Halaman

Tuesday, May 21, 2013

Sandakan, Sabah - Hari Ketiga.

Tepat jam 12:00 tengahari, brader teksi tiba di perkarangan hotel seperti yang dijanjikan semalam. Kami bertolak ke Sepilok - Pusat Pemulihan Orang Utan.

Kera yang turut sama menyertai Orang Utan makan. Namun kera-kera ini agak gelisah bila Orang Utan menghampiri. Lucu juga melihat aksi kera-kera ini mencuri makanan dan bertempiaran lari, bergayutan bila Orang Utan menyergah. Selesai di sini kami bergegas pula ke Labuk Bay untuk melihat Monyet Belanda (Proboscis Monkey).
Terdapat dua platfom untuk melihat monyet Belanda dengan waktu makan yang berbeza. Kami ke platfom B memandangkan kami tiba pada jam lebih kurang 4:00 petang.
Kami disambut oleh seekor burung kenyalang dan beberapa ekor monyet spesis Silver Leaf yang benar-benar jinak.
Aku melayan monyet-monyet Silver Leaf memandangkan monyet-monyet Belanda masih bertebaran di atas pokok menanti waktu makan.
Monyet Belanda - Proboscis Monkey.
Kami berada di sini selama satu jam. Kemudian kami dibawa oleh brader teksi ke sebuah restoran makanan laut, Restoran Kak Jue di Taman Fajar Perdana, Sandakan, Sabah.
Foto terakhir yang dapat dirakam kerana kamera kehabisan bateri. Tak sempat hendak rakam foto hidangan yang kami pesan -  siput, ketam, udang, sotong dan ikan. Makanan di sini juga amat lazat dan harga juga berpatutan dan masih murah jika dibandingkan di Semenanjung. Selesai menjamu selera, kami bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur.

 photo TheEvil.png

Sandakan, Sabah - Hari Kedua.



Pada mulanya kami hendak ke Sepilok dan Labuk Bay. Lalu kami telefon brader teksi yang membawa kami dari lapangan terbang semalam. Bertanyakan harga upah untuk membawa kami ke Sepilok dan Labuk Bay. Dia menawarkan harga RM200.00 untuk ke dua lokasi itu. Namun dia memberi nasihat agar kami melakukan lawatan ke lokasi tersebut pada keesokan hari memandangkan waktu makan pada sebelah pagi tadi baru sahaja berakhir. Jika esok hari, selepas melawat Sepilok dan Labuk Bay kami akan terus dihantar ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami terima saranan beliau.
Disebabkan rancangan ke Sepilok dan Labuk Bay ditunda, maka hari ini kami melakukan Jejak Sejarah (Heritage Trails) Bandar Sandakan. Dari hotel kami berjalan kaki menuju ke bangunan Wisma Sandakan. Melewati depan Wisma Sandakan menuju ke Wisma Perbandaran. Aku terlihat premis pusat bermain snuker. Jam baru pukul 11:00 pagi namun sudah ada pengunjung. Handal!
Kebiasaan jika tiada penghawa dingin, kayu snuker (cue) akan terasa kesat bila diletakkan di antara ibu jari tangan dan jari telunjuk. Penggunaan kertas pasir akan membantu. Alah tegal alah biasa mereka ini.
Antara monumen yang menceritakan sejarah bandar Sandakan.
Kemudian kami memasuki Wisma Warisan yang menempatkan Muzium Warisan Sandakan. Muzium ini agak sederhana keluasannya dan pamerannya hanya berkisar tentang pengembaraan Martin dan Osa Johnson di Borneo dan ditempatkan juga beberapa replika rumah tradisional pelbagai kaum di Borneo.

Dari Muzium Warisan Sandakan, kami menyusuri Tangga Seribu menuju ke Rumah Agnes Keith.
Memandangkan kami tiba di perkarangan Rumah Agnes Keith pada jam 1:00 tengahari, kaunter tiket telah ditutup untuk rehat makan tengahari. Kami menuju ke sebuah restoran yang terletak bersebelahan.
Dua pelancong bermain croquet selepas menikmati hidangan makan tengahari.
Kami memesan dua set sandwich dan salad.
 
Tepat jam 2:00 petang kami kembali semula ke kaunter tiket dan membeli tiket berharga RM2.00 seorang untuk satu sesi lawatan ke Rumah Agnes Keith.
Rumah Agnes Keith.

Selepas melawat Rumah Agnes Keith, kami menyusuri semula Tangga Seribu menuju ke bandar Sandakan semula. Dari situ kami mengambil teksi ke Kampung Buli Sim Sim, sebuah perkampungan air dengan tambang RM10.00 sehala.
Aku terserempak dengan seorang penduduk yang membela seekor burung helang.
Dari Kampung Buli Sim Sim kami berjalan kaki menuju ke Pasar Sim Sim yang letak berdekatan. Nama sahaja pasar tetapi tidak kelihatan aktiviti-aktiviti seperti pasar lazimnya. Ia lebih seperti medan selera. Di sini terdapat beberapa kedai yang menyediakan ikan bakar.
Apalagi..
 Ikan merah.
 Ikan sapi.
 Sotong.
Sememangnya sedap dan murah.. amat murah!

 photo TheEvil.png

Monday, May 20, 2013

Adzuan - Ayu!



Ketibaan raja sehari!
Lewat sikit tiba kerana imigresen mendakwa taktik terbaru pemerdagangan manusia. Setelah menunjukkan resit pembelian yang tulen, barulah duti import dimansuhkan.. selain terpaksa beratur panjang untuk mengisi petrol. Ambil kesempatan ea..?

Raja sehari Kg. Melayu - Segak, Anggun, Menawan!
Kira mamat yang paling hensem dalam Kg. Melayu hari tu! Hahaha..! 

Percayalah cakap akak Ayu! Comel tak akak Ayu..?

Pengantin lelaki yang tidak ketinggalan mempersembahkan seni silat sambil duduk di kerusi plastik. Jurus Tangan Pegang Mic Tahap Dua Belas!

Tiga kanak-kanak duduk di bawah melambangkan tiga kerusi Parlimen yang masih kosong!

Kelihatan Zaiton Aripin tunduk melihat barisan semut menghurung gula-gula di lantai. Dari kiri: Alfizan Md. Zaini dan isteri, Ajaq Mudi besama isteri dan baby comelnya, pengantin baru Adzuan Ahmad dan isteri tercinta yang ceria dan bersemangat, bakal pengantin - Mohd Noorhisham Mohammad dan Mohammad Nazrin Mohd Derus serta isteri dan anak.

Hei.., Uncle Wan pandai nyanyi la...

Tahniah sahabatku!
Selamat Pengantin Baru! 

 Kasih dan mesra sentiasa dipatri
Jangan dihentikan senda dan gurau
Hidup harmoni rukun dan damai
Berbahagia sehingga ke anak cucu

 photo TheEvil.png

Friday, May 10, 2013

Samseng Dunia.


Entahlah mengapa tiba-tiba sahaja aku berharapan dan membayangkan;

Aku memang tidak tahu hujung pangkal mengapa Tun Dr. Mahathir membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Apakah rasionalnya orang yang bergelar ‘saudara’ dari ABIM dibawa masuk ke dalam dunia politik dan terus ditabalkan menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Aku membayangkan firasat Tun Dr. Mahathir yang amat, amat berpengalaman dalam dunia politik mempertaruhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.  Memang sudah tersohor kebijaksanaan mantan Perdana Menteri kita di seantero dunia. Dikagumi!

Setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, negara memerlukan satu tuduhan yang amat berat dan amat hina terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan calang-calang tuduhan! Tuduhan meliwat! Pastinya amat menjijikkan dan mengaibkan. Kita tahu apa yang berlaku seterusnya.

Untuk menjadi samseng kita mesti bertindak sebagai samseng. Barulah potensi diri sebagai samseng akan membuka mata ketua-ketua kumpulan samseng yang lain. Begitulah karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperlukan untuk plot mahakarya Tun Dr. Mahathir. Akhirnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya meloloskan diri ke dalam sebuah organisasi samseng dunia! Samseng yang bercita-cita untuk menakluk dan memerintah dunia.

Datuk Seri Anwar menjadi perisik 007 terhebat Malaya! Selain merisik agenda dan protokol samseng dunia yang mengawal polis dunia, secara tidak langsung membongkar karakter dan agenda samseng-samseng tempatan yang kononnya didukung oleh abang besar.

Aku memang berharap plot ini adalah benar demi melindungi negara Malaysia yang kita cintai! Semestinya setiap kejayaan itu menuntut pengorbanan! Maka apa yang telah terkorban atau yang perlu dikorbankan adalah untuk kerana kedaulatan negara Malaysia, aku amat mengaguminya dan menyanjung tinggi!

Allah sentiasa berada di pihak yang sabar dan benar. Rahmatilah mereka yang berjihad di jalanMu!


 photo TheEvil.png

Saturday, May 4, 2013

Penggembala gajah.

Pepatah orang Melayu berkata, "Gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati ditengah-tengah." Bermaksud jika raja-raja berkonflik, rakyat yang mendapat susah. Itu dululah sebab raja mesti meluaskan kuasa dan jajahan takluknya, maka seringlah meletusnya perang. Sekarang demokrasi berparlimen, demokrasi terpimpin!

Metafora yang relevan pada masa kini berdasarkan peribahasa ini umpama gajah yang dilagakan ada gembalanya di belakang. Para gembala ini hanya ada satu tujuan sahaja. Mencari keuntungan dan kekayaan. Para gembala ini tahu gajah yang akan memenangi perlawanan. Jika si penggembala gajah tahu bahawa gajah gembalaannya tidak mungkin menang, dia akan bertaruh di atas gajah yang menang walau itu gajah yang menjadi lawan gajahnya. Walau gajahnya tewas namun penggembala tadi tetap memenangi taruhan yang memberinya keuntungan berlipat kali ganda.

Pelanduk bukan lagi digambarkan sebagai rakyat. Ia sebenarnya sebagai batu api. Peranannya pula adalah untuk mencetus, menyebarkan propaganda dan menanamkan perasaan benci antara gajah-gajah. Pelanduk ini pula akan menyebarkan propaganda bahawa gajah yang bakal tewas ini akan memenangi perlawanan. Maka itu, orang di luar gelanggang akan bertaruh pada gajah yang bakal tewas kerana telah diyakini menang. Pada akhir perlawanan, gajah yang diwar-warkan hebat akhirnya tumbang. Yang untung adalah penggembalanya yang telah menerima taruhan daripada orang-orang di luar gelanggang.

Lihat bagaimana peranan para penggembala? Dia mengaut keuntungan dari dua pihak! Pepatah Yahudi ada mengatakan. "Jangan meletakkan risiko ke atas satu jenis perniagaan sahaja". Apabila gajah yang menjadi ayam tambatannya pula tidak mahu mendengar cakap, melawan atau naik angin, dengan mudah sahaja si penggembala ini akan menembak mati gajahnya sendiri dan membeli gajah yang lain. Ini akan terus berterusan sehingga penggembala ini digelar Penggembala Agung.

Pelanduk pula akan sentiasa bersikap talam dua muka dan akan sentiasa mencari dan memantau gajah-gajah yang masih belum ditundukkan. Tugas pelanduklah melobi gajah-gajah ini untuk dilagakan walau apapun sebenarnya penggembala gajah ini tetap dari persatuan penggembala-penggembala yang sama. Cuma penggembala ini hanya menantikan waktu yang paling sesuai untuk bertindak.Kerana persatuan penggembala ini ada strategik dan protokol yang perlu diikuti.

 photo TheEvil.png

Friday, May 3, 2013

Wajarkah begitu?

Apakah ini boleh berlaku?

Aku suruh semua ahli keluar parti atau membubarkan cawangan. Kemudian ahli-ahli ini lompat ke parti lawan. Aku berikan mereka sejumlah wang yang lumayan melalui seorang untuk mereka. Dengan syarat mereka tetap mengundi parti aku pada peringkat DUN dan/atau Parlimen. Kemudian aku berpakat dengan salah seorang dari parti lawan yang berkedudukan tetapi kurang pengaruh dan gelap mata dengan wang dan kuasa. Akan kutaburkan pelbagai janji agar kelak dia akan berkuasa. Dia akan aku jadikan kambing hitam bila diperlukan. Sudah tentu ganjarannya amat-amat besar. Amat!

Setelah selesai pilihanraya. Sekiranya parti aku yang menang. Perkara ini akan didiamkan. Semua untung. Jika berlaku sebaliknya, maka akan terbitlah dakwaan pengundi telah dirasuah oleh parti lawan. Maka fungsi kambing hitam inilah yang akan menjadi saksi palsu. Namun poket telah pun berisi untuk tiga generasi.

Lantaran itu, akan terbentuklah satu sikap khianat terhadap kambing hitam dan wujudlah satu sikap tidak boleh dipercayai terhadap parti didakwa.

Undi itu rahsia tapi mungkin mereka ada cara untuk mengetahui. Jadi mengapa aku hanya menerima pesanan dari satu parti sahaja. Adakah parti yang lain merasakan aku tidak layak untuk diberikan perhatian walaupuin melalui satu kad ingatan mesra? Atau adakah kerana mereka tahu aku menyebelahi siapa dan tidak perlu dipengaruhi?

 photo TheEvil.png

Anganku dibantahi Allah!

Pemandangan sekitar apabila pilihanraya tiba sama sahaja dari dahulu dengan pemasangan poster dan sepanduk. Cuma wajah calon yang bertanding sahaja yang berbeza. Melihat suasana ini, teringat aku sewaktu aku di alam persekolahan rendah. Aku bertanya pada abah,"Abah pilih siapa?"

Abah menjawab, "Kalau benar PAS memperjuangkan agama Islam, abah dah menyertai mereka. Tapi mereka hanya mempergunakan Islam untuk kepentingan mereka sendiri."

Sepanjang hidup aku, aku tidak membenarkan sekelumit pun dunia politik mempengaruhi dunia aku. Biarlah aku melalui kehidupan aku tanpa memperdulikan perjalanan dunia politik. Itu urusan mereka yang layak.

Lusa, 5 Mei 2013 pilihanraya yang ke 13 akan berlangsung. Aku layak mengundi kini dan telah sekian lama berdaftar sebagai pengundi hanya kerana aku tahu itu hak aku sebagai rakyat Malaysia. Tidak lebih dari itu.

Bendera, poster dan sepanduk setiap parti politik mengambil alih pemandangan di kiri kanan jalan raya. Malah di mana sahaja ruang yang boleh! Kemahiran mereka yang memasang bendera, poster dan sepanduk amat dikagumi. Kerana aku amat tahu betapa sukar untuk memasang sepanduk walau hanya di tiang-tiang lampu.

Mereka hendak memansuhkan tol? Wah bagusnya. Hampir setiap hari aku melalui pelbagai lebuh raya atau lebuh raya pintas yang bertol kerana urusan kerja bertemu pelanggan yang berbeza lokasi. Disebabkan aku memerlukan ruang waktu, ketepatan waktu bertemu pelanggan adalah amat penting dalam kerja aku mencari sesuap nasi. Nah! Lebuhraya adalah rangkaian perjalanan aku paling tepat untuk membeli waktu dan menggelakkan kesesakan.

Mereka hendak menurunkan harga kereta? Menarik! Bolehlah nanti aku tukar Proton Saga aku. Aku hendak beli Alphard. Mudah aku memuatkan tangga, kon keselamatan, peralatan kerja bila aku memasang bunting di tiang-tiang lampu. Cuma bila pakai Alphard, cukai jalan dan insuran mungkin masih agak mahal. Tapi tak mengapa, setahun sekali. Petrol tak menjimatkan?

Usah bimbang! Dari sepanduk mereka, mereka juga hendak menurunkan harga petrol. Relevan sungguh! Sungguh bijak! Aku suka! Jadi aku boleh bekerja sambil bergaya. Bawa ahli keluarga berjalan makan angin? Mana mungkin. Sudah pasti isteri aku juga ingin memiliki BMW 5 siri. Bila petrol sudah murah, pasti ini terkesan juga pada harga tiket penerbangan kapal terbang. Dilupa jangan, kapal persiaran mewah juga akan menurunkan kadar tambang yang lebih murah. Inilah peluang menaiki kapal terbang dan bersenang-lenang di atas pelayaran mewah. Jadi mengapa perlu melancong dengan memandu kenderaan. Jika ya pun, pasti lebuh raya kita ini di jalari dengan kereta-kereta mewah. Kos pun kurang kerana tol sudah tidak wujud lagi. Rasanya kalau hendak berselisih dengan kereta Kancil atau Viva, aku rasa seperti kita dapat berselisih dengan Hummer seperti situasi sekarang.

Satu tahun akan datang, anak aku yang sulung akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Mudahan dia lulus dan boleh melanjutkan pelajaran ke universiti. Aku tak perlu risau dengan perbelanjaan dia untuk ke universiti sebab mereka menjanjikan pendidikan PERCUMA! Bila namanya percuma, maka tak perlulah belanja sesen pun kan? Wang yang ada bolehlah aku beli rumah.

Mengapa tidak pula? Mereka juga akan membina rumah mampu milik. Aku akan beli sebuah. Isteri juga akan beli sebuah. Malah di setiap negeri akan kubeli sebuah rumah. Sewakan? Hish.. mana bisa. Siapa lagi yang hendak menyewa rumah bila semua warga wajar memiliki rumah sendiri. Betulkan? Akan kubuat rumah singgah seperti mana sultan-sultan memiliki istana hinggap.

Jangan dikhuatiri ansuran bulanan jika ada. Apalagi perbelanjaan yang perlu diuruskan? Perbelanjaan pendidikan anak-anak kini percuma. Kata mereka lagi, caj eletrik dan penggunaan air juga akan diturunkan. Nah! Apa lagi yang perlu dirisaukan. Soal makan minum, itu harus. Lagi pun rezeki itu urusan Allah. Soal pakaian? Kenapa perlu dipersoalkan. Sambil melancong ke luar negara, pasti dibeli pakaian yang berjenama. Pasti dengan kualiti yang bermutu, pakaian tahan lebih lama. Mudahkan. Pokoknya, wang yang dijimatkan bolehlah kita berbelanja di luar negara.

Lamunan aku terganggu, bila bunyi siren nyaring melanggar gegendang telinga aku. Aku melihat pada cermin belakang. Ambulan menjerit meminta laluan dari deretan kereta-kereta yang dari sekian tadi tidak bergerak walau seinci. Banyak betul kereta beratur di belakang keretaku. Aku pun kalau nak di ikutkan, masih lagi beratur di belakang kereta di hadapanku. Tidaklah diketahui apa yang berlaku di hadapan. Pelanggarankah?

Aku tersenyum bila mengamati lamunanku tadi. Aduh! Lazatnya menggelamun!

Kalaulah aku seorang yang berpengaruh dan berkuasa walaupun tidak sebagai perdana menteri. Sudah pasti aku merebut tender membuat lebuh raya. Kemudia aku bina lebuhraya yang berkualiti itu tanpa tol. 

Akan kubina kilang dan menghasilkan kereta-kereta mewah dan akan kujual dengan harga yang murah. Bila kereta-kereta pengeluaran kilang aku mendapat sambutan di pasaran. Pasti aku akan tubuhkan pula sebuah syarikat carigali minyak untuk kuhasilkan petrol yang murah, menjimatkan dan pergi lebih lajak lagi. Stesen-stesen petrol aku akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Lengkap dengan prasana yang mesra alam dan pengguna. Mungkin lebih moden lagi.

Cuma yang aku risaukan tentang suasana kacau-bilau di Timur Tengah boleh memberi kesan pada harga minyak dipasaran. Apa yang aku ketahui dari pembacaan, ada tangan asing yang sengaja mewujudkan senario ini agar harga minyak akan sentiasa meningkat. Peperangan dirancang dan diatur. Mereka pastinya mengaut berbillion dolar hasil dari kenaikan harga minyak dan juga penjualan senjata.

Kenaikan harga minyak boleh membantutkan banyak perkara dan memberi kesan pada harga-harga barangan dan perkhidmatan. Apakah yang boleh aku lakukan? Adakah aku berkuasa untuk mengawal senario ini atau aku harus tunduk sahaja pada agenda Yahudi untuk memerintah dunia? Mungkin ini bukan dalam kawalan aku, biarkan dulu. Itu realiti!

Aku bersenang-senang hati dengan angan-anganku.

Dengan keuntungan dari industri permotoran dan industri petroleum. Aku ceburkan diri pula dalam bidang hartanah dan pembinaan. Akan kubina kondominium-kondominium indah lagi mewah. Akan kujual dengan harga yang murah dipasaran. Di samping itu aku akan tubuhkan bank saudagar. Memberi pinjaman berlunaskan undang-undang Islam. Ya! Penubuhan bank ini amat penting. Kekayaan dan kekuasaan keluarga Rotschild juga berasaskan perbankan. Akan kumanipulasikan saham-saham di setiap bursa saham yang ada di dunia. Betul! Aku mesti kukuhkan kewangan ekonomi empayar perniagaan, barulah aku berkuasa untuk membantu mereka yang lain.

Bila sudah demikian, pasti yang lain menjadi mudah. Akan kukuasai syarikat-syarikat utiliti. Aku berikan mereka kemudahan eletrik dan air percuma. Atau sekurang-kurangnya bil minima yang perlu dibayar mengikut skala tahunan. Bukan lagi secara bulanan. RM10.00 barangkali untuk setahun. Membina empayar komunikasi dan media yang lebih berwibawa dan telus untuk mempersembahkan pengetahuan tanpa batasan dengan kebenaran dan kejujuran sepenuhnya. Aku akan mencontohi Al-Jazeera!

Setiap negeri, bukan! Setiap kawasan parlimen akan aku binakan universiti yang setaraf pendidikannya dengan Universiti Al-Azhar malah lebih dari itu, ianya PERCUMA. Sememangnya percuma untuk setiap warga yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Terbuka bagi mereka yang minat untuk menimba ilmu. Serta merta akan terhapuslah Sijil Tinggi Pelajaran!

Kemudian, akan kuambil mereka menjadi pakar dalam setiap bidang yang mereka ahli untuk memajukan empayar perniagaanku. Maju dan terus maju!

Tak perlulah aku bersusah-payah berkempen untuk menjadi perdana menteri. Cukuplah sekadar aku dapat membantu warga senegaraku.

Denyar kilat dan diikuti dengan dentuman guruh yang amat kuat membawa aku kembali ke pangkuan realiti. Seolah Allah membantahi angan-anganku. Aku lihat deretan nyalaan lampu merah dari belakang kenderaan yang masih lagi berderet bersusun. Tidak kusedari hujan telah turun membasahi bumi. Petang semakin kelam. Aku menghidupkan nyalaan lampu kereta serentak dengan penggilap cermin depan kereta. Pemanduan aku masih lagi tersekat di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua. Aku masih belum lagi mengetahui apa yang berlaku nun hadapan sana.

Namun dalam fikiranku masih lagi berlegar-legar satu persoalan, siapakah Rothschild? Bagaimana dia yang juga manusia biasa, makhluk Allah namun diizin olehNya untuk mengawal dunia!

 photo TheEvil.png

Wednesday, April 17, 2013

Tiba di Sandakan, Sabah.

 
Dari lapangan terbang Sandakan, kami terus mengambil teksi. Teksi berkupon, RM26.50 untuk ke bandar Sandakan. Dalam perjalanan ke Hotel Four Point, aku berborak dengan pemandu teksi. Dari menyiasat mengenai tempat-tempat menarik dan berkaitan aktiviti kami di sini, tak terlepas juga halnya dengan senario mengenai pengganas Sulu yang mengganas di Felda Sahabat, Lahad Datu. Sambil rancak berborak dengan brader teksi, kami tiba di bandar Sandakan melepasi Pasar Umum Sandakan, dia memberitahu, "Ini semua yang bawa kotak-kotak kecil ni, mereka ni jual rokok seludup ni. Orang-orang sana la tu bang." Aku hanya memerhatikan. Memang sukar untuk bezakan dengan orang tempatan. Sama! Seterusnya kami diturunkan di perkarangan hotel. Brader teksi seraya menghulurkan kad namanya padaku setelah aku menyerahkan kupon.
"Kalau abang ada apa-apa, telefon saya," katanya seraya  keluar dan membuka tempat barang di bahagian belakang teksi.
Kami bersalaman dan dia meminta diri setelah membantu mengeluarkan bagasi kami.
Lenggang di lobi hotel. Hanya kami yang berurusan. Aku mendapatkan teh berperisa pic yang sejuk di hujung lobi. Memang tersedia untuk hirupan tetamu hotel. Nyaman kerongkong setelah mengharungi cuaca tengahari yang agak terik. Setelah selesai di kaunter, kelihatan dua orang pelancong asing (backpackers) menaiki eskalator menuju ke kaunter daftar masuk. Sempoi.
 
Keluar jalan-jalan cari makan. Tumpuan orang ramai di bandar ini tidaklah sebesar mana. Satu jam bersiar di setiap kaki lima premis-premis perniagaan di bandar ini sudah memadai jika tidak menyinggah membeli keperluan. Akhirnya KFC juga yang disinggah untuk santapan tengahari. Selepas itu, kami hanya menurut kaki melangkah sehinggalah kami melintas di hadapan Pasar Umum Sandakan. Kami menyinggah sebentar menyiasat situasi. Bersih! Berbeza dengan pasar basar di Pudu atau di Chow Kit. Kami berpusing di sekitar bahagian menjual makanan kering. Namun aku perhatikan di bahagian menjual daging, lantainya bersih, kering dan daging dicangkuk dan digantung teratur dalam peti penyejuk. Tidak seperti penjual daging di pasar Chow Kit yang dagingnya jualan sentiasa terdedah dihinggapi lalat.
Kami disapa peniaga-peniaga di situ. Ramah. Masing-masing cuba mempromosikan udang kering. Kami hanya melihat-lihat. Mataku hanya melayani susunan bungkusan-bungkusan kopi. Iseri mula membelek-belek bungkusan udang kering. Sesekali disapa peniaga memberitahu setiap harga barangan dagangan. Ikan masin dan ikan bilis perlbagai rupa tersusun kemas. Kelihatan juga sekumpulan, dalam 8 orang barangkali, anggota tentera darat yang lengkap berseragam celoreng dan bersenjatakan rifel otomatik sibuk tawar-menawar dengan peniaga tempatan. Lucu pula bila melihatkan 'orang perang' kita tawar-menawar. Mengalahkan perempuan, lebih-lebih dengan senjata yang disandang. Aku rasa mereka ambil kesempatan untuk membeli ole-ole buat orang rumah.
Kami tidak membeli apa-apa hanya aku membeli sebungkus serbuk kopi berharga RM2.00 untuk buat minuman di bilik nanti. Apa yang aku perasan tadi di bilik hotel mereka membekalkan dua bungkus kopi O dan dua sachet teh Sabah serta gula putih, gula perang, gula tanpa pemanis dan krimer. Tetapi kopi bukan jenama Nescafe, yang lazim disediakan pihak hotel di Semenanjung. Harapnya selepas penyelarasan harga di Sabah dan Sarawak, kopi Nescafe dapat dibekalkan. Bukan memilih tapi sudah menjadi kebiasaan. Kalau kopi Davidoff lagi hebat. Hehehe...
Setelah kami merayau, kami berhenti sekejap minum petang. Jam menunjukkan pukul empat lebih. Kami melepak di Harbour Garden Cafe bersebelahan Hotel Swiss Inn. Kelihatan kapal marin tentera laut kita meninggalkan dok. Aku memesan kopi O ais. Suasana petang di sini sememangnya nyaman. Aku hanya memerhati manusia yang mudik ke hulu dan ke hilir.
Sebelum pulang ke bilik. kami menyinggah ke aras 13 di bangunan hotel. Kolam renang! Gambar di atas, lihat deretan kanopi yang memanjang, itu adalah kawasan yang aku singgah minum tadi.
Di perkarangan kolam renang. Jam menunjukkan pukul 6:30 petang tapi suasana seperti Maghrib jika di Semenanjung. Memang boleh leka jika melepak sini.

 photo TheEvil.png