365 hari aku lalui berulang kali bertemu Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan pelbagai masalah yang datang, yang tidak dijangka dan tidak kurang juga masalah yang dicari. Menyelesaikannya satu persatu, datangnya bertimpa-timpa adakala tidak sempat senyuman terukir mengecapi kenikmatan penyelesaiannya. Kelihatannya masalah ini seolah beratur untuk menghadap mencabar kerumitan yang perlu dilangsaikan sehingga berlarutan ke hari-hari baru. Hari tidak pernah menantikan aku untuk aku menyelesaikan permasalahan yang melanda. Kegembiraan yang seketika semestinya dinikmati sebaiknya sebelum menyelak permasalahan baru yang memburu.
Bukan tiada kegembiraan dan kebahagiaan yang kekal namun ianya sering dicabar dengan muslihat dan nafsu diri yang tersilap langkah mengatur perjalanan. Kesempurnaan yang dicari tidak pasti dapat dicapai oleh tingkah laku yang malas dan leka dalam merungkai makna kehidupan. Kerajinan pula sering dibontoti kemalasan yang mengoda dan merayu agar tersimpang jauh dari landasan cita-cita.
Hari baru pada tahun baru ini, Jumaat 1 Januari 2010 adalah satu lembaran baru untuk aku menintakan lebih banyak warna kehidupan di atas kanvas yang sudah diwarnai pelbagai warna, cuma hari ini, aku menyelak ke lembaran baru agar dapat aku menari bersama-sama dengan berus warna atas kanvas kehidupan.
Aku memandu mencari persimpangan yang benar untuk dibeloki. Papan-papan tanda di bahu jalan bukan sekadar menjadi rujukan untuk sampai ke destinasi perjalanan tetapi akal perlu mengetahui maksud papan-papan tanda dipacakkan. Apabila selesa dengan perjalanan ini, papan-papan tanda ini tidak akan dikerling kerana angkuh seolah pati tidak akan tersesat. Jangan lupa bahawa banyak pelanggaran berlaku pada jalan-jalan yang lazim kita lalui setiap hari. Papan-papan tanda ini bukan sekadar menunjuk arah bagi mereka yang terkial-kial mencari arah panduan dalam hidup. Ingatlah, pada yang mencipta papan tanda itu. Walau setiap hari memandang dan melihat tetapi dapatkah aku nampak sebab dan tujuan papan tanda itu di mukabumi ini?
Selamat Menempuh 365 hari lagi bagi edisi 2010!
Insya-Allah..
Tik tik tik
ReplyDeleteMasa berdetik
Tik tik tik
Dikira terbalik
Berazam tak pernah serik
Masuk ke bilik
Lihat cermin berlarik
Buat mimik muka pelik
Jelir-jelir korek korek
Aku nak jadi lebih baik
Aku mau naik
Jadi lebih cantik
Lebih menarik
Asalkan tidak terbalik.
Selamat Tahun Baru 2010.