Halaman

Thursday, March 25, 2010

lapan jam.

Berjarak Isnin dan Khamis, di antaranya berdiri teguh Selasa dan Rabu. Jumaat gah dengan kebesaranNya memisahkan Sabtu yang setia membontoti Ahad. Sekian lamanya mereka saling berjiran, sudah melebihi 2000 tahun mereka teguh tanpa ada yang mengugat keutuhan. Keutuhan mereka kerana berdirinya waktu 24 jam sentiasa berdetik. Cukup tempohnya, waktu bertukar 0000 kepada mereka yang berada bersebelahan. Yang ditinggalkan, kita gelarkan semalam. Penghijrahan waktu baru yang kita lalui, kita gelarkan hari ini dan pada waktu yang sentiasa kita nantikan kehadirannya, kita gelarkan esok dan ruang hari yang bakal datang, kita gelarkan lusa malah berdiri sebelah menanti hari berganti adalah tulat.

Hari ini bertukar menjadi semalam, semalam bertukar menjadi kelmarin dan tulat juga berubah menjadi lusa dan lusa juga bertukar menjadi hari esok. Namun hari esok yang kita nantikan tidak akan ada kerana bila ianya hadir, ia sudah menjadi hari ini. Mereka bergilir menjadi penanda untuk kehidupan manusia apabila cukup tempohnya, begitulah seterusnya berulang dalam empat minggu dan membentuk menjadi bulan.


Masa terus bergerak tanpa ada sesiapa yang berkuasa untuk menghalang atau memberhentikannya walau seketika, walau 1/10 saat jarum jam berdetik. Mampukah kita?

Mengapakah masa itu diumpamakan seperti emas, seperti yang kita ketahui emas itu amat mahal nilainya dari segi wang ringgit dan amat sukar untuk diperolehi. Ianya masih mampu dicari gali dengan segala usaha yang dipertaruhkan. Mampukah kita mencari ruang masa sedangkan masa itu pantas sahaja berlalu meninggalkan kita yang kelewatan. Jika usaha mencari emas memerlukan segenap kederat yang ada, dibantu dengan pelbagai peralatan baik secara tradisional atau mesin yang canggih kerana peredaran masa juga mencipta teknologi atas nama kemajuan.

Bagaimana kita hendak menggali masa? Sering kita berkata, tidak punya waktu yang cukup. Kita mengejar masa untuk mencapai matlamat dalam hidup kita dan adakah perlu kita berlumba dengan masa? Sedangkan masa yang menentukan kekuatan tenaga kita untuk mengejarnya. Bukan kita yang boleh menghalang atau memberhentikan masa. Jika kita mengandaikan dengan menanggalkan bateri yang memberi kuasa pada jam yang berdetik, maka terhentilah jarum jam yam berdetik. Adakah itu sahaja kuasa kita yang ada untuk memberhentikan masa?

Berapakah kelajuan terpantas yang manusia boleh cipta? Dalam teknologi automatif, manusia cuba meningkatkan prestasi kelajuan bermula dari 0-4 saat untuk mecapai kelajuan 100km per jam. Ini juga dikaitkan dengan penggunaan per jam, maknanya pembahagian nisbah kelajuan dengan masa. Tetapi kelajuan tidak boleh meninggalkan masa kerana di sebelah pedal kelajuan dicipta pula pedal brek bertujuan untuk mengurangkan kelajuan atau memberhentikan kelajuan menjadi pegun.

Cheetah, haiwan yang terpantas di mukabumi ini pun terbatas kelajuan berlarinya dengan masa. Cheetah hanya mempunyai masa selama 3 minit untuk berlari pantas dan membaham mangsanya. Melebihi batas masa ini, cheetah akan berputih mata. Tapi bagaimana dengan batas masa yang dimiliki kita? Adakah sebelum ajal datang menjemput?

Realitinya kita mesti akui yang kita tidak mampu berlawan dengan masa. Kita juga akui bahawa satu hari mempunyai 24 jam yang sentiasa bergerak. Dalam matematik mudah, pengiraan bahagi dengan 3 akan menghasilkan 8 jam dalam setiap satu bahagian. Umumnya kita bekerja selama 8 jam dalam sehari termasuk satu jam, sebahagian kecil untuk kita makan atau berehat agar dapat meneruskan hidup kita. Kesibukkan kerja semestinya melekakan dan sering kita tidak sedari masa berlalu dengan pantas. Jika kita menyedari masa bergerak dan kerja masih belum dibereskan, maka terjadilah ‘rush hours’, acara mengejar masa atau ‘date-line’ memungkinkan kerja kita menjadi sedikit kelam-kabut.


Di dalam waktu kerja dan dalam apa jua situasi, masa tidak menyebelahi sesiapa. Orang atas dengan mudah memberitahu garisan masa yang mesti dipatuhi. Orang atas pula miliki tekanan dengan masa untuk produktiviti kerja yang efisien agar tidak kehilangan pelanggan yang mementingkan masa juga. Ada segelintir yang berjaya memenuhi tuntutan garisan masa, bagi mereka yang hampir mendekati tetapi masih tidak mampu memenuhinya, maka batas masa kerja 8 jam dilanggar, dilanjutkan waktu kerja yang digelar dalam waktu kerja lebih masa. Bukan kerana kita punya lebih masa untuk membuat lebih banyak kerja sebenarnya tapi lebih kepada tidak cukup masa. Oleh kerana melebihi batas waktu kerja 8 jam, maka kita dibayar dengan setiap detik kita bekerja di luar waktu bekerja 8 jam itu.

Tahu bagaimana pembayaran masa ini dibuat?

Gaji sebulan dibahagikan dengan 20 hari atau 24 hari (tertakluk jumlah hari bekerja dalam sebulan), dibahagi pula dengan 8 jam, kemudian didarabkan dengan 1.5 hasilnya jumlah bayaran kerja lebih masa dalam sejam. Lihatlah betap pentingnya pembahagian dalam 8 jam itu.

Kita menganggap pembayaran itu wajar dan sering kita lakukan kerja lebih masa untuk mengumpul dana agar perbelanjaan dalam kehidupan kita lebih selesa. Benarkah? Apabila 8 jam waktu bekerja kita telah terlanjak, kita masih punya dua bahagian 8 jam, di mana setiap bahagian itu sepatutnya mempunyai peruntukkan masa untuk aktiviti kita yang lain. Oleh kerana sebahagian masa jam kita dalam satu bahagian itu telah diganggu dengan aktiviti kerja lebih masa tadi, majikan yang meyedari betapa pentingnya masa bagi setiap manusia, maka pampasan waktu yang terganggu tadi dibayar dengan nama gaji lebih masa. Maka itu, manakah yang penting bagi kita, wang ringgit atau masa?

Keputusan di tangan kita, kita sahaja lebih mengetahui penggunaan masa dalam kehidupan kita. Mungkin gangguan masa itu tidak mendatangkan masalah kepada apa yang perlu kita lakukan dalam bahagian 8 jam yang lain. Dengan memikirkan mana yang lebih baik, dari melepak tidak tentu hala, adalah lebih baik membuat kerja lebih masa. Bagaimana pula jika masa yang terganggu tadi menganggu atau bertembung dengan masa aktiviti kehidupan kita yang lain. Esok lusa juga masih boleh bermain bola bersama teman. Esok lusa juga boleh makan malam bersama keluarga. Esok lusa juga masih bisa keluar berpacaran. Esok lusa juga masih mampu membimbing anak membuat kerja sekolah. Tidak sempat masak, makan sahaja di restoran atu gerai yang menyediakan pelbagai masakan lauk pauk atau hidangan.

Adakah esok lusa itu juga tidak akan menganggu masa kita? Atau masih ada esok lusa untuk kita? Kerana pengambilan prinsip inilah, maka orang-orang tua kita bertutur, jangan ditangguhkan apa yang boleh dibuat hari ini ke hari esok.

Bahagian 8 jam ini jangan sekali diabaikan. Segala aktiviti untuk diri kita dan untuk orang yang tersayang tertakluk dalam bahagian ini. Bermesra dengan ahli keluarga dan sahabat handai amat baik dalam kesejahteraan hidup. Sedikit ruang diperuntukkan juga dengan hobi atau riadah yang bermanfaat untuk kita kekal cergas tubuh badan dan minda.


Jadual aktiviti kita sudah dirancang dengan teratur setiap hari dan hanya menunggu masa melaksanakannya. Apa saja ruang senggang kita cuba penuhi dengan apa jua aktiviti peribadi kita. Diingatkan juga, kita hanya punya 8 jam dalam bahagian ini. Seandainya, lajakkan masa bekerja menganggu bahagian ini dan bahagian ini pula masih tidak mencukupi had waktunya maka dengan itu, lajakkan ini akan menganggu satu bahagian yang amat penting dalam hidup manusia!

Ya, sememangnya kita perlukan 8 jam untuk tidur! Tubuh kita memerlukan rehat yang cukup, begitu juga dengan minda kita. Kita mungkin gundah sekiranya kenderaan kita yang pandu atau tunggang setiap hari ke pejabat tidak mendapat servis yang baik dari bengkel. Kita resah bila kedengaran bunyi yang asing datang dari penalaan enjin kenderaan kita. Tidakkah kita risau bila isteri atau suami atau pun teman sebilik memberitahu bahawa dengkuran tidur kita bisa didengari seluruh taman perumahan?


Dengkuran tidur merupakan antara simptom yang memberitahu bahawa kita mempunyai masalah pernafasan. Untuk meyedapkan hati, kita beralasan, sudah seharian kerja, pastinya kepenatan yang membuatkan aku tidur berdengkur. Tiada apa-apalah…

Tiada siapa yang boleh memastikan jantung kita mampu mengepam darah dengan baik setiap masa. Adakah kita pasti arteri-arteri kita bebas dari enapan kolestrol, lancar membawa darah beroksigen ke seluruh tubuh dan otak kita? Lebih-lebih lagi dengan gaya hidup sekarang, diet kita atau udara persekitaran begitu juga dengan sebahagian manusia dengan tabiat merokoknya.

Walau ada segelintir yang mampu mendapatkan tidur hanya 6 jam atau 4 jam sehari, mereka bukanlah manusia hebat. Mereka sebenarnya hanya memanipulasikan masa untuk menutup ruang waktu yang tidak pernah mereka nikmati secukupnya. Menutup atau membayar kembali lajakkan masa yang mereka sendiri langgari kerana sengaja menangguhkan sesuatu pekerjaan atau aktiviti. Inilah kumpulan manusia yang sering mengeluh tidak punya waktu, punya banyak perkara yang perlu dilakukan atau diselesaikan. Kelihatannya mereka ini manusia yang bekerja keras. Bekerja keras berlumba dengan masa dan cuba memenangi perlumbaan itu.

Mereka akan tanamkan disiplin untuk mengikut semula pengaliran masa dalam setiap bahagian tetapi mereka bakal gagal kerana dari mula lagi mereka tidak punya disiplin. Jika mereka kembali punya waktu yang senggang pastinya akan dipenuhi denagan aktiviti ‘menarik nafas lega’. Mereka akan membayar balik waktu tidur dengan sepuas-puasnya. Andai kita kita tidur selama 12 jam, hakikatnya kita tidak cukup tidur untuk 4 jam lagi. Kita tidak akan berasa segar jika kita dapat tidur kurang atau lebih dari 8 jam. Malah kelesuan yang rasa menyelinap tubuh kita. Kita masih lagi akan menguap walau sudah beberapa jam bangkit dari tidur malah sudah melakukan beberapa aktiviti. Itu tandanya kita tidak punya waktu tidur yang cukup walau kita lelap 12 atau 14 jam di atas tilam yang empuk apatah lagi jika nyenyak kita kurang 8 jam.

Pastikan kita menggunakan setiap bahagian 8 jam ini dengan baik. Ajal itu datang tanpa sesiapa pun mengetahuinya tetapi kita mesti berikhtiar untuk bisa bertemu dengan Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Manusia yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang mampu menangani masa dan pintar bermain dengan masa.


2 comments:

  1. planning ahead is advisable :)

    ReplyDelete
  2. btul...! tp kdg org mrancang je lebih.. pelaksanaan.. hampeh.. hangat2 tahi ayam..!

    ReplyDelete