Halaman

Monday, April 30, 2012

Wajah manusia.

Sudah diberi tapak niaga! Tahu, memang berbayar. Ciput saja berbanding labanya..
tapi, hubaya jugalah dengan kebersihan.

Bertaburan bag plastik berlonggok-longgok.... Mana lagi dengan kertas-kertas suratkhbar lama yang lencun,
kertas-kertas pelapik buah koyak sepah merata.

Bekas makanan atau minuman polestrin.. Katanya mengancam kesihatan manusia. Masih lagi berleluasa penggunaannya.

Itu belum lagi isi perut ikan atau lemak-lemak daging atau minyak masak yang berjejeran.

Sisa makanan yang bertaburan, mungkin antaranya itulah.. Berkatnya rezeki, tapi dipijak-pijak sahaja!!

Mentang-mentanglah 'duit sampah' juga dibayar. Semuanya ditinggalkan berselerakkan.
"Habis aku dah bayar, takkan dorang makan gaji buta?"

Berbakul-bakul juga agaknya si pengaut sampah menyumpah seranah. Bukan kerana mereka tidak ikhlas bekerja tapi bila mengenangkan mentaliti para peniaga pasar malam.

Ada juga para pengunjung yang bersikap lewa ramainya juga adalah kanak-kanak perlu juga dididik!


InTheShadow

Tuesday, April 10, 2012

Telah dicatatkan.
















Mereka kata,
rancang sebelum bekerja.

Kita pun tahu,
manusia hanya mampu merancang.

Namun petang semalam.
Telah terima perkhabaran.
Makcik saudara menyahut panggilan Ilahi.

Fardhu kifayah dituruti.
Segala yang harus,
Jalan kerja yang dicatat semalam?

Ahh..! Abaikan sahaja!

Esok cuti?
Alah.. Lusa pun masih bisa.
Andai nafasku tidak terhenti.

Maklumlah...
Kita hanya merancang.

InTheShadow

Monday, April 9, 2012

Mengiringi masa.





Langkah pertama ke Maluri.
Selesai urusan di Maluri.
Bergegas ke Bangsar.
Bangunan UOA bersebelahan  LRT Bangsar ditujui.
Pejabat di tingkat 33A terletak kemas.
Diserahkan contoh barang pada yang bertanggungjawab.
Diharapkan  kelak ada rezeki di situ.

Ke Wisma Perintis pula dihala selepas Bangsar.
Sebentar cuma, bayaran letak kereta pun tidak perlu.
Sekeping kertas yang punya harga diri disimpan cermat.

Berlegar di kepala merancang perjalanan kerja.
Steven, pemilik FirSafe dihubungi.
2 unit pemadam api perlu diambil.
Jalan Cheras diselusuri menuju ke Taynton View.

MPKj disusuli sebentar.
Sokongan Jabatan Bomba diperlukan.
Melengkapkan urusan permohonan, permudahkan kerja.
kerana..
Bangi Home Security ingin berpremis niaga.
Dataran C180 Cheras Selatan menjadi dahan.
Akar tunjang berumbi di Bangi.

Masih ada kesempatan waktu,
Alang-alang di kawasan berdekatan.
Jauhnya Putrajaya hanya setanak nasi.

Tidak perlu memecut laju.
Masa sentiasa bergerak, masa sentiasa ada.
Tapi ada yang kita miliki hanya sekali.
Jarang kita perolehi peluang kedua.
Sebentar sahaja melalui dari Tol Sg. Balak.
Menara Usahawan di Presint 2 telah kelihatan.

Diserahkan dokumen.
Diambil pula dokumen yang lain.
Tak perlu tergesa-gesa.
Walau mendung pekat menampakkan wajah.
Sudah ada rintik kasar menimpa bumi.
Biarlah, itu sudah rutinnya.

Namun masih ada bumi yang kering.
Hari ini telah dipermudahkan urusan.
Berusaha sudah, berdoa? tawakal?
Itu aku terlupalah pula.


InTheShadow

Tuesday, April 3, 2012

G6.


Lebih kurang jam 1500, aku dan Jimmy tiba di majlis perkahwinan Azwan dan Norsyarmeme. Kelihatan dari jauh di bawah khemah, pengantin lelaki lengkap berbusana Melayu songket berwarna krim lembut melayani tetamu yang hadir. Kami bersalaman dan berpelukan setelah seabad lebih tidak bersua.

Aku menyertai Fudin serta isteri dan abangnya Jiman sekeluarga duduk  bersembang bersama kawan-kawan sekampung. Kami bersalaman dan bertanyakan khabar masing-masing.

Ketika menikmati rendang daging, kurma kambing, ayam goreng berempah serta lauk-pauk yang lain. Faizul bersama isterinya Sheila dan dua orang anaknya tiba lalu menyertai kami di meja makan. Lee Bonyot yang telah pulang dari kenduri tiba untuk kali kedua duduk bersama dengan isterinya.


Hanya menantikan ketibaan Boy dan Amat. Sementara itu kami ke Lembah berdekatan Sg. Kangsar untuk menikmati Laksa Buyong dan cendol. Jimmy yang pulang awal tadi menghantar isterinya berehat di rumah, tiba ketika kami mencari ruang letak kereta. Sebaik berada dalam medan selera, pasangan pengantin yang dirai tiba.


Sambil menikmati juadah, kami bercumbu dengan cerita-cerita lama yang sekian lama terlipat dalam kenangan. Selesai di situ aku dan Faizul ke Padang Rengas sebentar. Dalam perjalanan pulang dari Padang Rengas, aku dan Faizul menunggu ketibaan Boy dan Amat di sebuah stesen petrol di Kuala Kangsar 2.

Amat bertolak dari Johor Bahru seawal pagi untuk ke Kuala Kangsar dan akan singgah untuk mengambil Boy di Selayang. Oleh kerana hujan yang amat lebat, perjalanan mereka menjadi lewat lebih-lebih lagi Boy terlepas susur keluar ke Kuala Kangsar dan terpaksa memasuki melalui susur keluar Changkat Jering dan melalui Taiping untuk ke Kuala Kangsar.

Jam lebih kurang 2000, kami mengunjungi rumah pengantin sekali lagi menemani Amat dan Boy.


InTheShadow

Sunday, April 1, 2012

Gerimis Mengundang.



Selesai sahaja nama pengarah diwartakan. Tepukan gemuruh mengisi ruang Panggung Sari. Reda sahaja tepukan, kami bingkas keluar dari panggung. Tidaklah pula aku menjangkakan teater bertemakan cinta ini ada lawaknya. Ini semua gara-gara peluang yang diberikan kepada kumpulan Zero, pemenang tempat kedua Raja Lawak Astro musim keenam diberi kepercayaan mengambil-alih keseluruhan satu babak.



Walau lawak Zero bagai diulang siar dari rancangan Raja Lawak yang disertai namun kebijaksaan pengarah menggarap lawak muzikal yang pernah mereka persembahkan dapat diadun dengan baik sekali dan membuat Panggung Sari gamat dengan gelak tawa penonton. Bagi aku, Ahmad Idham telah menyuntik satu tambah nilai yang amat baik!

Kunjungan ke Istana Budaya untuk menonton teater muzikal Gerimis Mengundang hanyalah menemani ibu yang meminati pelakon Indonesia, Mikha Tamboyang yang sedang galak melalui sinetronnya, Nada Cinta; membawa watak Chinta. Setelah tiba di lobi Istana Budaya, barulah aku amati poster promosi yang ditampal merata. Diketahuilah heronya adalah Kamal Adli yang membawa watak Zamani; mungkin mengambil sempena nama penyanyi yang mendendangkan lagu Gerimis Mengundang dari kumpulan Slam yang popular sekitar tahun 1997, seingat aku.

Selain itu juga, menampilkan Taiyuddin Bakar yang membawa watak sebagai Jering dan beliau juga adalah Penolong Pengarah 1 untuk teater muzikal ini; juga bergandingan dengan Kamal Adli dalam Apa Celop? Kiranya Apa Celop + Nada Cinta = Gerimis Mengundang! Ada juga para pelakon dari negara jiran terdekat kita dari Singapura turut bergandingan dalam teater ini. Suatu yang amat sihat untuk menaiktaraf karya seni atau  seni teater serumpun.

Menjadi kebiasaan dalam tema cinta halangan dan cemburu pasti hadir. Masakan tidak seperti di dalam lirik lagu Gerimis Mengundang itu sendiri.

“Kusangkakan panas berpanjangan
Rupanya gerimis, rupanya gerimis mengundang
Dalam tak sedar ku kebasahan..”


Layan lagu ni.. ley leleh air mata ni beb..

InTheShadow