Halaman

Thursday, December 10, 2009

Siapa kawan...

Sememangnya orang berkata, 'Jangan menilai buku dengan hanya melihat kulitnya'. Ungkapan ini terasa seperti untuk tidak berprasangka buruk tentang sesuatu. Kebiasaannya, apa jua jenis naskhah bercetak mempunyai maklumat dan pengetahuan samada diperlukan atau tidak oleh seseorang itu. Tidak juga semua pengetahuan itu boleh kita adaptasi dalam kehidupan kita. Kita gelarkannya pengetahuan am. Kita tahu sesuatu itu tetapi kita tidak mengambil peduli sangat kerana ianya sekadar perlu ada. Begitu juga sikap kita pada sesetengah kawan, asal berkawan. Ambil nama berkawan bahkan ada antara kita yang tidak mengetahui nama penuh seorang kawan dengan ejaan yang betul atau bin atau bintinya. Ada juga kawan yang kita sekadar mengagak negeri kelahirannya berdasarkan loghat percakapannya atau dari sembang pengalamannya.

Dalam diri seorang kawan itu ada pelbagai sikapnya yang adakala kita terpedaya. Hanya yang punya diri sahaja yang tahu mengapa kawan itu tidak menjadi dirinya apabila berhadapan dengan kita. Betul, ada kawan yang menjadi dirinya sendiri bila berada dalam satu kelompok tetapi tidak apabila berada di kalangan kawan-kawan yang lain. Adakah kawan ini mempunyai dua personaliti yang berbeza? Atau adakah kita sahaja yang berprasangka yang kawan kita itu berkelakuan begitu?

Kebiasaannya, bila kita mendengar berita yang kawan kita melakukan sesuatu yang salah atau sesuatu hal yang tidak terbayang oleh kita bahawa kawan itu mampu melakukannya, pasti akan timbul persoalan dalam diri kita. Tercetus soalan, "Eh, tak sangka dia macam tu ea?" Itu seandainya kawan kita melakukan kesalahan. Bila berlaku sebaliknya, kawan kita mengecapi kejayaan tercetus pula persoalan lain. Samada kita iri hati atau bangga dengan kejayaannya. Lumrah bukan? Itu juga berkaitan dengan betapa rapat pula kita dengan kawan kita itu. Beringat juga, adakala kejayaan itu datang dengan menindas kepala kawan-kawan yang lain.

Mereka yang positif dalam berkawan kebiasaan disenangi oleh semua orang. Semua orang merasakan ketidakhadiran kawan itu dalam sesuatu majlis atau suasana, serasanya tidak lengkap. Rasanya seperti tidak puas tidak dapat berkongsi dengan kawan itu secara langsung. Malah tidak sabar untuk menceritakan segalanya padanya. Itu apa yang kita fikir dan kita anggap padanya. Tetapi adakah dia beranggapan yang sama tentang kita?



Apakah yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk kita mengetahui bahawa kawan kita benar-benar menjadi dirinya bila bersama dengan kita? Keikhlasan, kejujuran atau kepercayaan? Siapa pula yang boleh menilai atau mengukur keikhlasan, kejujuran atau kepercayaan seseorang itu? Bagaimanakah caranya?

Laut yang tenang amat mendamaikan perasaan, itu metafora yang sering diperkatakan. Ada juga yang tidak lupa bila laut bergelora boleh memusnahkan. Dalam berhati-hati, dalam was-was, kawan akan tetap mengambil kesempatan atas kawan. Antara kita sedar atau kita merelakan kesempatan diambil terhadap diri kita. Selagi tidak menyusahkan.

Adakala kita tahu, kononnya amat tahu luar dalam perangai kawan kita ini? Berkait pula dengan perumpamaan 'Air yang tenang jangan disangka tiada buaya', terasa seperti kita perlu berhati-hati dengan situasi yang menyenangkan atau sesuatu yang kelihatan baik.

No comments:

Post a Comment