Halaman

Monday, January 16, 2012

Semangkuk kari ikan senangin.



Pada pandangan kita, apalah sukarnya menceduk kuah dari semangkuk kari ke pinggan yang penuh berisi nasi putih yang panas. Sememangnya kita berselera menikmati kuah kari itu sendiri. Dalam pada masa yang sama, dalam semangkuk masakan kari itu juga mengandungi bendi, terung, cili hijau, hirisan bawang dan semestinya potongan ikan atau ayam atau daging lembu ataupun daging kambing. Dalam usaha untuk mengambil kuah kari itu sendiri kita boleh perhatikan sikap kita dalam kehidupan.



Untuk menikmati kelazatan hidup, ada antara kita yang akan mengenepikan bendi atau terung dan hanya menceduk kuah. Mereka hanya mengenepikan halangan untuk menuju satu matlamat tanpa mempedulikan apa-apa pun selain hanya untuk menggapai kejayaan. Tiada masalah, mudah. Bagi segelintir manusia lain, seleranya berbeza.

Untuk menceduk kuah kari itu, mereka sertakan juga bendi atau terung tadi. Ada juga yang mengambil cili hijau terlebih dahulu ke pinggan. Mereka ini lebih suka mengharungi dan berdepan dengan halangan yang menjadikan hidup ini lebih mencabar untuk menikmati kejayaan. Setelah bendi atau terung dan cili hijau berada di atas nasi putih, barulah mereka selesa menceduk kuah tanpa halangan. Lalu digauli kuah bersama nasi, disantap bersama bendi atau terung dan berulamkan cili hijau. Lazatnya selera meneruskan kehidupan ini.

Selain adab di meja makan walau kita makan bersendirian atau bersama ahli keluarga atau sahabat handai pastinya kita menggunakan sudu untuk tujuan ini. Ini mempamerkan bahawa kita pastinya memerlukan pertolongan orang lain dalam kehidupan kita. Andai kita melihat orang lain mengambil bendi atau terung itu dengan tangan, bukanlah kita hendak melihat mereka ini tidak bersopan di meja makan. Kaitkan mereka ini dengan kehidupan mereka. Bukan kita katakan mereka tidak memerlukan pertolongan orang lain dalam hidupnya tetapi mereka ini sebenarnya telah lali dengan halangan kehidupan. Mereka tidak gusar menggunakan tangan mereka sendiri untuk menangani kesulitan hidup.

Akhirnya, mereka juga pasti menggunakan sudu untuk meceduk kuah itu sendiri. Ini menunjukkan mereka tetap akan berkongsi kegembiraan mereka bersama orang lain. Andai kita melihat mereka sewenangnya mencurahkan kuah kari itu dari mangkuk terus ke pinggan, itu kerana mereka bangga dengan kejayaan mereka dan inginkan perhatian!

blog

No comments:

Post a Comment