Halaman

Saturday, August 29, 2009

Param.

Aku tak tahu siapa yang bertanggungjawab mewujudkan istilah ini, Param!


'blk dari param kul bape?'


Itulah sms yang aku dapat dari seorang kawan. Yang aku tak faham, perkataan 'param'. Jadi aku hanya membalas dengan tanda soal.


Terima sms darinya, 'blk dr pasar ramadhan kul bape?'


Ohh.. rupanya 'param' adalah singkatan pasar Ramadhan. Itulah gaya kalau manusia yang asyik tonton sinetron. Semua hendak dipendekkan. Yang sudah cukup pendek pun masih mampu dipendekkan.

Setelah sekian lama mengumpul gula dan berulang alik dari pelbagai pasaraya. Akhirnya terkumpul 50kg gula pasir. Buat permulaan, hari Rabu itu, 20kg gula dimasak untuk dijadikan air gula. Disebabkan beria-ria untuk memulakan penjualan air pada hari itu, cuaca yang mendung tidak dipedulikan. Mendung tidak bererti hujan! Atau kerana guruh di langit, air tempayan dibuang. Semua persiapan sudah dibuat, buah limau dan buah lemon telah dihiris. Pati air telah berbotol dibeli. Perkakas semua sudah dibasuh bersih. Maka hari ini, bermula aku menjual air walau hanya 2 jenis; lemon juice dan malibu orange. Insya-Allah, andai bekalan gula pulih sepenuhnya, jenis air yang lain akan turut serta.



Hidup ini memang sentiasa diduga. Walau kail sejengkal, laut dalam mesti perlu diduga. Baru kita tahu tahap di mana kita berdiri, bukan untuk melawan takdir tapi hanya usaha untuk mencuba. Titik hujan kasar mula membasahi kawasan Setiawangsa pada jam 1600. Memang berharap ianya hanya untuk seketika, tidak mengapa. Siapalah kita untuk menahan hujan. Aku memang tidak mengharapkan hujan jika boleh sepanjang Ramadhan ini. Tetapi bagaimana dengan perkara yang lain yang memerlukan hujan? Biarkan yang sudah tertulis menjadi takdir.

Hujan lebat mencurah sehingga waktu hampir berbuka puasa. Hampir semua gerai kuyup jualannya. Akhir cerita, perniagaan yang menggunakan wang ringgit bertukar menjadi sistem barter antara kami semua penjual. Air oren bertukar menjadi roti boom, menjadi kuih udang, menjadi tauhu sumbat. Air lemon bertukar menjadi laksa, menjadi kuih pelita, menjadi puding manis. Siapa kata duit berkuasa? Amalan bersedekah itu lagi berkuasa tanpa mengira rugi atau apa jua jaminan di dunia. Yang penting; silaturrahim terjalin, gurau senda penawar duka. Kami tetap bergembira dalam lencun berbuka puasa dengan rezekiNya.

2 comments: