Halaman

Saturday, July 12, 2014

Kekalkan Ramadhan sepanjang tahun.


Sudah tentunya kita amat menanti dan berbesar hati ketibaan Ramdhan yang penuh rahmat dan kita akan merinduinya bila tiba masanya berlalu. Ramai ustaz yang sering menyarankan kita bagaimana untuk mengekalkan ibadah dalam bulan Ramadhan yang berkunjung saban tahun. Sebagaimana Allah menurunkan Al-Quran pada bulan Ramadhan yang membawa berjuta kebaikan dan rahmat terutamanya pada malam Lailatul Qadar yang penuh rahsia kedatangannya di mana kita digalakkan untuk mencarinya.

Aku bukan ahli untuk membicara dan mengupas Ramadhan yang penuh rahmat ini. Cuma terlintas, bila memerhatikan keghairahan kita menyambut Ramadhan. Dari segi duniawi, ramai peniaga terutama peniaga-peniaga makanan menantikan rahmat bulan ini untuk mencari pendapatan lebih. Kerajaan melimpahkan kurnia kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan para penganjur untuk mengurus tadbir bazar Ramadhan.

Boleh dikatakan apabila Rejab memperlihatkan diri ramai peniaga yang sudah mula mengintai-intai peluang untuk memasuki pasaran bazar Ramadhan, tidak kurang juga usahawan pelapis yang ingin cuba beradu persaingan. Ke hulu ke hilir menjinjit, mempersiapkan dan mengemaskini segala dokumen yang perlu malah yang paling penting mendapatkan suntikan wajib Typhoid (TY2) bagi mereka yang telah melepasi tempoh 3 tahun dan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan pengendalian makanan.

Rata-rata, hampir separuh peniaga makanan atau minuman di bazar Ramadhan mempunyai perniagaan di premis lain seperti restoran, gerai, warong, pasar malam, hentian bas atau di medan selera. Bagi peniaga ini, ini adalah peluang untuk keemasan untuk meraih keuntungan dalam tempoh 4 jam berbeza di premis yang perlu diuruskan saban hari. Tetapi bagaimana dengan usahawan baru yang berpotensi agar dapat mengekalkan semangat juang niaga mereka dalam bidang masakan atau makanan ini? Yang bukan hanya berkobar-kobar di bulan Ramadhan dan mengutip sekelumit pengalaman.

Mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan bazar Ramadhan ini memerlukan peruntukkan modal yang agal tinggi untuk membeli perkakasan dan mencari pembekal, yang mana mungkin akan diambil kesempatan kerana kekurangan pengetahuan dan pengalaman dalam mencari kos yang paling minima selain dengan desakan masa yang hampir. Bila Syawal hadir, semua peralatan ini pasti akan terperosok di dalam stor atau mungkin hanya dikampungkan di belakang rumah berselimutkan kanvas. Insya-Allah, panjang umur tahun depan, kalian akan dipergunakan semula. Pasti dalam jangka waktu sebelas belas bulan dan tanpa penjagaan yang sepatutnya, kebarangkalian perkakas dan peralatan akan rosak juga adalah tinggi.

Bagaimana untuk mengekalkannya semangat juang dalam perniagaan ini?

Ya, mungkin kita tiada kuasa yang menentukan melainkan jika poket kita tebal dengan ringgit dan dolar. Pasti kesinambungan itu ada. Tapi bagaimana dengan peniaga yang benar adanya potensi untuk mengembangkan pasaran produk mereka yang sentiasa laris di bazar Ramadhan. Adakah ini akan membuatkan keunikkan bazar Ramadhan kerana hanya pada ketika inilah makanan atau minuman ini boleh didapati?

Aku amat berharap jika ada ketua kampung atau wakil rakyat malahan ahli Parlimen yang lebih berpengaruh yang lebih prihatin tentang permasalahan ini. Mereka mestilah boleh mengenal pasti potensi-potensi ini dari bazar Ramdhan. Mereka boleh mempelawa dan membantu para usahawan baru ini untuk melangkah lebih jauh. Yalah, setakat meniaga roti John sardin atau murtabak daging, takkan perlu buka bistro pulakan? Tapi mengapa pula tidak boleh? Asam laksa Ah Cheng di KL Festival atau di Avenue K mampu berbuat begitu, mengapa tidak pula pada roti John, murtabak atau kuih pelita?

Kumpulkan mereka ini. Wujudkan konsortium bagi produk yang sama. Berikan mereka pengetahuan dan selok-belok perniagaan. Dapatkan pakar-pakar membantu mereka atau wujudkan satu badan jawantankuasa pengurusan untuk memantu dan membantu serta memberikan penyediaan, pemasaran dan terutama sekali dalam hal-hal kewangan. Suntikkan mereka dengan modal yang berpatutan dan bayaran balik yang lebih fleksibel. Rasanya ini sudah ada! Kembangkan dengan integriti. Tempatkan mereka dalam kompleks membeli-belah, di hentian bas antara bandar atau di premis yang tersendiri dengan sewa premis yang minima, yang mana pembinaannya diluluskan oleh orang Melayu sendiri dan tempatkan orang Melayu sendiri dengan keistimewaan! Mudahnya, ambil sahaja modul Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) untuk melebarkan sayap para peniaga dari bazar Ramadhan. Kerahkan idea dan ilham para akitek, pakar hiasan dalaman dan landskap Melayu kita yang kaya dengan pengalaman dan inspirasi untuk membangunkan satu persekitaran perniagaan yang mungkin lebih hebat persekitarannya dari bazar Ramadhan!

Jika ini berhasil kelak, pastinya kita orang Melayu tidak perlu mengemis untuk memenuhi jalanan atau tempat letak kereta hanya untuk berniaga air tebu, untuk berniaga ayam percik atau berniaga nasi campur. Naikkan taraf produk jualan dan identiti peniaga Melayu kita. Ini juga dapat menyelesaikan kesesakan dan kemudahan tempat letak kereta sekaligus melenyapkan aduan dan rungutan daripada residen yang berdekatan kerana dicemari oleh asap, bunyi bising dan segala macam sampah-sarap. Maka itu, bolehlah peniaga Melayu kita kekal berniaga sepanjang tahun dengan ciri-ciri bazar Ramadhan dan persekitaran yang hebat serta moden!

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment