Halaman

Thursday, May 29, 2014

Terima kasih Uncle Wong.


Satu

Abah membelokkan keretanya ke perkarangan Tadika Capitol, meloloskan diri sebentar dari kesesakan lalu lintas pagi ini. Aku bersalaman dengan abah seraya turun dari kereta. “Jangan nakal-nakal tau,” abah berpesan. Aku hanya mengangguk kecil lalu berjalan perlahan ke kelas.

Kelas bermula seperti biasa. Cikgu Caroline mengajar kami mengenal huruf. Aku yang duduk di meja baris paling belakang bersama Bachan menetapkan wajah ke hadapan. Sekali-sekala Cikgu Caroline menegur Samad yang suka mengusik Alicia menyebabkan Alicia terpekik. Samad memang nakal. Adakala kami yang lain juga turut ketawa bila melihat Alicia mengetus dan mengadu manja pada cikgu. Alicia fasih berbahasa Inggeris dan ini sering menjadi ajukan Samad bila kami berkumpul di taman permainan pada waktu rehat.

Loceng berdering sebanyak dua kali menandakan waktu rehat. Kami segera mengeluarkan beg uncang bertali dari beg galas, di mana beg uncang kami mengandungi pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu yang diperbuat dari plastik. Kami semua akan menyusun pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu tadi di atas meja kami. Kemudian Uncle Wong akan membawa troli makanannya untuk mengagihkan makan pada kami semua. Diikuti oleh Uncle Siah yang akan menuangkan air minuman dari cereknya yang besar.

Kelas menjadi riuh seperti kebiasaannya. Mengambil kesempatan bergurau dengan rakan semeja. Bila Uncle Wong mendekati meja kami, kami akan duduk tegak. Diam dan sopan menanti Uncle Wong mencedok makanan ke atas pinggan kami. Jika tidak, Uncle Wong tidak akan memberi kami makanan. Hari ini kami makan bihun goreng Hailam, bihun yang digoreng berkicap satu hirisan tebal sengkuang putih bersoskan cili manis dan ditaburkan dengan kacang goreng tumbuk dan air sirap sebagai minuman. “Thank you, Uncle Wong, Uncle Siah,” Ucapan yang sering kami lontarkan setelah diajar adab setelah menerima apa jua pemberian dari orang lain. “Welcome,” ucapan balas yang lazim kedengaran dari Uncle Wong dengan senyuman yang amat mesra.

Tadika kami tidak mempunyai kantin. Semua makanan ketika waktu rehat telah disediakan oleh Uncle Wong dan Uncle Yap. Mereka berdua merupakan tukang masak di tadika kami. Sebab itulah kami dibekalkan (dibeli semasa pendaftaran masuk) satu beg uncang yang mengandungi pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu. Adakalanya kami di kelas dapat menghidu aroma masakan mereka berdua. Membuatkan kami adakalanya berteka-teki dengan rakan yang lain tentang hidangan waktu rehat.

Setelah selesai menikmati juadah rehat kami, kami akan beratur sambil menatang pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu yang digunakan tadi untuk kami sendiri basuh di sinki yang berada di luar kelas. Setelah dibasuh kami lapkan semuanya hingga kering dengan kain yang disediakan dan kembali ke dalam kelas dan menyimpannya semula di dalam beg uncang. Setelah itu, kami akan berlari berkeliaran ke taman permainan. Bermain jongkang-jongkit atau duduk berayun di buaian atau bermain papan gelunsur. Aku, Samad, Bachan, Ramli, Hanafi, Chong, Lee dan Rama bermain gelunsur dan kemudiannya kami bermain ‘kejar-kejar’. Amat riuh dengan usikan dan jeritan kami semua. Riuh!

Loceng berdering lagi sebanyak dua kali menandakan waktu rehat tamat. Kami semua akan berbaris berdua-duaan sebelum memasuki kelas semula. Kelihatan Mrs. Seah, pengetua, memerhatikan kami. Sementara Cikgu Caroline dan Cikgu Lam mengatur selia kami. Barisan yang sudah teratur akan memulakan langkah menuju ke kelas masing-masing dengan badan kami yang masih lekit berpeluh. Bila tiba di kelas, keriuhan masih tidak lagi beransur pergi. Masih lagi minat berlari-lari di dalam kelas. Mengusik rakan kelas perempuan. Bagi mereka yang sudah mengalah, sapu tangan dikeluarkan dari kocek lalu mengelap muka dan leher yang masih lekit berpeluh.


 photo TheEvil.png

Sunday, May 11, 2014

Aqiqah Peeqa Najra.

Majlis aqiqah Peeqa Najra.

Peeqa Najra.


Sepupu-sepupu dan abang Peeqa.
Dari kiri: Shahin, Nadira, Shahidat, Fardeen (abang) dan Nadeen.


Sepupu yang sebaya, Ryan.

Ryan dengan Umminya.


Marhaban.

Peeqa didukung Mama bersama Wan (duduk paling kanan) dan kumpulan Marhaban.


Turut meraikan hari ulang tahun kelahiran Fardeen bersama sepupu-sepupu, Shahidat dan Nadira.

Dari kiri: Fardeen, Nadeen, Shahidat, Nadira, Haziq, Shahin dan Ryan didukung Umminya.

Korban aqiqah, seekor kambing.

Usai!

 photo TheEvil.png

Saturday, May 10, 2014

Perkongsian.


Aku mungkin tidak pernah
mengalaminya
atau
aku mungkin telah menempuhinya.

Sama ada kau membantu aku
atau
kau yang mengajarkan aku
erti kehidupan ini.

Mungkin juga sebaliknya!
Tapi bukan bererti aku lebih kenal
kehidupan ini dari sesiapa pun jua.

 photo TheEvil.png

Thursday, May 1, 2014

Keracunan falsafah.

Difahamkan bahawa 90% rakyat Amerika tidak memiliki pasport. Bermakna mereka tidak pernah keluar dari negara mereka apatah lagi menjejakkan kaki di negara Islam. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh Hollywood yang kita ketahui dikuasai oleh Yahudi. Mereka merendahkan reputasi dan memberi tanggapan umum yang amat negatif tentang agama dan orang Islam dalam semua filem antarabangsa mereka.

Apa yang boleh kita lakukan?

Ada seorang pengarah Arab yang cuba membuat satu filem antarabangsa tentang ikon Islam, Salahudin Al-Ayyubi. Beliau berusaha mencari penaja untuk maksud tersebut. Namun sehingga beliau meninggal dunia masih tiada penaja yang bersama beliau. Akhirnya, Hollywood berjaya melaksanakannya dalam filem Kingdom of Heaven. Satu-satunya filem yang memberi kenyataan positif pada agama dan orang Islam ketika babak Salahudin Al-Ayyubi menawan Al-Quds (Baitulmuqaddis).

Hollywood menggunakan begitu banyak filem untuk membina reputasi dan menyentuh isu Yahudi sehingga kita sendiri tersentuh hati. Kita juga ada peristiwa benar yang terjadi dari Perang Badar, Sabra dan Shatilla, penindasan umat Islam di Kashmir hinggalah di Syria kini. Mengapa tiada satu filem antarabangsa dari pengarah atau produser beragama Islam untuk membaiki dan membina reputasi agama dan orang Islam yang telah diracun oleh para pembikin filem Hollywood?

 photo TheEvil.png

Sunday, April 27, 2014

Dalam perjalanan.

Guruh kedengaran
Kilat mendenyar
Antara awan
Menanti rintik air
Menimpa bumi.

Telefon berdering
Suara ibu dalam talian
Berpesan pada anakanda
Segera ke jemuran
Ibu dalam perjalanan pulang...

Terdengar si anak
Dentuman yang kuat
Talian mati begitu sahaja
Ribut di luar laman
Tapi taufan melanda
Di dalam hati si anak.


 photo TheEvil.png

Thursday, April 17, 2014

Doktrin dan reputasi.

Hari ini atau pagi ini, negara gempar dengan kematian Karpal Singh dalam satu kemalangan jalanraya berhampiran Gua Tempurung di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara.

Sebagai ahli politik pembangkang, ya, aku faham tugasnya. Cuma aku kesal dengan kelantangannya dalam pelaksanaan hudud dan kalimah Allah. Aku fikir dia lebih arif tentang dua perkara ini sebagai rakyat Malaysia yang diduduki sebahagian besarnya menganut agama Islam. Namun kerana kelantangan itulah yang membuatkan dia tidak dapat menelan kata-kata. Dia mempunyai reputasi yang diperlu dijaga.

Reputasi inilah yang mengiringinya kembali kepada doktrin yang didukungnya.

 photo TheEvil.png

Friday, April 11, 2014

Panjangkan ilmu.


Kita berdoa.
Kita berusaha mencari ilmu.
Kita kata ilmu itu kita punya.
Siapa yang buat kita lupa?

Mereka mahukan kita berbalah.
Atas nama melindungi ilmu kita.
Untuk memiliki kekayaan.
Dan lupa kepadaNya.

Sedangkan ilmu diberi olehNya.
Pada semua digalakkan berusaha mencari.
Dia telah berfirman.
Baginda juga telah bersabda.

Ilmu mesti dipanjangkan.
Kita berkongsi sama menikmati
Kerana ilmu kita bersatu
Bukankah itu sepatutnya?

 photo TheEvil.png

Thursday, April 3, 2014

Mencari jawapan.


Fikirkan!
Cari jawapan
Adakala jawapan yang disogokkan
Ada helahnya
Usah diterima bulat-bulat.

Jawapan ada pelbagai
Datangnya juga dari
Pelbagai arah.

Gerakkan minda
Bukan sekadar berfikir di luar kotak
Sepatutnya
Berfikir tanpa kotak.

Ia umpama
Menyelesaikam masalah
Matematik
Mencabar dan menyeronokkan.

 photo TheEvil.png

Menjaga tepi kain.

Kita bangun awal pagi. Solat. Sarapan. Pergi kerja. Buat kerja kita sambil bergaul dengan rakan kerja. Semua cabaran kerja kita atasi. Kita pulang ke rumah. Bersihkan diri. Menikmati makan malam bersama ahli keluarga. Bermesra dengan ahli keluarga. Luangkan sedikit masa untuk diri kita, mungkin membaca atau mendengar siaran radio atau juga menonton televisyen. Aman. Tenang. Harmoni.

Pada satu petang kita pulang ke rumah, terdengar pertengkaran dari rumah jiran sebelah. Hanya suara memekik saling bertingkah. Tidak jelas butir pertengkaran. Musykil. Kita masuk ke rumah dengan pelbagai persoalan. Kita membuat andaian dari nada suara pertengkaran mereka. Tanpa mengetahui hujung pangkal. Hingga terbantut selera makan malam. Tiada rasa ingin berhibur dengan lagu terkini atau menikmati siaran mega movie. Tumpuan ke arah kejadian petang tadi.

Bukan menjaga tepi kain orang, tapi ada rasa seperti ingin mengambil berat. Mereka kelihatan bahagia. Apa yang membuatkan mereka berbalah? Rasa ingin tahu membawa resah hingga ke ranjang.  Lagi mahu dilelapkan mata, lebih lagi fikiran menerjah kotak fikiran. Menyelongkar rasa dan fikiran. Akhirnya lelap tanpa tanpa disedari. Namun jaganya lewat seperti biasa.

Tebal muka jika terus bertanya. Apa tujuan ingin bertanya? Mencari aib orangkah? Bagaimana harus menenangkan persoalan mereka yang bersarang di dada? Ah! Pedulikan? Ya, mereka jiran tapi itu mungkin soal rumahtangga mereka atau ianya boleh jadi persoalan yang sangat peribadi. Entah mengapa rasa ingin tahu terlalu mendesak! Mendesak sangat!


Apa yang perlu dibuat? Bertanya pada jiran yang bersebelahan lain? Mungkin umpatan yang lebih dari kenyataan? Jika yang di sebelah rumah pun tidak diketahui sangat. Apatah lagi yang beselang rumah. Apatah lagi jiran yang di seberang lorong. 

 photo TheEvil.png