Awal Mansor bangun hari ini. Mendahului subuh. Mansor melekakan
waktu dengan bersiap dan menanti masuknya waktu. Dalam dirinya dia sudah
berkira-kira agar urusannya menjadi mudah hari ini. Dia mesti berusaha dan
bertawakal. Tiadalah daya baginya sesungguhnya segala daya itu hanyalah
milikNya. Namun hatinya amat teruja. Amat!
Dengan berkemeja biru muda berlengan panjang yang telah
digosok semalam lagi. Sepadan pula dengan tali leher biru muda bercorak
geometri biru gelap. Sengaja tali leher itu dibelinya untuk hari ini dan inilah
hari dia mengenakan tali leher semenjak tamat zaman pembelajaran, tujuh tahun
dahulu. Mansor menyesuaikan kemeja
birunya dengan berseluar hitam berjalur kelabu halus. Satu-satunya sepatu kulit
yang dimilikinya telah siap digilap kelmarin walau tidak bersinar kilat namun kelihatan
hitam menawan. Mansor bersedia.
“Selamat pagi,” Mansor menyapa lembut pada penyambut tetamu,
seorang gadis Tionghua di ruang legar pejabat yang besar lagi dingin. “Saya datang
untuk menghadiri temuduga,” sambung Mansor setelah salam selamat paginya
dibalas dengan fasih. Gadis itu menyerahkan sekeping borang dan mintanya diisi
dan Mansor diarah ke ruang menulis. Mansor memerhatikan sekeliling. Susun atur
dan hiasan dalaman pejabat itu amat menarik dan selesa. “Alangkah bagus jika
aku diterima bekerja di sini,” desis hati Mansor berharapan.
Selesai mengisi borang permohonan, Mansor meneliti dan menyemak semula
butir-butir yang telah diisinya. Gusar, gemuruh di hatinya akan menerbitkan
kesalahan dalam mengisi butiran yang perlu diketahui oleh bakal majikannya. Mansor
bangun dengan tertib seraya dia mendapatkan gadis Tionghua itu semula dan
menyerahkan borang permohonannya dengan senyuman. Senyuman Mansor berbalas. “Encik
Mansor boleh menunggu di sana,” gadis Tionghua itu bersuara sambil menunjukkan
arahnya dengan sopan.
Debar di hati Mansor belum lagi redanya. Bertambah debarnya apabila
melihat calon-calon lain bertrampilan hebat melangkah masuk dan melakukan
perkara yang sama seperti yang dia lakukan sebentar tadi. Namun Mansor mendamaikan
hatinya bahawa mereka itu tidak berebut jawatan yang sama kerana pastinya mereka
yang hebat-hebat ini berkelulusan ijazah dan ingin mengapai cita yang lebih
tinggi. Mansor hanya cuba berusaha untuk menjadi seorang lelaki yang memiliki pekerjaan
buat masa ini. Diploma yang dimilikinya tidak menjanjikan apa-apa hanya sebagai
bukti dia telah menerima sekelumit ilmu dalam bidang pengurusan.
Mansor akui, pengetahuan yang dimilikinya ibarat sebutir
buih di padang pasir. Mansor tidak pernah menghadapi dunia sebenar. Selama ini
dia hanya dalam dunianya sendiri dan dia berasa selamat begitu. Usahanya untuk
menginjak ke dunia sebenar telah ditolak mentah-mentah. “Mungkin aku terlalu
membuka diri semasa sesi perkenalan. Tidak sepatutnya aku lajak ke misi dan
visi diriku terburu-buru tanpa dipinta,” Mansor menganalisa tingkah lakunya
sebentar tadi.
Hati Mansor amat hampa. Amat! Tidak mampu dia melayani hatinya
yang lara. Pelbagai lintasan di hatinya menimbulkan keraguan. Keyakinannya
telah dicabar. Akalnya pula berjuang, berperang dengan hatinya. Mansor mohon
perlindungan kepadaNya dari segala keraguan di hatinya. Dia mengikut kata akal.
Rezeki itu di tanganNya bukan pada keputusan manusia yang sememangnya tidak
pernah puas dengan apa yang mereka miliki. “Aku sendiri tidak mampu memuaskan kemahuan
manusia lain namun biarlah aku berpuas hati dengan apa yang aku terima dan apa
yang aku miliki,” akal Mansor memutuskan.
Terasa sejuk di hujung jari telunjuk Mansor ketika menekan
butang lif di aras lapan Bangunan Wawasan itu.