Halaman

Wednesday, October 30, 2013

Gula Kehidupan.


Gula naik harga?

Berapa pun harga gula sekilogram kini, pasti ianya telah mengalami  banyak peringkat kenaikan. Kalau dahulu tahun 80an ada kenaikan harga, ianya tidak memberi apa-apa kesan kepada kita kerana kita masih lagi leka bermain kejar-kejar.  Kita hanya tahu memesan milo, sirap atau air oren pada ibu kita. Ibu bapa kitalah yang menghadapnya, tenang dan tabah. Tika itu, ya, kedai kopi sahajalah tempat meluahkan segala kekusutan bersama jiran sekampung.

Sekarang giliran kita pula menghadapinya. Sebarang kenaikan harga meliputi makanan asas dan keperluan asas, kita akan melihatnya seperti batu yang begitu besar yang akan menghempap kita. Kelam kabut. Entah apa yang dikelam-kabutnya pun tak tahulah. Bising! Selagi ada tempat yang boleh kita coretkan atau kita luahkan, semua mesti diselitkan isu kenaikan harga. Ada sahaja yang tidak puashati. Mula menuding mencari kesalahan orang lain.

Tapi jika ada sahaja teknologi Yahudi yang terkini, tidak segan silu malah berlumba untuk memilikinya. Tidak boleh orang lain mendapatkannya dulu. Kita tidak mahu ketinggalan! Kejayaan itu bukan kemewahan dan bila kita mewah, segala barangan bukan lagi keperluan tetapi telah menjadi aksesori. Tapi gula atau petrol mengalami kenaikan harga, kita bising! Mengapa?

Sebab – Ya, sebab gula atau petrol kita kena beli. Kena keluar duit. Sepertinya membeli barangan yang tidak berfaedah sebab kita tidak nampak faedah secara langsung pada diri kita. Jika kita membeli telefon bimbit atau ‘smart tv’ yang harganya beribu ringgit, tidak mengapa. Alasannya – Kena keluar duit sekali sahaja, tahannya bertahun. Faedahnya, reputasi kehidupan mereka akan dipandang tinggi. Jadi tidak mengapa berbelanja ribuan ringgit untuk memilikinya.


Sedangkan kenaikan harga gula yang berapa sen sudah dianggap satu beban yang maha besar. Sedangkan penggunaannya untuk ahli keluarga sendiri. Tidak pun untuk diri sendiri, sebagai pasangan bancuhan kopi. Suami mana yang tidak menegur isteri jika kopi bancuhannya pahit walau isteri menyerahkan cangkirnya dengan senyuman yang paling manis?

Akan ada pula segelintir kita yang bermastautin di bandar, tanpa semena-mena mengenangkan nasib mereka di desa. Simpati. Seperti menangguk di air yang keruh. Mereka bangkit menjadi pejuang. Tetapi tidak tahu hala tuju perjuangan sebabnya ianya hanya untuk menonjolkan diri. Hanya menumbuk kosong di udara! Alhamdulillah, masih ramai lagi yang sentiasa berjuang berbekalkan iman. Kerana mereka tahu, usaha itu perancangan kita dan sentiasa bertawakal padaNya kerana sesungguhnya tiada daya kita melainkan daya itu hanyalah milikNya.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment