Halaman

Tuesday, August 18, 2009

Sekatan Jalan Raya.

Dua minggu persoalan ini bermain-main dalam benak aku. Tertanya-tanya pada diriku kenapa polis melakukan sekatan jalan raya di sebatang jalan raya di kejirananku. Pada awal pagi hari pertama aku melintasi sekatan ini, aku lihat 5-7 anggota berunifom ini membuat sekatan. Bila aku lihat tersusun lampu pemancar tersusun di atas meja, aku pasti ini akan berlarutan sehingga ke malam hari.

Mulanya aku berfikir kerana untuk mencari pendatang asing, di mana awal pagi tersebut, jam 0300 satu operasi pemutihan telah dijalankan. Satu trak berangkut. Namun, bila terlihat satu sepanduk terpampang berhampiran Ampang Point/Hotel De Palma, aku andaikan bahawa sekatan itu tadi mungkin pertahanan hadapan untuk menyambut kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan satu mesyuarat agung UMNO Bahagian Ampang. Maklumlah, sejak-sejak demontrasi jalanan masih hangat di Kuala Lumpur. Aku juga perasan pondok-pondok polis didirikan ala-ala khemah majlis perkahwinan juga muncul di beberapa lokasi. Satu perkembangan yang baik dari Polis Diraja Malaysia!

Namun setelah mesyuarat agung UMNO menutup agenda, sekatan masih diadakan. Aku mulalah tertanya-tanya, mengapa?

Bertanya aku dengan penduduk di kejiranan, mereka mengatakan kerana ada berlaku pembunuhan dan rompakan pecah rumah di kejiranan flat yang aku inap. Kerana itu pihak polis masih melakukan sekatan jalan raya. Tak kurang juga juga yang berseloroh bahawa pihak polis sedang mengesan pakar bom jalanan, Noordin Mat Top yang berkemungkinan bersembunyi di kawasan Ampang setelah pengesahan dari POLRI mengatakan yang suspek terbunuh tempoh hari bukan Noordin Mat Top. Kami hanya menderaikan tawa kecil dalam lif yang sempit.

Khabar angin yang tidak diyakini membuatkan aku masih lagi tidak puas hati dengan hal ini walau ianya satu perkara yang baik tapi aku perlu tahu. Pada satu hari aku melalui sekatan, aku bertanya kepada seorang anggota yang menahan kereta aku. "Encik, buat road block ni untuk apa?" aku menyoal namun jawapan yang mengatakan tiada apa-apa cuma rutin amat tidak memuaskan hati aku. Kalau ianya rutin, mengapa sebelum ini tidak dilakukan sebagaimana rutin, atau adakah ianya baru satu permulaan?


Semalam aku makan tengahari di Maluri. Aku mendapat 'maklumat risikan' bila terpacul persoalan ini kepadanya. Barulah usai benak aku yang bertanya sendiri. Ada kejadian rompakan di kawasan Taman Connaught, dan pihak polis mengumpan penjenayah ke kawasan Shamelin Perkasa. Katanya, dua penjenayah ditembak mati dan seorang anggota polis juga telah ditembak di bahagian kaki, hanya cedera. Sepatutnya semua kawasan berdekatan wajib dibuat sekatan jalan raya. Anggota RELA dan Pertahanan Awam juga telah diberikan kad kuasa warna putih, diserap sebagai polis bantuan untuk membantu anggota polis yang sedia ada.



Awal pagi tadi jam 0500 aku bersarapan awal di sebuah restoran mamak. Berdekatan dengan sekatan jalan raya yang masih lagi utuh di subuh itu. Waktu aku melintasi sekatan itu, ada tiga anggota yang berdedikasi bertugas dan aku hanya mengucapkan salam. Selesai bersarapan itu, leka menikmati asyik candu, aku melihat tiga anggota polis meronda berjalan kaki.


Aku lebih gemar melihat situasi ini. Bukanlah kerana adanya seorang anggota yang ditembak. Sebaiknya sekatan jalan raya ini dan rondaan jalan kaki lebih kerap dilakukan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Rondaan kereta polis yang memasuki kawasan perumahan juga amat baik dan aku sokong sepenuhnya. Bila kita nampak anggota-anggota ini bertugas memang aku fikir bahawa keselamatan di kejirananku ini akan lebih selamat. Mencegah itukan lebih baik. Bukanlah untuk kita mengerah tenaga anggota polis berkawal 24 jam di kawasan kejiranan kita tapi kekerapan dan kemesraan itu akan membuatkan orang awam lebih menghargai pengorbanan para anggota keselamatan negara kita. Kemuncullah pondok-pondok polis yang ringkas itu, juga amat baik untuk orang awam segera mendapat bantuan walaupun hanya untuk bertanya arah sesat jalan.

Bila terlaksana hal sebegini barulah kita dan pihak tertentu dapat mengkaji dan mempertingkatkan mutu keselamatan terutamanya dan hubungan dua hala masyarakat dengan pihak keselamatan untuk kepentingan orang awam umumnya. Namun kemudahan untuk para anggota yang bertugas juga wajib tidak terabai oleh pihak jabatan. Bukan imbuhan yang mereka harapkan, kerana sememangnya mereka juga perlu mencari sesuap nasi tapi sedikit penghargaan bisa menaikkan semangat yang berkobar-kobar!

1 comment:

  1. itulah dia... bila tgk situasi jenayah skarang kat negara kita nih... ngeri sgt2 rasanya. dah mcm dok kat tempay omputih pulak... tiap-taip hari ada je yg mati bunuh...

    harap2 sgt tindakan polis tu boleh kurangkan kadar jenayah ni.. tak dpt kurang byk, kurang sikit2 pun tak pelah....

    ReplyDelete