Halaman

Thursday, September 26, 2013

Langgar lari.

Aku membontoti barisan kereta menanti lampu isyarat bertukar hijau berhampiran hospital Gleneagle. Aku perasan sebuah motosikal berada amat hampir di sisi kiri kereta aku dihimpit oleh sebuah kereta lain. Tika lampu bertukar hijau aku beranjak ke kanan sedikit untuk memberi ruang penunggang motosikal berlalu.

Aku memerhatikan melalui cermin pandang belakang kereta, penunggang motosikal seperti memarahi pemandu kereta yang menghimpitnya sebentar tadi. Aku membiarkan sahaja situasi itu. Namun pemandu kereta itu membunyikan hon keretanya dua kali untuk menarik perhatian penunggang motorsikal tersebut. Perhatianku juga tertarik. Sekali lagi aku menjengah melalui cermin pandang belakang. Kelihatan mereka seperti bercakap sesuatu. Aku memberi lebih perhatian kerana aku telah memberhentikan kereta dalam barisan kereta yang menantikan lampu isyarat bertukar hijau di persimpangan Jalan Ampang ke Jalan Jelatek.

Penunggang motosikal kelihatan tenang lalu mendahului kereta tersebut. Tiba-tiba kereta tadi melajukan pecutan dan melanggar penunggang motosikal itu dengan bahagian depan kirinya. Jelas penglihatan aku menyaksikan pelanggaran tersebut dan dapat melihat bagaimana penunggang beserta pembonceng jatuh terheret di atas jalan raya berhadapan bangunan Great Easten. Agaknya puaslah hati pemandu tersebut kerana dapat melampiaskan dendam amarahnya kepada penunggang tersebut yang berani menegurnya.

Aku mencatitkan nombor pendaftaran kereta tersebut yang terus memecut pergi. Namun aku masih sempat lagi memerhatikan penunggang yang dilanggar itu sempat memberitahu penunggang motorsikal yang lain agar mengejar kereta tersebut. Aku lihat dia masih lagi boleh berdiri. Mujurlah tiada yang parah. Orang awam, kebanyakkannya penunggang motosikal, segera membantu mangsa dan mengalihkan motorsikal yang terbabit dalam pelanggaran ke bahu jalan.

Aku menjenguk di bahagian persimpangan sekiranya ada pegawai trafik yang mengawal lalulintas seperti kebiasaannya. Malangnya tiada pula pada waktu ini. Aku membuat keputusan untuk melaporkan kejadian pelanggaran ini lalu aku mendail 999 dan ingin melaporkan kejadian langgar lari. Aku menjeling ke arah jam pada radio kereta, jam 1602. Aku terpempan sebentar bila suara operator yang menyambut panggilanku menyatakan nama sebenar aku. Hebat! Aku memberitahu kecemasanku apabila ditanya. Kemudian panggilanku disambungkan kepada pihak polis. Aku melaporkan secara ringkas tentang pelanggaran tersebut.

Selepas membelok ke arah Jalan Jelatek, aku memberhentikan kereta di tepi jalan dan pergi mendapatkan mangsa, seorang lelaki muda dan pemboncengnya seorang gadis. Aku lihat terdapat luka-luka kecil dengan darah yang merah segar di lengan kanannya dan beberapa luka yang merah berdarah di bahagian penumbuk tangan kirinya. Beberapa kesan sagatan merobek kulit betis dan lengan kanannya. Badannya kelihatan dibasahi dengan peluh. Gadis pembonceng hanya mengaduh kesakitan. Aku tidak memerhatikannya. Orang awam mengelilingi mangsa. Beberapa penunggang motosikal yang ingin mengetahui kejadian itu, turut berhenti bertanya cerita.

Mangsa dinasihatkan untuk ke klinik dahulu sebelum membuat laporan polis. Dari percakapan mereka, aku mendapat tahu bahawa kereta yang melanggar mereka adalah model Alza berwarna perak. Semasa melaporkan kejadian melalui telefon tadi, aku hanya memberitahu nombor pendaftaran kereta, warna dan bentuk fizikal kereta kerana tidak sempat mengecam model kereta. Aku menyerahkan kertas yang tercatit nombor kereta tersebut kepada mangsa. Mangsa memberitahu aku bahawa dia sedang menghantar kawan perempuannya untuk bekerja di Wangsa Walk. Aku menunggu beberapa ketika di kawasan kejadian sebelum berlalu pergi.

Dua puluh minit kemudian, aku menerima satu panggilan. Seorang lelaki bertanyakan kembali tentang kejadian yang aku laporkan sebentar tadi. Aku memberi keterangan melalui telefon dan menjelaskan keadaan mangsa dan punca kejadian.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment