Halaman

Sunday, May 22, 2011

Kuching, Sarawak.

Awal bulan Mei, pada 4 hingga 6 haribulan, 2011, aku, isteri dan Syahmi serta satu lagi keluarga pelajar ke Kuching, Sarawak kerana Sarah mempunyai aktiviti orkestra yang disertainya di sekolah. Kali ini mereka ke sini atas Program Permenteraian Kerjasama dengan Sekolah Kebangssan Tabuan Hilir. Cuma ketika program itu selesai jam 1400, aku baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kerana pesawat berlepas dari Terminal LCC jam 1145.


Dari lapangan terbang kami menaiki teksi selepas dinasihatkan oleh guru sekolah agar mendaftar masuk dahulu di Merdeka Palace yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg. Selesai mendaftar masuk dan meletak bagasi di dalam bilik, kami semua beserta para pelajar yang juga baru pulang membuat persembahan terus di bawa ke Waterfront, Kuching yang jauhnya jika berjalan kaki hanya mengambil masa 10 minit.

Aktiviti yang dirancang di situ adalah untuk menyusuri Sungai Sarawak dengan bot besar. Memandangkan bilangan kami ramai, maka dua sesi akan dilakukan. Sesi pertama diikuti sebilangan besar pelajar lelaki dan segelintir para ibubapa dan kami dipecahkan kepada sesi kedua. Sementara menunggu sesi pertama selesai dalam masa 90 minit, kami disaran untuk bersiar di Jalan Main Bazaar yang berdekatan untuk melihat atau membeli cenderamata.




Terletak kira-kira kurang 10 minit berjalan kaki jaraknya, kami melintasi tugu peringatan Charles Brooke yang tersergam berhampiran jalan. Para pelajar kelihatan tidak sabar untuk menyerbu deretan kedai yang menjual pelbagai barangan tanda mata dari Kuching itu.Meriah dengan telatah para pelajar hinggakan pekerja kedai tidak menang tangan untuk melayani para pelajar yang masuk hampir serentak.

Bila menyedari ada banyak lagi kedai-kedai di deretan bangunan, para pelajar mula berpecah berpuak-puak dengan rakan karib masing-masing. Para ibu bapa hanya mengawasi dan tidak ketinggalan juga para ibu, kebanyakkanya yang lebih galak mencari pelbagai barangan untuk dijadikan tanda mata.


Aku sekadar melihat-lihat barangan kraftangan yang kebanyakkanya melambangkan budaya dan seni masyarakat Iban atau Dayak di Sarawak. Keghairahan aku melihat-lihat pelbagai corak 'tribal' mati bila terpandang satu kedai makan di antara kedai-kedai kraftangan. Perut yang sememangnya lapar dari tadi bagai tersenyum. Aku melangkah sambil memerhati beberapa gadis tempatan yang menjual kek lapis di kaki lima bangunan. Mereka menyapa sesiapa yang melintasi di hadapan meja jualan untuk mencuba rasa kek lapis dan melariskan jualan.

Aku melangkah masuk ke restoran kecil. Rupanya isteriku terlebih dahulu sudah menikmati minuman di situ. Isteriku mempelawa aku untuk menikmati teh C special seperti poster-poster yang ditampal di dalam dinding restoran. Aku dihulurkan sekeping menu oleh seorang gadis muda. Aku membaca satu persatu baris menu dan mengamati gambar-gambar makanan yang terpampang di atas menu.

Aku tertarik melihat gambar semangkuk mee dengan hirisan daging lembu. Mee Kolok beritahunya bila aku bertanya pada gadis itu. Segera aku memesan satu mangkuk sedangkan pada mulanya terlintas di nafsu makan ini untuk mencuba Laksa Sarawak. Aku juga memesan teh C special yang kelihatan menarik persembahannya.


Sedap dan lazat mee kolok.


Teh C special juga sejuk mengalir di kerongkong. Enak, lemak manis gula merah.

Setelah masa hampir tiba untuk menaiki bot menyusuri Sungai Sarawak kami berjalan kembali menuju jeti di Waterfront. Awan mendung berarak perlahan di kaki langit melatari Sungai Sarawak.




Dikatakan Sungai Sarawak mempunyai kedalaman antara 20 meter hingga 30 meter dan ini membolehkan kapal-kapal besar menyusuri hingga ke pelabuhan, terang pembantu tekong bot yang memandu kami menyusuri sungai. Apabila kami berpatah balik selepas melepas jambatan, hujan mulai renyai dan beberapa ketika barulah rintik halus bertukar menjadi kasar. Mulanya kami berada di atas bumbung bot dikerah untuk memasuki ke dalam perut bot berlindung daru hujan lebat.


Keadaan di dalam perut bot kelihatan sesak dan aku cuma berdiri berhampiran pintu di buritan bot sambil memandang keluar dari tingkap. Ketika ini kami berselisih dengan satu bot yang lebih besar seakan bot 'cruise' yang cantik. Kekaguman aku dimatikan apabila pembantu tekong memberitahu aku bahawa kadar bayaran untuk menaiki bot seperti itu adalah mahal, RM60.00 untuk seorang dewasa manakala bot yang kami naiki ini hanyalah RM10.00 untuk seorang dewasa. Bot ini adalah perkhidmatan tunggal orang Melayu dibawah kelolaan koperasi tempatan.


Aku melihat para pelajar sedang berhibur dengan karaoke yang disediakan dan menikmati makanan ringan yang dijual dengan harga yang berpatutan. Hujan sedikit reda apabila bot melintasi Hotel Hilton dan aku melihat deretan bot nelayan yang besar, nelayan laut dalam fikirku. Sebaik sahaja melepasi beberapa meter dari pelabuhan kecil itu, bot berpatah balik dan berlabuh di jeti berhampiran.


Riuh para pelajar apabila turun dari bot dan berlari-lari anak menuju ke bas sekolah yang sudah menunggu untuk membawa kami semua pulang ke hotel untuk beristirahat.



blog

Port Dickson.


Hari jadi Syibli kebetulan jatuh pada cuti umum Hari Wesak, Selasa 17 Mei 2009. Kering akal untuk meraikan hari ulangtahunnya yang ke 7. Mulanya bercadang untuk bawa menonton wayang tetapi memikirkan ramai orang yang pasti berkunjung, hasrat itu dibatalkan. Kemudian terfikir pula untuk ke Hutan Lipur Lentang di Bentong kerana kami baru juga mengunjungi ke tempat itu dan Syibli agak seronok bermandi sungai. Memandangkan cuaca yang tidak menentu dan risau dengan keselamatan, hasrat itu juga dibatalkan.

Akhirnya, pantai Teluk Kemang, Port Dickson menjadi destinasi di saat-saat akhir untuk meraikan hari ulang tahun Syibli. Dari Kuala Lumpur kami sekeluarga bertolak jam 0900 dan tiba pada jam lebih kurang 1030.

Sebaik tiba, kami menyewa ruang khemah yang tersedia di pesisiran pantai dengan harga RM25.00 memandangkan hari sudah meninggi. Seandainya disewa satu hari dari awal pagi, harga sewaan adalah RM40.00 untuk sehari.

Syibli, Melissa dan Syabil kelihatan tidak sabar untuk turun bermain di tepi pantai. Bermain ombak. Aku hanya memerhati dari khemah. Ketika itu air laut masih surut. Gigi air air agak jauh dari khemah kira-kira 150 meter. Dalam memerhati, aku membaca akhbar The Sun yang diberi percuma di Tol Plaza Sungai Besi semasa melaluinya. Bila membaca dan disapa dengan angin pantai, mata menjadi kuyu.

Aku mengambil kesempatan untuk melelapkan mata bila isteri menyertai anak-anak bermain di gigi air. Terakhir dalam pandanganku, aku melihat mereka sudah berada di dalam air laut paras dada Melissa.

Aku lelap.

Aku terjaga bila riuh suara anak-anak mendatangi khemah untuk mencari air minuman. Terpancar wajah mereka kemerahan dibakar mentari tengahari itu. Namun mereka semuanya seronok bermandi-manda.

Apabila mereka turun semula ke laut aku turut menyertai mereka dangan pelampung tiub tayar yang disewa dengan kadar RM5.00.

Leka bermandi-manda tidak sedar air laut mulai pasang. Kelihatan pekerja-pekerja khemah sibuk membuka khemah dan mengalih ke atas laluan pejalan kaki yang agak tinggi. Aku naik semula menuju ke khemah dan bertanya sehingga manakah aras air laut pasang ini. Jawab mereka, sehingga ke tembok belakang khemah yang didirikan.

Aku membiarkan mereka melakukan kerja-kerja mereka. Kemudian aku mengalihkan barang-barang yang dibawa ke khemah yang sudah siap dialihkan di laluan pejalan kaki. Dalam masa 30 minit, air telah pasang penuh menghampiri tembok, berderai ombak besar  memecah menghempas tembok. Pekerja-pekerja yang menjalankan sewaan bor siar juga mula sibuk mengalihkan bot-bot mereka berhampiran gigi air agar bot tidak terlalu jauh ke tengah.

Anak-anak masih gagah lagi untuk bermandi-manda. Aku membiarkan mereka kerana hampir dengan khemah. Mereka juga tidak galak seperti tadi hanya berlari-lari dan melompat-lompat bila ombak menghampiri.


Senja mula menampakkan diri di ufuk barat. Kelihatan mereka juga sudah puas bermain hari itu. Tandas awam yang berdekatan dituju untuk membersihkan diri dengan air bersih. RM1.00 dikenakan untuk mandi membersihkan diri. Setelah semuanya kemas membersihkan diri, gerai makan dituju.

Nasi ayam dan tauhu bakar menjadi hidangan makan malam kami sekeluarga. Jam 2000 kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur, anak-anak pantas terlena keltihan. Aku memandu perlahan membelah lebuhraya.


blog