Memandu di lebuhraya tiga lorong adakala menyeronokkan, adakala ianya boleh membuat darah berderau. Mereka yang gemar memandu di lorong kiri ibarat mereka yang tenang dalam kehidupan. Memandu dengan kelajuan di bawah 60km/j, mengasyikkan bagi mereka. Mereka boleh melihat keindahan alam di kiri kanan atau di hadapan mereka. Aman damai harmaoni. Dalam kehidupan, mereka ini orang yang tenang, khayal menikmati kehidupan yang sederhana dan suka bersantai. Dalam keasyikkan memandu, adakala mereka terpaksa membontoti kenderaan berat yang lebih perlahan pemanduannya. Bukan juga kerana mereka ini pak sanggup tapi mereka lebih banyak kesabarannya. Begitu juga kehidupan, sekali-sekala pasti ada permasalahan yang menjadi halangan dan perlu dihadapi. Mereka sabar dan ada juga yang sanggup memperlahankan pemanduan membiarkan permasalahan itu menjauhkan diri. Tetapi tidak semua manusia itu sama sikapnya, jari di tangan juga tidak sama panjangnya walau pada tangan yang satu.
Mereka yang punyai kesabaran yang tipis, pastinya menukar gear dan memecut laju. Sikap ini juga boleh menimbulkan isu. Mereka yang berjaya mengatasi masalah, akan kembali memandu perlahan di lorong kiri, meneruskan perjalanan. Ada juga mereka yang seakan bangga dengan kepantasan merungkai masalah lalu lupa pada diri. Terus memandu di lorong tengah dengan sedikit kelajuan tinggi kepada 80km/j. Mereka suka pada kelajuan tetapi mula memandang kenderaan di kiri sebagai lembap, terlalu perlahan atau tidak suka pada cabaran hidup.
Mereka mula ada sedikit keangkuhan dan mula memandang cermin sisi kanan andai ada peluang untuk mencelah di lorong kanan pula. Segelintir mereka takut untuk ke kanan tetapi mula hendak menyelesaikan masalah dengan haluan atau cara berbeza. Kenderaan hadapan di lorong tengah juga adakala menimbulkan masalah, perlahannya sama seperti pemanduan lorong kiri tetapi tetap masih mahu memandu di lorong tengah. Mereka inilah yang dikatakan manusia bodoh sombong. Sombong kerana tidak dapat menilai keupayaan diri dan bila di tegur, mulalah hendak bertegang leher. Tidak mahu mengalah. Oleh itu, manusia tadi yang takut untuk memotong di kanan, mula memotong di kiri. Baginya, ada pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah walau ianya cara yang salah. Mereka inilah manusia yang suka menikam manusia lain dari belakang dan menyusahkan manusia lain.
Apabila mereka berasa terlalu hebat memijak kepala orang lain, tibalah masa mereka ini menguji kehebatan diri. Mula memberanikan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan mereka di lorong paling kanan; dengan kelajuan yang boleh membunuh tanpa disedari. Kelajuan mula meningkat ke 110km/j, kononnya kehebatan yang berhemah. Tanpa menoleh kiri lagi, mereka terus memecut laju. Mereka sudah jauh dari kehidupan lorong kiri. Berbatu jauhnya ditinggalkan dalam masa seminit! Lupa diri. Ya.. mereka inilah manusia yang lupa diri, yang khayal dengan kelajuan kehidupan. Tidak sesaat pun jarum meter turun di tolok kelajuan malah jika boleh mahu meningkatkan kelajuan. Mereka mula tamak dengan angka-angka yang selebihnya.
Selagi mereka memandu selesa dengan kelajuan tanpa gangguan, mereka jadi lupa, lupa pada asal-usul yang mereka datang dari lorong kiri. Tiada lagi kenikmatan hidup yang dulu ada di kiri kanan untuk diluangkan masa menikmatinya. Sekarang mereka terlalu mengejar yang di hadapan. Disebabkan sikap yang angkuh itu masih tebal, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memotong di laluan kiri semula dengan kelajuan tanpa mempedulikan manusia-manusia lain yang sama bergegas menuju destinasi dengan cara mereka masing-masing. Terasa papan tanda yang jauh di hadapan terlalu lambat untuk dipintas. Mulalah pedal minyak di tekan, memaksa omboh-omboh enjin bekerja keras membakar minyak untuk mereka bisa memecut lebih cepat ke hadapan.
Tidak mengapa petrolnya cepat habis, asalkan kepuasan dapat dilampiaskan di hati yang lama berbuku. Tetapi dalam kelajuan mereka mengejar, tiba-tiba ada pancaran cahaya dari belakang. Tergamam! Mula memandang cermin belakang dan sebolehnya mahu lagi melajukan kenderaan kehidupan, tidak mahu mengalah untuk mara. Tidak semua manusia mampu melarikan diri, sedar bahawa ada manusia yang lebih hebatnya setelah berkali-kali pancaran cahaya dari belakang menyilaukan mata, menyakitkan hati. Dalam ketidakpuashatian bergumpal hitam dengan kesumat, terpaksa, dipaksa kembali ke lorong tengah. Terasa sedikit kemengahan berlumba di arena kehidupan yang dirasakan hebat tanpa mengetahui sesungguhnya ada manusia lain yang lebih hebat. Sebenarnya, mereka ini tidak faham, tidak akan ada satu manusia pun yang boleh kekal hebat dalam perlumbaan kehidupan ini. Erti kata lain, tiada pemandu yang boleh kekal memandu di lorong kanan sepanjang perjalanan kehidupannya.
salam,
ReplyDeleteteruskan berlari
selagi mampu, asalkan sedar diri...