Halaman

Wednesday, December 16, 2009

25 saat.

Menyusuri kehidupan 38 tahun lamanya dengan perlbagai kesenangan dan kesukaran duniawi dan pada hari bertarikh 12 Disember 2009, dia antara sahabat baik aku; Rozaini aka Jai telah menemui satu lagi titik perubahan dalam hidupnya. Dengan perkenalan selama setahun dengan gadis manis, Siti Nur Ayuni membuka pandangan kehidupan Jai untuk berumahtangga.


Di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam berhimpun para saksi, ahli keluarga dan dinikahkan sendiri oleh wali bapa pengantin perempuan tepat jam 12:15 tengahari dengan satu lafaz.





Sah!


Situasi 25 saat yang biasanya mendebarkan oleh bakal suami berhari-hari, mungkin berminggu-minggu sebelumnya. Detik terakhir 25 saat ini juga boleh menitiskan airmata kebahagiaan buat seorang isteri.


Demi 25 saat, seorang teruna berhijrah menjadi seorang suami, bersamanya turut disertai tanggungjawab dan amanah. Berubahlah hak seorang gadis yang dinikahkan selepas 25 saat ini daripada ibubapa tersayang kepada seorang suami tercinta.


25 saat ini juga menjadikan seorang lelaki sebagai pemimpin agung, imam pada ahli keluarganya.


25 saat ini juga menjadikan yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram antara mereka berdua sepertimana yang dituntut dalam Islam.


Harus beringat, walau 25 saat itu menjadikan lelaki berkuasa kepada seorang wanita bergelar isteri tetapi sebagai anak lelaki tetap tidak punya kuasa pada seorang lagi wanita yang kau panggil ibu!


Isteri semestinya bersedia untuk menjaga segalanya, taat dan setia, memelihara kehormatan diri sendiri dan suami dan tidak mengendahkan tanggungjawab isteri kepada suami tercinta kerana lelaki punya seribu satu alasan untuk melalui 25 saat itu sekali lagi...
dan lagi.. dan lagi...


















Tahniah!
...Selamat Pengantin Baru...

Thursday, December 10, 2009

Siapa kawan...

Sememangnya orang berkata, 'Jangan menilai buku dengan hanya melihat kulitnya'. Ungkapan ini terasa seperti untuk tidak berprasangka buruk tentang sesuatu. Kebiasaannya, apa jua jenis naskhah bercetak mempunyai maklumat dan pengetahuan samada diperlukan atau tidak oleh seseorang itu. Tidak juga semua pengetahuan itu boleh kita adaptasi dalam kehidupan kita. Kita gelarkannya pengetahuan am. Kita tahu sesuatu itu tetapi kita tidak mengambil peduli sangat kerana ianya sekadar perlu ada. Begitu juga sikap kita pada sesetengah kawan, asal berkawan. Ambil nama berkawan bahkan ada antara kita yang tidak mengetahui nama penuh seorang kawan dengan ejaan yang betul atau bin atau bintinya. Ada juga kawan yang kita sekadar mengagak negeri kelahirannya berdasarkan loghat percakapannya atau dari sembang pengalamannya.

Dalam diri seorang kawan itu ada pelbagai sikapnya yang adakala kita terpedaya. Hanya yang punya diri sahaja yang tahu mengapa kawan itu tidak menjadi dirinya apabila berhadapan dengan kita. Betul, ada kawan yang menjadi dirinya sendiri bila berada dalam satu kelompok tetapi tidak apabila berada di kalangan kawan-kawan yang lain. Adakah kawan ini mempunyai dua personaliti yang berbeza? Atau adakah kita sahaja yang berprasangka yang kawan kita itu berkelakuan begitu?

Kebiasaannya, bila kita mendengar berita yang kawan kita melakukan sesuatu yang salah atau sesuatu hal yang tidak terbayang oleh kita bahawa kawan itu mampu melakukannya, pasti akan timbul persoalan dalam diri kita. Tercetus soalan, "Eh, tak sangka dia macam tu ea?" Itu seandainya kawan kita melakukan kesalahan. Bila berlaku sebaliknya, kawan kita mengecapi kejayaan tercetus pula persoalan lain. Samada kita iri hati atau bangga dengan kejayaannya. Lumrah bukan? Itu juga berkaitan dengan betapa rapat pula kita dengan kawan kita itu. Beringat juga, adakala kejayaan itu datang dengan menindas kepala kawan-kawan yang lain.

Mereka yang positif dalam berkawan kebiasaan disenangi oleh semua orang. Semua orang merasakan ketidakhadiran kawan itu dalam sesuatu majlis atau suasana, serasanya tidak lengkap. Rasanya seperti tidak puas tidak dapat berkongsi dengan kawan itu secara langsung. Malah tidak sabar untuk menceritakan segalanya padanya. Itu apa yang kita fikir dan kita anggap padanya. Tetapi adakah dia beranggapan yang sama tentang kita?



Apakah yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk kita mengetahui bahawa kawan kita benar-benar menjadi dirinya bila bersama dengan kita? Keikhlasan, kejujuran atau kepercayaan? Siapa pula yang boleh menilai atau mengukur keikhlasan, kejujuran atau kepercayaan seseorang itu? Bagaimanakah caranya?

Laut yang tenang amat mendamaikan perasaan, itu metafora yang sering diperkatakan. Ada juga yang tidak lupa bila laut bergelora boleh memusnahkan. Dalam berhati-hati, dalam was-was, kawan akan tetap mengambil kesempatan atas kawan. Antara kita sedar atau kita merelakan kesempatan diambil terhadap diri kita. Selagi tidak menyusahkan.

Adakala kita tahu, kononnya amat tahu luar dalam perangai kawan kita ini? Berkait pula dengan perumpamaan 'Air yang tenang jangan disangka tiada buaya', terasa seperti kita perlu berhati-hati dengan situasi yang menyenangkan atau sesuatu yang kelihatan baik.

Friday, December 4, 2009

Langkah kanan.

TERIMA KASIH
atas jemputan
Puan Nurmazlina Binti Halim
Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam
Kementerian Luar Negeri Malaysia
ke
MALAM PENGHARGAAN MEDIA 2009
Kementerian Luar Negeri Malaysia
di
Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur
Disember 3, 2009



* Louise the Maestro = marvellous!

Wednesday, December 2, 2009

Lebuhraya kehidupan.

Memandu di lebuhraya tiga lorong adakala menyeronokkan, adakala ianya boleh membuat darah berderau. Mereka yang gemar memandu di lorong kiri ibarat mereka yang tenang dalam kehidupan. Memandu dengan kelajuan di bawah 60km/j, mengasyikkan bagi mereka. Mereka boleh melihat keindahan alam di kiri kanan atau di hadapan mereka. Aman damai harmaoni. Dalam kehidupan, mereka ini orang yang tenang, khayal menikmati kehidupan yang sederhana dan suka bersantai. Dalam keasyikkan memandu, adakala mereka terpaksa membontoti kenderaan berat yang lebih perlahan pemanduannya. Bukan juga kerana mereka ini pak sanggup tapi mereka lebih banyak kesabarannya. Begitu juga kehidupan, sekali-sekala pasti ada permasalahan yang menjadi halangan dan perlu dihadapi. Mereka sabar dan ada juga yang sanggup memperlahankan pemanduan membiarkan permasalahan itu menjauhkan diri. Tetapi tidak semua manusia itu sama sikapnya, jari di tangan juga tidak sama panjangnya walau pada tangan yang satu.

Mereka yang punyai kesabaran yang tipis, pastinya menukar gear dan memecut laju. Sikap ini juga boleh menimbulkan isu. Mereka yang berjaya mengatasi masalah, akan kembali memandu perlahan di lorong kiri, meneruskan perjalanan. Ada juga mereka yang seakan bangga dengan kepantasan merungkai masalah lalu lupa pada diri. Terus memandu di lorong tengah dengan sedikit kelajuan tinggi kepada 80km/j. Mereka suka pada kelajuan tetapi mula memandang kenderaan di kiri sebagai lembap, terlalu perlahan atau tidak suka pada cabaran hidup.

Mereka mula ada sedikit keangkuhan dan mula memandang cermin sisi kanan andai ada peluang untuk mencelah di lorong kanan pula. Segelintir mereka takut untuk ke kanan tetapi mula hendak menyelesaikan masalah dengan haluan atau cara berbeza. Kenderaan hadapan di lorong tengah juga adakala menimbulkan masalah, perlahannya sama seperti pemanduan lorong kiri tetapi tetap masih mahu memandu di lorong tengah. Mereka inilah yang dikatakan manusia bodoh sombong. Sombong kerana tidak dapat menilai keupayaan diri dan bila di tegur, mulalah hendak bertegang leher. Tidak mahu mengalah. Oleh itu, manusia tadi yang takut untuk memotong di kanan, mula memotong di kiri. Baginya, ada pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah walau ianya cara yang salah. Mereka inilah manusia yang suka menikam manusia lain dari belakang dan menyusahkan manusia lain.

Apabila mereka berasa terlalu hebat memijak kepala orang lain, tibalah masa mereka ini menguji kehebatan diri. Mula memberanikan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan mereka di lorong paling kanan; dengan kelajuan yang boleh membunuh tanpa disedari. Kelajuan mula meningkat ke 110km/j, kononnya kehebatan yang berhemah. Tanpa menoleh kiri lagi, mereka terus memecut laju. Mereka sudah jauh dari kehidupan lorong kiri. Berbatu jauhnya ditinggalkan dalam masa seminit! Lupa diri. Ya.. mereka inilah manusia yang lupa diri, yang khayal dengan kelajuan kehidupan. Tidak sesaat pun jarum meter turun di tolok kelajuan malah jika boleh mahu meningkatkan kelajuan. Mereka mula tamak dengan angka-angka yang selebihnya.

Selagi mereka memandu selesa dengan kelajuan tanpa gangguan, mereka jadi lupa, lupa pada asal-usul yang mereka datang dari lorong kiri. Tiada lagi kenikmatan hidup yang dulu ada di kiri kanan untuk diluangkan masa menikmatinya. Sekarang mereka terlalu mengejar yang di hadapan. Disebabkan sikap yang angkuh itu masih tebal, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memotong di laluan kiri semula dengan kelajuan tanpa mempedulikan manusia-manusia lain yang sama bergegas menuju destinasi dengan cara mereka masing-masing. Terasa papan tanda yang jauh di hadapan terlalu lambat untuk dipintas. Mulalah pedal minyak di tekan, memaksa omboh-omboh enjin bekerja keras membakar minyak untuk mereka bisa memecut lebih cepat ke hadapan.

Tidak mengapa petrolnya cepat habis, asalkan kepuasan dapat dilampiaskan di hati yang lama berbuku. Tetapi dalam kelajuan mereka mengejar, tiba-tiba ada pancaran cahaya dari belakang. Tergamam! Mula memandang cermin belakang dan sebolehnya mahu lagi melajukan kenderaan kehidupan, tidak mahu mengalah untuk mara. Tidak semua manusia mampu melarikan diri, sedar bahawa ada manusia yang lebih hebatnya setelah berkali-kali pancaran cahaya dari belakang menyilaukan mata, menyakitkan hati. Dalam ketidakpuashatian bergumpal hitam dengan kesumat, terpaksa, dipaksa kembali ke lorong tengah. Terasa sedikit kemengahan berlumba di arena kehidupan yang dirasakan hebat tanpa mengetahui sesungguhnya ada manusia lain yang lebih hebat. Sebenarnya, mereka ini tidak faham, tidak akan ada satu manusia pun yang boleh kekal hebat dalam perlumbaan kehidupan ini. Erti kata lain, tiada pemandu yang boleh kekal memandu di lorong kanan sepanjang perjalanan kehidupannya.