Gula naik harga?
Berapa pun harga gula sekilogram kini, pasti ianya telah
mengalami banyak peringkat kenaikan.
Kalau dahulu tahun 80an ada kenaikan harga, ianya tidak memberi apa-apa kesan
kepada kita kerana kita masih lagi leka bermain kejar-kejar. Kita hanya tahu memesan milo, sirap atau air
oren pada ibu kita. Ibu bapa kitalah yang menghadapnya, tenang dan tabah. Tika
itu, ya, kedai kopi sahajalah tempat meluahkan segala kekusutan bersama jiran
sekampung.
Sekarang giliran kita pula menghadapinya. Sebarang kenaikan
harga meliputi makanan asas dan keperluan asas, kita akan melihatnya seperti
batu yang begitu besar yang akan menghempap kita. Kelam kabut. Entah apa yang
dikelam-kabutnya pun tak tahulah. Bising! Selagi ada tempat yang boleh kita
coretkan atau kita luahkan, semua mesti diselitkan isu kenaikan harga. Ada
sahaja yang tidak puashati. Mula menuding mencari kesalahan orang lain.
Tapi jika ada sahaja teknologi Yahudi yang terkini, tidak
segan silu malah berlumba untuk memilikinya. Tidak boleh orang lain
mendapatkannya dulu. Kita tidak mahu ketinggalan! Kejayaan itu bukan kemewahan
dan bila kita mewah, segala barangan bukan lagi keperluan tetapi telah menjadi
aksesori. Tapi gula atau petrol mengalami kenaikan harga, kita bising! Mengapa?
Sebab – Ya, sebab gula atau petrol kita kena beli. Kena
keluar duit. Sepertinya membeli barangan yang tidak berfaedah sebab kita tidak
nampak faedah secara langsung pada diri kita. Jika kita membeli telefon bimbit
atau ‘smart tv’ yang harganya beribu ringgit, tidak mengapa. Alasannya – Kena keluar
duit sekali sahaja, tahannya bertahun. Faedahnya, reputasi kehidupan mereka
akan dipandang tinggi. Jadi tidak mengapa berbelanja ribuan ringgit untuk
memilikinya.
Sedangkan kenaikan harga gula yang berapa sen sudah dianggap
satu beban yang maha besar. Sedangkan penggunaannya untuk ahli keluarga
sendiri. Tidak pun untuk diri sendiri, sebagai pasangan bancuhan kopi. Suami
mana yang tidak menegur isteri jika kopi bancuhannya pahit walau isteri
menyerahkan cangkirnya dengan senyuman yang paling manis?
Akan ada pula segelintir kita yang bermastautin di bandar,
tanpa semena-mena mengenangkan nasib mereka di desa. Simpati. Seperti menangguk
di air yang keruh. Mereka bangkit menjadi pejuang. Tetapi tidak tahu hala tuju
perjuangan sebabnya ianya hanya untuk menonjolkan diri. Hanya menumbuk kosong
di udara! Alhamdulillah, masih ramai lagi yang sentiasa berjuang berbekalkan
iman. Kerana mereka tahu, usaha itu perancangan kita dan sentiasa bertawakal
padaNya kerana sesungguhnya tiada daya kita melainkan daya itu hanyalah
milikNya.