Halaman

Sunday, August 22, 2010

Kain ela murah.

Memerlukan duit?

Bekerja, berurusan dan bekhidmat. Perolehi gaji di hujung bulan. Itulah duit. Membayar segala penggunaan. Menghapuskan hutang di pinggang. Menyambung kelangsungan hidup. Lumrah manusia. Ada yang gemar. Membanting tulang empat kerat. Berkeringat di bawah matahari. Membiarkan kulit berbahang terik. Dingin dengan aliran peluh yang disapa bayu. Mencari duit sehalalnya.

Berurusniaga jual beli. Keuntungan diraih. Rugi dielak. Timbangan jangan ditipu. Jangan menjual ikan di laut. Biarpun bermodal air liur. Ikhlas itu rahsianya. Waspada pada janji. Syaitan menanti untuk dimungkiri.

Mencari duit. Untuk diri sendiri. Untuk mereka yang tersayang. Untuk melaksanakan tanggungjawab atau membantu pendapatan. Memberi keselesaan pada kehidupan. Bukan membahagiakan. Cuma bisa buat senyum meleret. Bila poket berkepuk dengan kertas. Kertas yang punya harga diri.

Lapan jam bekerja. Dicari lagi ruang waktu yang bersisa. Bengkak mata tidak mengapa. Letih lesu tiada apa. Tanda usaha wartanya. Merungut tidak tercakup waktu yang ada. Tiap minit benar emas dianggapnya. Hingga lalai mohon kesempatan masa sujud padaNya. Tapi mohon masa sempat mengejar duit, kiranya.

Bertimbun mengunung. Nasi bersuap sepinggan juga. Harapnya, makin panjang dipanjatkan syukur. Dilimpahi rahmat dan berkat. Zakat dan sedekah satu kelaziman. Menjadikan tangan berada di atas. Kerana ada hak yang lain pada kita.

Jangan hanya huluran semata. Bukan sandaran membina nama. Pimpinlah mereka mendaki bersama. Menggerakkan akal untuk berputar. Bukan sebagai putar alam atau putar belit. Seka keringat memercik di dahi. Agar mereka lebih menghargai. Setitik yang menitik di buminya. Hanya Dia yang membalasnya.

Gudang di darat, kapal di laut. Termuat muatan bertukar menjadi duit. Asal barang menjadi duit. Falsafah jalanan digenggamnya. Kering hatinya pada penderitaan yang ditindas. Hitam sahaja warna hidupnya. Berbahak ketawa bertemankan syaitan bertanduk sembilan.

Ada yang lalai dan leka. Diri diperhamba dengan sengaja. Matahari dan bulan adalah sama. Kasih sayang dan rahmat. Lenyap di awangan waktu. Nipis dan ringan. Bila nyawa di penghujung kerongkong. Mata meliar dada berombak. Rusuh pintu taubat tertutup. Atau gusar duit yang ditinggalkan. Akibat tamak dan bakhil. Material jadi junjungan. Kekayaan menjadi kiblat. Duit dijadikan tuhan.

                                                                Gambar sekadar hiasan.

Bila malaikat maut datang berkunjung. Tiada sesen boleh dibayar untuk melengahkan. Masa tiada harganya. Laksanalah takdir tertulis. Berkapanlah dengan kain putih. Kain putih yang tidak berjahit tepi. Berharga cuma dua ringgit lapan puluh sen seela tiga inci. Itulah duit yang dikebumikan bersama.

Masih memerlukan banyak duit?


No comments:

Post a Comment