Halaman

Wednesday, August 4, 2010

Warkah daripada Ju.

2 Ogos 2010

Ju
Keramat Permai,
Kuala Lumpur.

Ke hadapan abangku tersayang, Ki.

Kita tidak sempat untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum ini. Pertemuan yang diatur oleh mereka mulanya amat meresahkan hati Ju. Gusar kerana apa yang selama ini Ju rahsiakan pasti akan terbongkar pada pertemuan itu nanti. Ju berdoa agar abang benar-benar dapat menerima Ju seadanya walau Ju tidak mengharapkan apatah lagi sekelumit cinta dari abang. Memandangkan cinta kasih sayang Ju telah dikhianiati oleh teman istimewa Ju.

Abang Ki yang dihormati,

Sememangnya Ju tidak mengingati tarikh kita dipertemukan namun pada pandangan pertama Ju pada riak wajah abang, abang mempamerkann diri abang sebagai yang amat garang dan mementingkan diri sendiri. Tidak terlukis pun selarik senyuman dari bibir abang ketika itu. Hati Ju tetap berdoa agar abang sudi menerima Ju seperti yang telah abang ketahui. Pastinya secara lahiriah, abang sudah bisa menghidu masalah yang Ju alamii. Perut Ju telah membusung. Ju berserah. Ju tahu, abang kecewa dengan pertemuan yang mungkin indah khabar dari rupa, tidak seperti yang abang impikan. Keindahan itu tidak seindah nama Ju sendiri. Ju pasrah kerana terlalu bebas menikmati hidup ini tanpa batasan.

Abang,

Pada satu ketika pada pertemuan itu, terasa Ju berada di awangan bila mendengar patah butir bicara dari abang. Ju tidak akan lupakan kalimat yang abang tuturkan. “Ju, kita ditakdirkan bersama bukan kerana kemahuan kita tetapi jodoh ini akan saya pelihara dan belai sepenuh kasih sayang kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk kita berdua”. Ju kelu. Amat.

Ju hanya mampu memandang ke dalam mata abang yang penuh dengan sinar bahagia tanpa linangan airmata kegembiraan Ju kerana airmata Ju telah kontang dalam perigi kekecewaan. Terasa kebahagiaan itu sedang abang alirkan dari pandangan mata abang yang ikhlas. Ju tidak akan menagih tutur yang telah abang lafazkan, cukup… cukup dengan kesudian abang untuk menerima Ju. Itu amat bermakna buat Ju. Amat.

Abang Ki yang disanjungi,

Dalam menanti hari, abang tidak pernah berenggang menjaga diri Ju. Abang menjaga Ju seperti abang menanti kelahiran anak sulung dari darah daging abang sendiri. Ju bahagia dalam pelukan abang namun jauh di sudut hati Ju, terasa Ju terlalu kerdil dalam kehidupan abang. Dengan gurau senda abang, kegusaran itu lenyap dengan perlahan. Kasih sayang abang mencambahkan kekuatan dalam diri Ju untuk menghadapi dunia ini sentiasa disisi abang.

Abang,

Pada hari kelahiran itu, abanglah yang paling sibuk menguruskan segalanya. Abang memberi ruang pada Ju beristirehat. Menghilangkan segala lelah kelahiran. Makan minum Ju abang aturkan dengan baik. Walau kelahiran itu menghadapi masalah. Namun segalanya abang harungi, seperti tiada apa yang dapat merintang. Kebahagiaan yang kita kecapi akhirnya menemui dugaan. Tuhan amat menyayangi dia sebelum dapat kita mencurahkan segala kasih sayang kita. Tujuh hari yang penuh dengan kasih sayang yang abang berikan diragut dalam sekelip mata tanpa sesiapa pun menduga. Ju tahu ada garit kekecewaan dalam hati, abang bijak benar menyembunyikan dengan kata-kata tetapi abang tidak boleh berbohong dengan nada suara abang sendiri. Nada abang terlalu dalam, terlalu perit untuk abang luahkan. Maafkan Ju kerana palitkan lumpur pada diri abang.

Abang Ki kusayang,

Semua itu telah berlalu dan menjadi sejarah untuk dikenang walaupun pahit ada manis jua di dalamnya. Di dalam nikmat ada jua bala di dalamnya. Telah kita harungi bersama dan tidak berganjak pun sedikit kasih sayang abang pada Ju selama ini. Ju amat merasakan bahawa ini bukan tuah semata-mata kerana Ju tahu, Tuhan itu Maha Penyayang cuma sebelum ini Ju lalai padaNya. Syukur abang memperolehi setitik penyayang dariNya dan abang curahkan pada Ju. Tertanya juga di dalam hati Ju mengapa tidak Dia mempertemukan abang dengan Ju sebelum ini, waktu Ju baru belajar dengan noda. Namun Ju ada jawapannya. Jawapannya semua hadir satu persatu dari tutur bicara abang bila abang berfalsafah mengenai kehidupan ini. Ju amat bersyukur padaNya dan juga berterima kasih kepada abang. Terima kasih sayang.

Abang,

Warkah ini dititipkan buat abang kerana Ju tidak sabar untuk menanti dan menghitung hari kepulangan abang ke pangkuan Ju. Ju relakan kejauhan ini demi tanggungjawab abang. Ju tidak mahu mempertikaikan tanggungjawab abang yang selama ini abang galas penuh disiplin. Ju boleh menghidu kegusaran abang yang terpaksa meninggalkan Ju yang dalam menanti hari kelahiran. Lenyapkanlah kegusaran abang itu dengan berita gembira ini, Ju telah selamat dengan kelahiran kali ini. Kebahagiaan Ju tidak dapat dikongsi dengan kata-kata dengan abang tika ini. Tidak termampu untuk Ju loretkan kebahagiaan itu di dada warkah ini. Ju amat bahagia. Amat.

Abang Ki yang kucintai,

Tataplah gambar-gambar kebahagiaan ini dan sebarkanlah kebahagiaan abang ke seluruh dunia!



Dari Ju yang sentiasa mencintai abang selamanya…



Anak-anak kita 7 beradik. Berumur sehari.

Abang lihatlah mereka yang lahap menyusu. Tetap berdisiplin seperti abang.

Ketiadaan abang, JuJu baik dalam peliharaan.


Buat pengubat rindu JuJu. Abang KiKi kusayang!




1 comment:

  1. hahahaha... lawak, lawak..

    cute sey kucing nyer... hohoho

    btw, klu nak order cekelat, mohlah ke belog saya... sedapp.. hohohoho

    ReplyDelete