Halaman

Friday, January 15, 2010

"Sebab u, babi panggang tak de tapi bir ada..."


Malam sebelumnya sudah diadakan majlis mengikut kebudayaan Cina di rumah ibu pengantin. Beramai-ramailah mereka menulis nombor ini di atas kertas sebaik sahaja kereta ini tiba di perkarangan rumah. Mereka kuat berpegang dan mempercayai pengaruh nombor dalam kehidupan mereka. Malangnya nombor-nombor ini telah mempermainkan mereka. Malam itu, keputusannya, 2899, hadiah tempat kedua dari salah sebuah agensi nombor ramalan.


Aku bersama Farid dan rakan yang lain, menghadiri majlis makan malam meraikan pengantin. Ah Chuan atau Chin Kim Chuan merupakan kawan yang bekerja di bersebelahan tempat aku bekerja. Orangnya mudah, senang berbual, futsal hobinya. Antara penyokong Manchester United yang kecewa malam itu kerana kekalahan 3-0 di tangan Fulham.


Bersama pasangannya, Ah Leng. Bapanya memiliki perniagaan kasut di Kompleks Campbell.


Menghampiri acara kemuncak. Diraikan secara sederhana. Tidak lebih seperti meraikan majlis hari ulangtahun.


Acara kemuncak...!
Yyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaammmmm Seeeeeeng..!!!


Sebagai kenangan sebuah persahabatan.

From Taiping With Love....

Bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Taiping melalui Lebuhraya DUKE jam 8:30 pagi dan membelah Lebuhraya Utara Selatan melepasi Plaza tol Jalan Duta pada jam 9:30 pagi.


Hyffny dan isteri, Emma serta anak tunggal perempuannya, Caramina. Berhenti sebentar di R&R Sg. Perak.


Mulanya sudah menuju terus ke rumah pengantin tetapi menukar haluan untuk mendaftar masuk hotel untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. Di sebabkan tidak biasa dengan bandar Taiping, tempat kami berpatah balik untuk ke hotel itu, hanyalah 2-3 mint lagi pemanduan untuk tiba di rumah pengantin. Dalam perjalanan pulang baru kami perasan.


Dua hari sebelum majlis ini, dikhabarkan bahawa anak buah pengantin lelaki telah meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan. Bersanding di atas pelamin dan paluan kompang dibatalkan. Maka pengantin tidak dapat menyarungkan baju songket sepertimana budaya orang Melayu.
  

Sebahagian kawan karib yang dapat menghadirkan diri.


Ciuman untuk seorang isteri.


Hujan yang turun dengan sangat lebat membuatkan ramai tetamu terkandas dalam khemah.


Hujan lebat menghalang kami untuk bersantai di Taman Tasik Taiping yang popular dengan kisah cinta 'From Taiping with Love' di majalah Gila-Gila satu ketika dahulu. Jarak yang hanya seminit pemanduan dari rumah pengantin. Kami cuma melepasinya begitu juga Zoo Taiping yang terletak bersebelahannya.


Sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur, kami singgah di rumah pengantin untuk bersalaman. Tetapi ibu pengantin memberitahu bahawa semua orang pergi berkelah di sungai belakang rumah. Bagus. Susah hendak dapat rumah, taman perumahan yang amat hampir dengan sungai sebegini.


"Ni tengok apalagi ni?"

Wednesday, January 6, 2010

Tutur yang melebihi intan.

Tik tik tik
Masa berdetik
Tik tik tik
Dikira terbalik
Berazam tak pernah serik
Masuk ke bilik
Lihat cermin berlarik
Buat mimik muka pelik
Jelir-jelir korek korek
Aku nak jadi lebih baik
Aku mau naik
Jadi lebih cantik
Lebih menarik
Asalkan tidak terbalik.

Disalin dari ruang komen entri 365 hari lagi... daripada Cikgu Ahmad Humairi.

"Kita amat mengetahui bahawa masa itu emas. Dilupa jangan, tutur nasihat dari orang yang lebih berpengalaman itu umpama intan, sebutir, sebutir tuturnya. Tidak jelas tapi berkias."

Friday, January 1, 2010

365 hari lagi...

365 hari aku lalui berulang kali bertemu Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan pelbagai masalah yang datang, yang tidak dijangka dan tidak kurang juga masalah yang dicari. Menyelesaikannya satu persatu, datangnya bertimpa-timpa adakala tidak sempat senyuman terukir mengecapi kenikmatan penyelesaiannya. Kelihatannya masalah ini seolah beratur untuk menghadap mencabar kerumitan yang perlu dilangsaikan sehingga berlarutan ke hari-hari baru. Hari tidak pernah menantikan aku untuk aku menyelesaikan permasalahan yang melanda. Kegembiraan yang seketika semestinya dinikmati sebaiknya sebelum menyelak permasalahan baru yang memburu.

Bukan tiada kegembiraan dan kebahagiaan yang kekal namun ianya sering dicabar dengan muslihat dan nafsu diri yang tersilap langkah mengatur perjalanan. Kesempurnaan yang dicari tidak pasti dapat dicapai oleh tingkah laku yang malas dan leka dalam merungkai makna kehidupan. Kerajinan pula sering dibontoti kemalasan yang mengoda dan merayu agar tersimpang jauh dari landasan cita-cita.

Hari baru pada tahun baru ini, Jumaat 1 Januari 2010 adalah satu lembaran baru untuk aku menintakan lebih banyak warna kehidupan di atas kanvas yang sudah diwarnai pelbagai warna, cuma hari ini, aku menyelak ke lembaran baru agar dapat  aku menari bersama-sama dengan berus warna atas kanvas kehidupan.

Aku memandu mencari persimpangan yang benar untuk dibeloki. Papan-papan tanda di bahu jalan bukan sekadar menjadi rujukan untuk sampai ke destinasi perjalanan tetapi akal perlu mengetahui maksud papan-papan tanda dipacakkan. Apabila selesa dengan perjalanan ini, papan-papan tanda ini tidak akan dikerling kerana angkuh seolah pati tidak akan tersesat. Jangan lupa bahawa banyak pelanggaran berlaku pada jalan-jalan yang lazim kita lalui setiap hari. Papan-papan tanda ini bukan sekadar menunjuk arah bagi mereka yang terkial-kial mencari arah panduan dalam hidup. Ingatlah, pada yang mencipta papan tanda itu. Walau setiap hari memandang dan melihat tetapi dapatkah aku nampak sebab dan tujuan papan tanda itu di mukabumi ini?

Selamat Menempuh 365 hari lagi bagi edisi 2010!
Insya-Allah..