Halaman

Wednesday, October 14, 2009

Terjalin kembali.

Dalam masa aku meraba untuk membuat keputusan; memutuskan untuk membuat laser cut out atau aku sendiri yang kena buat secara manual untuk acrylic cut out letterings. Telefon bimbit aku berdering. Menyangka Radzi yang menelefon untuk memberi pandangan, berbincang untuk membuat satu keputusan bersama namun nombor panggilan yang tertera tidak kelihatan nama Radzi cuma nombor telefon yang tidak aku kenali. Aku menjawab.

Suaranya memang tidak aku kenali tetapi menyapa aku, Adek. Aku tahu dia seorang kawan, kawan yang semestinya rapat kerana memanggil aku nama itu. Malangnya aku tidak mengenalinya melalui suara. Bila dia memberitahu namanya, aku masih gagal mendapatkan bayangan. Aku bertanya, "Siapa ni?"

"Farid la, Farid... Maluri!

Barulah aku, "Hoi kau..! mana kau hilang? Berapa lama aku cari kau, ni nombor kau ke?" aku sedikit menjerit. "Apa lak mimpi kau tiba-tiba je telefon aku ni." Yelah.. hampir 4 tahun aku tidak bersua atau mendengar khabar beritanya, tiba-tiba pula dia menelefon.

Akhir sekali aku jumpa dia, sebulan selepas dia melangsungkan perkahwinan. Kini sudah punya anak dua! Aku mula bercerita tentang perkembangan kawan-kawan yang lain bila dia bertanya seorang demi seorang kawan. Dan aku pula menyoal dia ke mana dia menghilang selama ini. Seingat aku beberapa tahun yang lepas ada aku menghubunginya tapi nombor telefon tidak berjawab. Itulah kali terakhir aku cuba berhubung.

Kami berbual, bukan berbual lagi, bercerita. Bercerita tentang diri masing-masing. Lupa diri aku kejap yang aku berada dalam situasi untuk memutuskan satu keputusan.

Itulah kawan aku, Farid. Aku tidak pasti apa yang menggerakkan hatinya untuk menelefon aku setelah sekian lama. Sukacitanya, persahabatan kami dapat di teruskan setelah sekian lama masing-masing tidak mendengar berita antara kami. Nombor telefonnya segera aku simpan dalam memori telefon. Tiada istimewanya persahabatan kami, biasa sahaja selain kami bisa kutuk mengutuk antara kami dan kawan-kawan yang lain. Yang pasti kegembiraan itu ada bila menyangka persahabatan itu hilang begitu sahaja, kini terjalin kembali.

"Nanti free, kita jumpa. Biasa kalau aku tak de kerja aku melepak dengan Yap, nanti aku kol kau!"

"Orait...!"



1 comment:

  1. saling ingat-teringat... bagus juga persahabatan tak putus begitu saja

    ReplyDelete