyokong setia tempatan. Pastinya orang-orang yang berkelayakan dan berkemampuan telah puas menggunakan cara, ikhtiar dan kuasa yang dimandatkan untuk merangka, menjana dan membangunkan mutu permainan bolasepak tempatan. Kita hanya belum melihat hasil yang amat memberangsangkan yang mana sekarang kita berada di garisan permulaan. Seperti roda yang berpusing, kini kita berada di bawah.


Terimalah seadanya…


Inilah Raja Rimba..







blog