Halaman

Thursday, August 13, 2009

Kepercayaan memerlukan bukti.

Kawan aku Nasa, suka sangat mengusik kawan yang seorang lagi, Din. Pantang berjumpa ada sahaja yang terkena dan mengena. Din pula bila bercerita tentang sesuatu, ada gayanya tersendiri; siap melakukan aksi-aksi dan drama. Andai orang tidak mengenali Din, mereka akan berkata Din seorang yang takbur, orang yang tahu serba-serbi dalam dunia. Bila Din bercerita gah tentang pengalamannya, Nasa sering bersorak,

"Apa buktinya?"
"Ada gambar boleh aku tengok yang kau berada di tempat-tempat kejadian?"
"Kalau setakat bercerita, tak payahlah, tunjuk buktilah.."

Itulah sering Nasa mengusik dan menyampuk ketika yang lain khusyuk mendengar pengalaman Din.

Hakikatnya...
Adakah kepercayaan itu memerlukan bukti?

Sebagaimana seorang isteri yang mempercayai suaminya pulang lewat ke rumah kerana bermesyuarat. Apakah buktinya?
Sebagaimana seorang gadis mempercayai alasan teman lelakinya yang tidak mahu menjawab panggilan telefonnya. Apakah buktinya?
Sebagaimana orang Islam mempercayai wujudnya Allah s.w.t. Apakah buktinya?

Adakah sering kita memohon bukti untuk menerbitkan rasa kepercayaan ini? Dan kita menelan bulat-bulat dengan apa yang dimomokkan kepada kita? Natijahnya, sering pula yang makan diri kerana mempercayai tanpa bukti di belakang hari. Terasa pula kesalan hati bila alasan itu diusul periksa, hasilnya melukakan hati kita sendiri. Tapi bila ada kebenarannya, kita hanya membiarkan sepi, sekadar mengukuhkan kepercayaan.

Masanya belum tiba bila orang mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Bila kepercayaan itu makin meninggi, satu penipuan boleh merebak biak kerana adanya kepercayaan. Kita akan mula mengangguk bila penipuan-penipuan itu di sertai bukti-bukti dicipta.

Itu kepercayaan manusia antara manusia.

Kepercayaan manusia pada Maha Pencipta?

Adakah kita berani untuk meminta bukti dariNya?

Kita hanya berani berharap apa yang ditadahkan tangan berdoa agar dimakbulkannya. Termakbulnya doa kita bermakna kesenangan yang dilimpahkan tapi tidak pernah kita ucapi syukur sebagaimana kita menadah tangan dahulu dengan penuh mengharap. Kerana kepercayaan itu sengaja dilindungi, kononnya itu hasil usaha kerja keras dari kita sendiri. Kita terleka yang itu adalah bukti pemberian dan kewujudanNya. Leka kita menghirup udara setiap saat, bernafas kerana hidung kita berfungsi, berfungsi menapis oksigen untuk kegunaan otak kita berfikir. Berfikir untuk menjalani kehidupan dan mencari keluar jalan menuju kejayaan. Adakah itu buktinya?

Bila memandang alam yang indah, yang mengasyikkan, hati kita berkata, lidah kita menutur, "Alangkah indahnya bumi ciptaanMu!" Tapi apa selepas itu? Kita merakam keindahan itu dengan kamera yang canggih buatan manusia di mana akalnya datang dariNya. Selepas itu? Kita teruskan kehidupan. Paparan dariNya menguji kita sedar atau tidak kewujudanNya dalam falsafah hidup kita masing-masing.

Andai katalah, setiap kebaikan (walau sebesar biji sawi, sepertimana firmanNya) telah kita lakukan dalam kehidupan ini dan kita pula dapat menyaksikan kebaikan itu ditulis oleh malaikat, atau bisa melihat gunungan pahala di dalam bilik kita, pastinya sikap manusia di dunia ini akan berubah. Tetapi mengapa Allah s.w.t. tidak mahu menunjukkan bukti-bukti itu di mata kita?

Pastinya kepercayaan kita juga meluap lebih dari 100%, bukan?

Sejahat-jahat, sekeji-keji manusia yang beragama Islam tetap mempercayai Allah s.w.t. itu wujud! Allah s.w.t. itu satu. Tapi kenapa mereka tetap melakukan kejahatan dan maksiat, ingkar perintahnya? Kerana tiada buktikah di mata mereka untuk menerima petunjuk dan hidayah? Atau adakah para ulama, para haji dan hajah, para manusia yang beriman dan bertaqwa telah menyaksikan bukti-bukti ini? Apakah buktinya, Al-Quran dan hadis? Bukankah semua orang bisa memiliki, membaca, menghayati dan berpegang pada ajaran Al-Quran dan hadis? Tapi kenapa kepercayaan ini sering diragukan? Kerana percaya wujudnya syaitankah?

Mengapa tidak Allah s.w.t tumbuhkan sahaja pokok Zaqqun di bumi ini? Sekurang-kurangnya kita bisa tahu wajah syaitan yang digambarkan sebagai kepala ular itu berdasarkan buah zaqqun. Atau memadai Allah s.w.t turunkan banjir, taufan, tsunami, gempa atau kebakaran untuk membuktikan pada manusia? Sengajakah Allah s.w.t mengizinkan manusia meletuskan peperangan untuk melariskan jualan senjata api untuk memusnahkan bumi yang diciptaNya? Malahan para malaikat juga pernah bertanya kepada Allah s.w.t., mengapa hendak diciptakan manusia sedangkan manusia itu sendiri akan memusnahkan dan menghuru-harakan bumi.

Bila manusia sudah mula tidak mempercayai antara satu sama lain, bermakna kita sudah tidak hidup bermasyarakat, tidak jumud. Ironinya, bila berkaitan dengan wang, untuk mendapat keuntungan wang lumayan dalam masa yang singkat, kepercayaan itu tiba-tiba datang entah dari mana-mana. Bila sudah sedar diri tertipu, dikatanya itu ujian dari Allah s.w.t. (Untuk menyedapkan hati bila ribuan wang melayang lesap). Bukan! Itu bukan ujian, itu musibah Allah s.w.t. turunkan terus pada manusia yang percaya pada manusia.

Bila ada orang minta bantuan wang ringgit, saudara mara atau rakan taulan yang benar-benar menagih pertolongan, dikatanya tidak berduit, sendiri pun hidup susah, sedangkan ribuan helai kertas bertandatangan gabenor Bank Negara tersimpan rapi di bank-bank, tercatat empat atau lima angka di mukasurat buku akaun simpanan tidak terusik malah bertambah setiap bulan. Dikatanya tidak berduit. Tapi bila datang manusia menghikayatkan keuntungan sekelip mata, sekelip mata juga duit dalam simpanan bertukar tangan berganti angan-angan jutawan fakir. Kerana percayakah? Inikah dikatakan yang buruk itu datang dari kita sendiri. Sebab kita tidak percaya kebaikan yang kita peroleh, yang Allah s.w.t. berkatkan bila membantu sesama manusia. Sebab kita tidak nampak kebaikan itu selebihnya kita hanya nampak percaya untuk menjadi lebih kaya harta benda dan wang ringgit.

Aku bukan hendak mempertikai kepercayaan dalam diri manusia terhadap manusia lain apatah lagi pada Allah yang Maha Mengetahui. Bukan mudah untuk kita menjadi seorang manusia mengharungi perjalanan menuju kepadaNya. Hanya kerana kepercayaan yang kita pegang (tapi tidak nampak) kita lebih menjurus mencari kesenangan hidup dunia dengan memijak manusia lain. Susut sudah manusia yang mencari kesenangan dengan membantu manusia lain. Terlupa jaminan akhirat, gusar dengan jaminan dunia. Menyerahkan masa depan yang memang tidak kita ketahui di tangan manusia lain kemudian menyalahkan takdir Allah s.w.t, sedangkan Dia yang telah mengizinkan seluruh anggota tubuh badan kita termasuk akal (yang tidak boleh disentuh atau dilihat nyata) untuk berfikir dan melihat bukti.

Aku tidak bisa walau sebesar biji sawi untuk membuktikan apa yang terlintas pada diri (persoalan yang bermain-main ) ini benar sama sekali, masih mencari bukti, tapi aku percaya, ada manusia yang benar-benar mahukan kepercayaan orang lain diberikan kepada dirinya untuk membuktikan dirinya benar dan benar belaka selain apa yang benar sahaja. Percayalah bahawa hidup kita sedang berjalan menuju mati untuk hidup lebih sempurna!

No comments:

Post a Comment